Carian

Rabu, 27 Ogos 2008

Anwar Melangkah Kaki ke Parlimen Malaysia

Selepas beliau mengharungi beberapa cabaran beberapa tahun dahulu, Dato' Seri Anwar Ibrahim membuktikan bahawa beliau tidak pernah patah semangat untuk memperjuangkan kata-katanya. Dengan berbekalkan kecekalan serta dokongan dan sokongan dari gabungan parti-parti di dalam Pakatan Rakyat (PR) dalam memperjuangkan keadilan di Malaysia, beliau mempertahankan keutuhan kerusi yang disandang oleh isterinya, Datin Seri Wan Azizah. Beliau yang menang bertanding di dalam pilihanraya kecil P44 Parlimen Permatang Pauh dengan undian sebanyak 31,195 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) dengan majoriti undi 15,671 undi. Dengan komitmen dan kesepaduan semangat yang ditunjukkan oleh parti-parti yang bergabung di bawah Pakatan Rakyat, mereka merealisasikan visi mereka untuk menghantar Dato' Seri Anwar Ibrahim ke parlimen.

Menurut Dato' Seri Anwar, beliau berharap selewat-lewatnya pada hari Khamis beliau boleh mengangkat sumpah sebagai ahli Dewan Rakyat. Keputusan yang baru diisytihar ini tidak boleh dipandang ringan oleh Barisan Nasional kerana ia memberikan mesej yang lebih besar, bahawa kepimpinan negara yang diterajui oleh BN sendiri sudah parah dan perlu ada perubahan.

Apa yang disifatkan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim bahawa kemenangan yang diperolehinya adalah kemenangan rakyat dalam menunjukkan sikap mereka terhadap kerajaan yang sedia ada. Rakyat yang sememangnya diberikan hak untuk menyuarakan pendapat mereka tentang apa yang mereka sedang hadapi terutama krisis ekonomi yang melanda negara Malaysia sejak akhir-akhir ini.

Semoga dengan kehadiran ahli parlimen yang baru ini dapat memberikan impak yang lebih baik terhadap perjalanan pentadbiran kerajaan sekarang.

SELAMAT MENYAMBUT KEMERDEKAAN YANG KE-51

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Sabtu, 26 Julai 2008

Debat DSAI dan Shabery: Dari Perspektif Individu

Debat atau berpidato merupakan satu cara untuk menyampaikan sebarang maklumat kepada orang ramai. Daripada sesi perdebatan ini akan terpancarlah karakter-karakter seseorang pendebat itu. Namun begitu adakalanya apa yang sepatutnya disampaikan atau dibahaskan tidak dapat mencapai matlamatnya.

Perdebatan antara Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Shabery (Menteri Penerangan) merupakan saluran yang terbaik untuk membincangkan soal-soal yang hangat diperkatakan oleh seluruh rakyat dinegara ini iaitu isu kenaikan harga minyak. Pos yang sebelum ini saya banyak mengutarakan akibat-akibat yang akan menimpa kepada rakyat ekoran kejadian ini timbul.

Pada pandangan saya pula mengenai perdebatan yang berlangsung diantara DSAI dan Shabery ada baik serta buruknya.

Terlebih dahulu saya menyatakan perkara yang positifnya, segala informasi yang disampaikan di dalam perdebatan yang bertajuk HARI INI BENTUK KERAJAAN, ESOK TURUN HARGA MINYAK banyak memberi impak yang baik dengan penjelasan yang dibuat oleh DSAI serta penambahan dari Shabery.

Namun begitu, ada beberapa perkara yang perlu diperhatikan. Yang pertama ialah semasa perdebatan berlangsung, Shabery cuba mengambil kesempatan untuk menghentam secara peribadi adalah kurang memberangsangkan dan ia menampakkan bahawa pihaknya ketandusan idea untuk berdebat serta kurang professional. Yang kedua, mengenai laporan dari Petronas yang menyatakan keuntungan lebih 50 peratus disalurkan kepada kerajaan yang menampakkan ketidakrelevan untuk kerajaan untuk mengstruktur semula subsidi kepada rakyat. Persoalannya ialah jika pengstrukturan dibuat, maka akan ada penjimatan dan sebahagian peruntukan itu tidak digunakan. Kemanakah peruntukan itu disalurkan?

Di dalam dunia sekarang, kita mempunyai ramai orang yang cerdik pandai dan tidak mudah untuk diputarbelitkan. Itulah serba sedikit perkara-perkara yang saya utarakan pada waktu sekarang. Mungkin ia terlampau ringkas. Insya-Allah saya akan sambung pada masa akan datang.

Program debat yang seumpama ini harus diteruskan seperti yang dinyatakan oleh Shabery bahawa mereka berfikiran terbuka dan rakyat harus menilai setiap intipati yang disampai dan menilai secara bebas dan bukan dipengaruhi mana-mana pihak.

Isnin, 9 Jun 2008

Harga Barang Naik: Bala Buat Rakyat

Ke sana ke mari orang bercerita pasal minyak naik, tetapi tidak sesiapa pun (kerajaan) hendak mempertimbangkan keluhan tersebut. Keluhan demi keluhan semakin kedengaran.

Kenaikan harga bahan api mengundang banyak masalah dari segi perbelanjaan seharian rakyat yang meningkat mendadak dan kenaikan kadar inflasi negara. Ada sesetengah pihak menyifatkan bahawa sesetengah golongan yang membantah kenaikan adalah golongan yang tidak pandai ekonomi. Benarkah begitu?

Lebih kurang hampir seminggu kenaikan harga bahan api di pasaran Malaysia, ramai diantaranya (peniaga-peniaga) sudah mengambil kesempatan untuk menjual barang dagangan mereka pada pasaran semasa (barang naik harga la...). Antara yang sudah menampakkan kesan ialah gula yang dijual dengan kenaikan 20 sen sekilo (lebih kurang RM 1.65 sekilogram). Apakah pihak yang terbabit masih menyifatkan bahawa rakyat perlu faham? Apakah boleh peniaga-peniaga ini menaikkan harga sesuka hati mereka? Rakyat bukan tidak faham tetapi rakyat tidak faham, mengapa mereka ini (pihak bertanggungjawab) tidak pernah memahami kehendak isi hati mereka?

Tidak hairan la, baru-baru ini saya berkunjung ke kedai hardware, pemborong atau pembekal besi sudah mengenakan harga dengan kenaikan 100 peratus (100%). Harga siling terhadap simen, besi dan beberapa barang binaan lain sudah dan sedang melalui proses untuk dimansuhkan.

Bila ada kenaikan terhadap tambang pengangkutan awam terutama bas ekspres, barulah LPKP kelam-kabut menahan pengusaha-pengusaha bas ini. Kenaikan tanpa ada had dan perbezaan yang terlampau ketara membuatkan pengusaha-pengusaha ini memberi mesej bahawa mereka diberi lampu hijau untuk berbuat demikian. Mereka berniaga untuk keuntungan. Apakah pakar-pakar ekonomi negara tidak menjangka perkara-perkara seperti ini akan berlaku. Siapakah yang sepatutnya disifatkan tidak pandai ekonomi?

KOSMO! melaporkan ayam sudah dijual melebihi harga yang ditetapkan. Tidak tahu la pula ada ayam-ayam ini dibawa dengan menaiki basikal yang tidak perlukan bahan api. Rakyat tidak akan melenting sekuat ini, jika sesuatu kenaikan harga itu tidak terlampau membebankan mereka. Apa yang lebih menyedihkan, ada pihak yang cuba berlepas tangan dalam hal ini, seolah-olah tidak mahu mengambil tahu apa yang akan terjadi dengan kenaikan harga yang membuta tuli tanpa ada kawalan.

Rakyat sedang menaruh harapan yang tinggi untuk mereka hidup di bumi Malaysia sebelum mati kebuluran bukan sebab tiada makanan tetapi tidak mampu memperolehinya lagi.

MALAYSIA TANAH AIRKU

Keputusan Final Dah Keluar (UiTM)

Kepada sahabat-sahabat yang menuntut di Universiti Teknologi MARA terutama di Kampus Bandaraya Melaka, diucapkan tahniah kepada yang berjaya walaupun ada yang nyaris-nyaris lemas. Apa-apa pun, kalau kurang berjaya, teruskan usaha anda dan yang telah lalu boleh dijadikan tanda ukur untuk menjadi lebih baik dimasa akan datang.

Selamat Maju Jaya

Rabu, 4 Jun 2008

Harga Petrol Melonjak. Mampukah Pengguna Bertahan

Bermula dari tarikh 5 Jun 2008 Jam 0000 (12 malam), bermulalah kadar baru bagi harga petrol di Malaysia dari RM 1.92 seliter kepada RM 2.70 seliter. Perbezaan ketara ini merupakan catatan sejarah yang terbaru dimana kenaikan adalah sebanyak 41 peratus (RM 0.78). Harga diesel juga melonjak dari RM 1.58 kepada RM 2.58.

Adakah ini satu fenomena yang pelik? Pada tahun 2006, harga petrol dinaikkan dari RM 1.62 kepada RM 1.92 (30 sen). Perubahan demi perubahan yang dilakukan oleh para pemerintah di Malaysia nampaknya bukan ke arah lebih menolong tetapi kepada suasana yang lebih tertekan dan membebankan.

Krisis bekalan makanan yang berkurangan menyebabkan kekurangan bekalan beras di seluruh Malaysia. Malaysia khususnya di negeri Kedah yang terkenal sebagai negeri Jelapang Padi serta negeri-negeri pengeluar padi yang lain tidak dapat menampung keperluan semasa negara. Bahkan kita juga mengakui, Malaysia juga mengimport beras dari luar negara. Adakah ini satu gimik untuk menghalalkan cara supaya harga beras dinaikkan?

Dengan keadaan yang semakin meruncing, kerajaan telah mengambil inisiatif memberi (injection) ke dalam BERNAS untuk menambah bekalan beras ke seluruh negara. Ini bermakna tidaklah perlu dinaikkan harga beras seperti yang berlaku sekarang.

Belum pun habis dengan krisis yang melanda, ada beberapa barang yang sudah dimansuhkan harga silingnya (ceiling price). Pemansuhan harga siling membawa makna, barang-barang tersebut boleh dijual pada harga pasaran.

Itu mengenai beras dan penghapusan harga siling. Kini rakyat dikejutkan dengan kenaikan mendadak harga petrol yang sememangnya boleh diistilahkan sebagai mengcekik bagi golongan yang berpendapatan rendah terutama yang bekerja sendiri.

Dari perspektif sebagai seorang pelajar yang menggunakan kenderaan persendirian untuk pergi ke kampus, ia tetap membebankan. segala jenis perbelanjaan termasuk kos bahan api juga akan meningkat. Ya, memang benar yang naik harga itu adalah petrol. Namun begitu, segala produk yang menggunakan petrol juga akan meningkat. Ini tidak mustahil bagi harga makanan di warung-warung juga akan naik secara mendadak.

Kenaikan harga petrol yang menyumbang kepada kenaikan harga barang-barang keperluan juga dan INFLASI akan berlaku. Inflasi yang ada di dalam ekonomi sesebuah negara mencerminkan ketidakstabilan ekonomi negara tersebut

Kerajaan boleh memberi apa-apa jaminan, tetapi hakikatnya perkara seperti ini boleh mengundang kepada masalah yang lebih besar, iaitu soal keselamatan negara. Adakah ia akan kekal seperti yang sedia ada sekarang?

Negara memerlukan sumber untuk menjamin kestabilan ekonomi negara, tetapi apa yang lebih atau perlu diutamakan adalah suasana aman hidup tenteram rakyat merupakan yang paling penting. Adakalanya kita perlu membandingkan harga sesuatu barangan yang berada dipasaran semasa dan adakalanya tidak. Sebagai pengeluar atau pengeksport petroleum, perkara ini sepatutnya jarang sekali berlaku. Contoh yang boleh diambil ialah Thailand yang merupakan negara yang mengimport petroleum. Tidak hairanlah mengapa harga petrol mereka meningkat. Disebalik harga petrol yang tinggi tetapi kos sara hidup mereka adalah jauh lebih rendah.

Pengstrukturan semula subsidi diharapkan akan lebih memberi manfaat kepada penduduk Malaysia daripada membebankan. Ada juga sebahagian pihak menyarankan supaya gaya hidup perlu diubah. Persoalannya disini ialah adakah mentaliti yang lebih 20 tahun dahulu boleh diubah dalam sekelip mata?

Ada lagi beberapa perkara yang ingin dikongsi bersama pembaca. Namun, mungkin masa tidak mengizinkan. Apa pun, kita perlu berfikir lebih luas seperti kata orang (open-minded), apakah keterbukaan itu membiarkan yang merangkak itu terus terkubur semata-mata mengejar keuntungan atau keterbukaan itu membawa sesiapa sahaja seiring dan sejalan dengan kita maju dari segi mental dan fizikal. fikir-fikirkan........

Isnin, 2 Jun 2008

Lawatan MB Perak ke Kuala Kangsar

Pada tanggal 29 Mei 2008, Dato' Seri Ir Nizar Jamaludin mengadakan lawatan ke seluruh kawasan di Kuala Kangsar termasuk ke Jabatan-Jabatan Kerajaan. Taklimat perjumpaan dibuat di Arena Square berhampiran Sungai Perak. Pelbagai jabatan menghantar wakil masing-masing.

Pada sebelah malam pula, Dato' Seri menyampaikan ceramah beliau sempena lawatan tersebut di Masjid Ridzwaniah, Kuala Kangsar. Ada beberapa perkara yang disentuh oleh beliau yang perlu diambil perhatian oleh pelbagai lapisan masyarakat terutama Melayu. Perkara yang dihighlight ialah masalah dadah yang menghantui masyarakat Malaysia masa kini. Masalah ini sudah berlarutan sekian lama, namun dengan pelbagai cara yang kerajaan ambil tidak dapat menunjukkan kesan positif yang ketara.

Beliau menyeru kepada umat Islam kihususnya supaya menggunakan kuasa yang dipinjamkan oleh Allah S.W.T. untuk memperbetulkan kesalahan serta memperbaiki mutu hidup tidak kira apa peringkat sekalipun, jika sekalipun kuasa itu hanya sebagai seorang ayah, maka kuasanya tertakluk didalam menguruskan institusi keluarga. adapun kuasa itu sebagai ketua sesebuah jabatan, maka kuasanya adalah terhadap anak-anak buahnya. Khusus juga terhadap orang Islam, beliau menyeru supaya setiap individu sentiasa mengajak kepada solat berjemaah, mengeluarkan zakat, mengajak kepada ma'aruf dan mencegah kemungkaran. Keempat-empat perkara ini merupakan tunjang kekuatan kepada kebangkitan Islam.

Menyentuh kepada bab mengeluarkan zakat, zakat ini bukan sekadar zakar fitrah yang dibayar pada setiap bulan Ramadhan tetapi merupakan zakat terhadap harta yang Allah kurniakan kepada hambanya. Pada masa kini, perkara zakat dipandang remeh oleh sesetengah pihak yang tidak sedar bahawa sebahagian harta yang dimilikinya sepanjang hidupnya adalah bukan hak milik mutlak baginya, ia adalah hak milik orang lain iaitu 8 asnaf yang disenaraikan layak untuk menerima zakat. Walaupun hasil kutipan zakat di Perak memuaskan, beliau berharap ia dapat ditingkatkan supaya fakir miskin seluruh negeri Perak akan terbela nasib mereka.

Setelah menyampaikan ceramah di masjid tersebut, beliau meneruskan lawatan sehari ke Sungai Siput untuk menyampaikan ceramah serta bantuan mangsa banjir. YB Ngar Kor Ming yang turut hadir bersama beliau di Sungai Siput menyatakan hasrat kerajaan untuk membantu sedaya upaya dengan kerjasama rakyat seluruhnya di dalam apa jua bentuk pembangunan yang dirancang oleh pihak kerajaan negeri yang diterajui oleh Pakatan Rakyat yang boleh membawa kebaikan bersama.


Seluruh rakyat negeri Perak diseru untuk menyokong sebarang projek pembangunan untuk rakyat dan menegur sebarang salahlaku jika ada tidak kira fahaman politik dan bangsa apa sekalipun. Kerajaan yang baru dilantik atau diberi mandat oleh rakyat untuk mentadbir seharusnya diberi peluang untuk menunjukkan kebolehan mereka dan rakyat boleh menilai hasil titik peluh mereka pada pilihanraya umum yang akan datang.

Sabtu, 31 Mei 2008

Hulur Tangan Salam Perkenalan


Assalamualaikum w.b.t.

Salam sejahtera dan salam perkenalan buat pengunjung sekalian....sebelum melangkah lebih jauh lagi....sukacita dimaklumkan, molek benar kalau diri ini dikenal orang, betul tak?

Nama diberi oleh kedua orang tua ialah Muhammad Nur Ikhsan, berasal dari Kuala Kangsar, Perak Darul Ridzuan. Mendapat pendidikan prasekolah di Tadika ABIM Kuala Kangsar selama setahun dan melangkah ke alam persekolahan di Sekolah Rendah Al-Furqan, Kuala Kangsar. Pernah dilantik sebagai Pengawas Disiplin selama 1 tahun di tahun 4 dan berpindah ke Madrasah Syariah Wal-Quraniah untuk tahun yang berbaki. Menduduki peperiksaan UPSR menumpang di Sekolah Kebangsaan Laneh, Lubuk Merbau pada tahun 1997. Setelah menerima keputusan UPSR, saya ditawarkan untuk menduduki peperiksaan khas sekolah berasrama penuh kepunyaan Kerajaan Negeri Perak iaitu Sekolah Izzuddin Shah yang terletak di Ipoh. Minat yang mendalam untuk duduk dan belajar di sekolah berasrama, akhirnya lulus menduduki ujian tersebut dan diterima masuk pada tanggal 7 Januari 1998.

Alam persekolahan diperingkat menengah adalah mencabar kerana ramai yang lulus ke sekolah ini merupakan golongan yang terpilih seperti pelajar-pelajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Kehidupan di sekolah ini banyak mengajar dan menilai yang mana satu kawan dan yang mana satu lawan. Orientasi diadakan lebih dari empat hari bagi pelajar-pelajar junior dan pelbagai kerenah kawan-kawan dapat saya selami. Tingkatan 2 merupakan titik tolak kepada kecenderungan ke arah teknologi maklumat, ini dibuktikan dengan kejayaan memperoleh tempat yang terbaik dalam pertandingan MS Power Point dan dilantik sebagai Pengawas Perpustakaan bagi tempoh 1 tahun.

Lama-kelamaan, keserasian terhadap teknologi IT membawa saya untuk menyertai Kelab Komputer sekolah di bawah pengurusan publisiti dan di tingkatan 3, saya meletak jawatan sebagai Pengawas Perpustakaan.

Selepas menduduki peperiksaan PMR (Penilaian Menengah Rendah) dan diterima kembali untuk melanjutkan pelajaran di tingkatan 4 (untuk lulus ke tingkatan 4, subjek Bahasa Arab hendaklah kredit), kelas yang ditawarkan ialah Kelas Pengajian Islam I (Thanawi). Selepas itu, saya memohon untuk bertukar ke kelas Pengajian Islam III (sains) kuota untuk kelas tersebut telah penuh dan terpaksa bertukar ke kelas Pengajian Islam II (perdagangan). Akhirnya, permohonan diluluskan dan menyambung pelajaran sehingga peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) pada tahun 2002. Pada tahun yang sama, saya ditugaskan untuk mengembeling tenaga untuk mengepalai Kelab Multimedia sebagai Naib Pengerusi I (Teknikal) dan acara yang di bawah pemantauan saya ialah Karnival IT 2002 diperingkat sekolah.


"Tholabul 'Ilmi Faridhatul 'Ala Kulli Muslim" atau maksudnya ialah Kewajipan menuntut ilmu itu ada pada setiap orang Muslim. Sijil Kemahiran Malaysia merupakan sijil teknikal yang diiktiraf kerajaan dengan silibus pengajian 60% praktikal dan teori sebaliknya. Sijil Pembantu Juruteknik Sistem Komputer tahap 2 mendedahkan banyak aspek dalam kerja membaik pulih dan menguruskan komputer dan ia diperoleh dalam tempoh 6 bulan.


Pada 29 Jun 2003, saya diterima masuk ke Kolej Islam Antarabangsa yang terletak dahulunya di Batu 4, Jalan Gombak berhadapan dengan Masjid Saad bin Abi Waqas bagi jurusan Sains Komputer (Sc. Comp) diperingkat diploma dan tamat pada April 2006 bagi tempoh pengajian 2 tahun 8 bulan dan pointer melebihi dari 3. Walaupun kebanyakan sahabat atau kawan-kawan rata-ratanya sudah memasuki program Ijazah Sarjana Muda, pada saya biar bermula dari bawah untuk berjaya kelak.

Setelah tamat diperingkat diploma, itu belum memadai bagi saya kerana, banyak lagi ilmu yang belum diterokai. Tambahan pula ilmu dibidang yang diminati, sains komputer. Tetapi mungkin Tuhan ingin menduga sama ada saya ini boleh menerima sebarang yang lain dari yang dihajati, saya ditawarkan untuk meneruskan pengajian dibidang perniagaan di Universiti Teknologi MARA, Kampus Bandaraya Melaka sebagai pelajar ulung bagi program Ijazah Sarjana Muda pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Pemasaran pada 5 Januari 2007. Kampus Bandaraya Melaka ialah titik tolak permulaan bagi UiTM untuk memenuhi hasrat kerajaan untuk meningkatkan pengambilan pelajar dari kalangan Melayu dan Bumiputera. Setelah 3 semester di kampus tercinta ini, saya telah diamanahkan oleh seluruh warga program pemasaran untuk memikul tanggungjawab sebagai Naib Yang Dipertua, Persatuan Pelajar-Pelajar Pemasaran bagi tahun 2008. Di kampus ini juga, komposisi pelajar program pemasaran adalah yang terbesar berbanding dengan program-program yang lain.

Sesiapa sahaja yang melawat blog saya ini, saya ucapkan salam perkenalan dan anda boleh menghubungi saya melalui email jika ada sebarang maklumat yang boleh dikongsi bersama.