Carian

Sabtu, 31 Mei 2008

Hulur Tangan Salam Perkenalan


Assalamualaikum w.b.t.

Salam sejahtera dan salam perkenalan buat pengunjung sekalian....sebelum melangkah lebih jauh lagi....sukacita dimaklumkan, molek benar kalau diri ini dikenal orang, betul tak?

Nama diberi oleh kedua orang tua ialah Muhammad Nur Ikhsan, berasal dari Kuala Kangsar, Perak Darul Ridzuan. Mendapat pendidikan prasekolah di Tadika ABIM Kuala Kangsar selama setahun dan melangkah ke alam persekolahan di Sekolah Rendah Al-Furqan, Kuala Kangsar. Pernah dilantik sebagai Pengawas Disiplin selama 1 tahun di tahun 4 dan berpindah ke Madrasah Syariah Wal-Quraniah untuk tahun yang berbaki. Menduduki peperiksaan UPSR menumpang di Sekolah Kebangsaan Laneh, Lubuk Merbau pada tahun 1997. Setelah menerima keputusan UPSR, saya ditawarkan untuk menduduki peperiksaan khas sekolah berasrama penuh kepunyaan Kerajaan Negeri Perak iaitu Sekolah Izzuddin Shah yang terletak di Ipoh. Minat yang mendalam untuk duduk dan belajar di sekolah berasrama, akhirnya lulus menduduki ujian tersebut dan diterima masuk pada tanggal 7 Januari 1998.

Alam persekolahan diperingkat menengah adalah mencabar kerana ramai yang lulus ke sekolah ini merupakan golongan yang terpilih seperti pelajar-pelajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Kehidupan di sekolah ini banyak mengajar dan menilai yang mana satu kawan dan yang mana satu lawan. Orientasi diadakan lebih dari empat hari bagi pelajar-pelajar junior dan pelbagai kerenah kawan-kawan dapat saya selami. Tingkatan 2 merupakan titik tolak kepada kecenderungan ke arah teknologi maklumat, ini dibuktikan dengan kejayaan memperoleh tempat yang terbaik dalam pertandingan MS Power Point dan dilantik sebagai Pengawas Perpustakaan bagi tempoh 1 tahun.

Lama-kelamaan, keserasian terhadap teknologi IT membawa saya untuk menyertai Kelab Komputer sekolah di bawah pengurusan publisiti dan di tingkatan 3, saya meletak jawatan sebagai Pengawas Perpustakaan.

Selepas menduduki peperiksaan PMR (Penilaian Menengah Rendah) dan diterima kembali untuk melanjutkan pelajaran di tingkatan 4 (untuk lulus ke tingkatan 4, subjek Bahasa Arab hendaklah kredit), kelas yang ditawarkan ialah Kelas Pengajian Islam I (Thanawi). Selepas itu, saya memohon untuk bertukar ke kelas Pengajian Islam III (sains) kuota untuk kelas tersebut telah penuh dan terpaksa bertukar ke kelas Pengajian Islam II (perdagangan). Akhirnya, permohonan diluluskan dan menyambung pelajaran sehingga peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) pada tahun 2002. Pada tahun yang sama, saya ditugaskan untuk mengembeling tenaga untuk mengepalai Kelab Multimedia sebagai Naib Pengerusi I (Teknikal) dan acara yang di bawah pemantauan saya ialah Karnival IT 2002 diperingkat sekolah.


"Tholabul 'Ilmi Faridhatul 'Ala Kulli Muslim" atau maksudnya ialah Kewajipan menuntut ilmu itu ada pada setiap orang Muslim. Sijil Kemahiran Malaysia merupakan sijil teknikal yang diiktiraf kerajaan dengan silibus pengajian 60% praktikal dan teori sebaliknya. Sijil Pembantu Juruteknik Sistem Komputer tahap 2 mendedahkan banyak aspek dalam kerja membaik pulih dan menguruskan komputer dan ia diperoleh dalam tempoh 6 bulan.


Pada 29 Jun 2003, saya diterima masuk ke Kolej Islam Antarabangsa yang terletak dahulunya di Batu 4, Jalan Gombak berhadapan dengan Masjid Saad bin Abi Waqas bagi jurusan Sains Komputer (Sc. Comp) diperingkat diploma dan tamat pada April 2006 bagi tempoh pengajian 2 tahun 8 bulan dan pointer melebihi dari 3. Walaupun kebanyakan sahabat atau kawan-kawan rata-ratanya sudah memasuki program Ijazah Sarjana Muda, pada saya biar bermula dari bawah untuk berjaya kelak.

Setelah tamat diperingkat diploma, itu belum memadai bagi saya kerana, banyak lagi ilmu yang belum diterokai. Tambahan pula ilmu dibidang yang diminati, sains komputer. Tetapi mungkin Tuhan ingin menduga sama ada saya ini boleh menerima sebarang yang lain dari yang dihajati, saya ditawarkan untuk meneruskan pengajian dibidang perniagaan di Universiti Teknologi MARA, Kampus Bandaraya Melaka sebagai pelajar ulung bagi program Ijazah Sarjana Muda pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Pemasaran pada 5 Januari 2007. Kampus Bandaraya Melaka ialah titik tolak permulaan bagi UiTM untuk memenuhi hasrat kerajaan untuk meningkatkan pengambilan pelajar dari kalangan Melayu dan Bumiputera. Setelah 3 semester di kampus tercinta ini, saya telah diamanahkan oleh seluruh warga program pemasaran untuk memikul tanggungjawab sebagai Naib Yang Dipertua, Persatuan Pelajar-Pelajar Pemasaran bagi tahun 2008. Di kampus ini juga, komposisi pelajar program pemasaran adalah yang terbesar berbanding dengan program-program yang lain.

Sesiapa sahaja yang melawat blog saya ini, saya ucapkan salam perkenalan dan anda boleh menghubungi saya melalui email jika ada sebarang maklumat yang boleh dikongsi bersama.