Carian

Isnin, 9 Jun 2008

Harga Barang Naik: Bala Buat Rakyat

Ke sana ke mari orang bercerita pasal minyak naik, tetapi tidak sesiapa pun (kerajaan) hendak mempertimbangkan keluhan tersebut. Keluhan demi keluhan semakin kedengaran.

Kenaikan harga bahan api mengundang banyak masalah dari segi perbelanjaan seharian rakyat yang meningkat mendadak dan kenaikan kadar inflasi negara. Ada sesetengah pihak menyifatkan bahawa sesetengah golongan yang membantah kenaikan adalah golongan yang tidak pandai ekonomi. Benarkah begitu?

Lebih kurang hampir seminggu kenaikan harga bahan api di pasaran Malaysia, ramai diantaranya (peniaga-peniaga) sudah mengambil kesempatan untuk menjual barang dagangan mereka pada pasaran semasa (barang naik harga la...). Antara yang sudah menampakkan kesan ialah gula yang dijual dengan kenaikan 20 sen sekilo (lebih kurang RM 1.65 sekilogram). Apakah pihak yang terbabit masih menyifatkan bahawa rakyat perlu faham? Apakah boleh peniaga-peniaga ini menaikkan harga sesuka hati mereka? Rakyat bukan tidak faham tetapi rakyat tidak faham, mengapa mereka ini (pihak bertanggungjawab) tidak pernah memahami kehendak isi hati mereka?

Tidak hairan la, baru-baru ini saya berkunjung ke kedai hardware, pemborong atau pembekal besi sudah mengenakan harga dengan kenaikan 100 peratus (100%). Harga siling terhadap simen, besi dan beberapa barang binaan lain sudah dan sedang melalui proses untuk dimansuhkan.

Bila ada kenaikan terhadap tambang pengangkutan awam terutama bas ekspres, barulah LPKP kelam-kabut menahan pengusaha-pengusaha bas ini. Kenaikan tanpa ada had dan perbezaan yang terlampau ketara membuatkan pengusaha-pengusaha ini memberi mesej bahawa mereka diberi lampu hijau untuk berbuat demikian. Mereka berniaga untuk keuntungan. Apakah pakar-pakar ekonomi negara tidak menjangka perkara-perkara seperti ini akan berlaku. Siapakah yang sepatutnya disifatkan tidak pandai ekonomi?

KOSMO! melaporkan ayam sudah dijual melebihi harga yang ditetapkan. Tidak tahu la pula ada ayam-ayam ini dibawa dengan menaiki basikal yang tidak perlukan bahan api. Rakyat tidak akan melenting sekuat ini, jika sesuatu kenaikan harga itu tidak terlampau membebankan mereka. Apa yang lebih menyedihkan, ada pihak yang cuba berlepas tangan dalam hal ini, seolah-olah tidak mahu mengambil tahu apa yang akan terjadi dengan kenaikan harga yang membuta tuli tanpa ada kawalan.

Rakyat sedang menaruh harapan yang tinggi untuk mereka hidup di bumi Malaysia sebelum mati kebuluran bukan sebab tiada makanan tetapi tidak mampu memperolehinya lagi.

MALAYSIA TANAH AIRKU

Keputusan Final Dah Keluar (UiTM)

Kepada sahabat-sahabat yang menuntut di Universiti Teknologi MARA terutama di Kampus Bandaraya Melaka, diucapkan tahniah kepada yang berjaya walaupun ada yang nyaris-nyaris lemas. Apa-apa pun, kalau kurang berjaya, teruskan usaha anda dan yang telah lalu boleh dijadikan tanda ukur untuk menjadi lebih baik dimasa akan datang.

Selamat Maju Jaya

Rabu, 4 Jun 2008

Harga Petrol Melonjak. Mampukah Pengguna Bertahan

Bermula dari tarikh 5 Jun 2008 Jam 0000 (12 malam), bermulalah kadar baru bagi harga petrol di Malaysia dari RM 1.92 seliter kepada RM 2.70 seliter. Perbezaan ketara ini merupakan catatan sejarah yang terbaru dimana kenaikan adalah sebanyak 41 peratus (RM 0.78). Harga diesel juga melonjak dari RM 1.58 kepada RM 2.58.

Adakah ini satu fenomena yang pelik? Pada tahun 2006, harga petrol dinaikkan dari RM 1.62 kepada RM 1.92 (30 sen). Perubahan demi perubahan yang dilakukan oleh para pemerintah di Malaysia nampaknya bukan ke arah lebih menolong tetapi kepada suasana yang lebih tertekan dan membebankan.

Krisis bekalan makanan yang berkurangan menyebabkan kekurangan bekalan beras di seluruh Malaysia. Malaysia khususnya di negeri Kedah yang terkenal sebagai negeri Jelapang Padi serta negeri-negeri pengeluar padi yang lain tidak dapat menampung keperluan semasa negara. Bahkan kita juga mengakui, Malaysia juga mengimport beras dari luar negara. Adakah ini satu gimik untuk menghalalkan cara supaya harga beras dinaikkan?

Dengan keadaan yang semakin meruncing, kerajaan telah mengambil inisiatif memberi (injection) ke dalam BERNAS untuk menambah bekalan beras ke seluruh negara. Ini bermakna tidaklah perlu dinaikkan harga beras seperti yang berlaku sekarang.

Belum pun habis dengan krisis yang melanda, ada beberapa barang yang sudah dimansuhkan harga silingnya (ceiling price). Pemansuhan harga siling membawa makna, barang-barang tersebut boleh dijual pada harga pasaran.

Itu mengenai beras dan penghapusan harga siling. Kini rakyat dikejutkan dengan kenaikan mendadak harga petrol yang sememangnya boleh diistilahkan sebagai mengcekik bagi golongan yang berpendapatan rendah terutama yang bekerja sendiri.

Dari perspektif sebagai seorang pelajar yang menggunakan kenderaan persendirian untuk pergi ke kampus, ia tetap membebankan. segala jenis perbelanjaan termasuk kos bahan api juga akan meningkat. Ya, memang benar yang naik harga itu adalah petrol. Namun begitu, segala produk yang menggunakan petrol juga akan meningkat. Ini tidak mustahil bagi harga makanan di warung-warung juga akan naik secara mendadak.

Kenaikan harga petrol yang menyumbang kepada kenaikan harga barang-barang keperluan juga dan INFLASI akan berlaku. Inflasi yang ada di dalam ekonomi sesebuah negara mencerminkan ketidakstabilan ekonomi negara tersebut

Kerajaan boleh memberi apa-apa jaminan, tetapi hakikatnya perkara seperti ini boleh mengundang kepada masalah yang lebih besar, iaitu soal keselamatan negara. Adakah ia akan kekal seperti yang sedia ada sekarang?

Negara memerlukan sumber untuk menjamin kestabilan ekonomi negara, tetapi apa yang lebih atau perlu diutamakan adalah suasana aman hidup tenteram rakyat merupakan yang paling penting. Adakalanya kita perlu membandingkan harga sesuatu barangan yang berada dipasaran semasa dan adakalanya tidak. Sebagai pengeluar atau pengeksport petroleum, perkara ini sepatutnya jarang sekali berlaku. Contoh yang boleh diambil ialah Thailand yang merupakan negara yang mengimport petroleum. Tidak hairanlah mengapa harga petrol mereka meningkat. Disebalik harga petrol yang tinggi tetapi kos sara hidup mereka adalah jauh lebih rendah.

Pengstrukturan semula subsidi diharapkan akan lebih memberi manfaat kepada penduduk Malaysia daripada membebankan. Ada juga sebahagian pihak menyarankan supaya gaya hidup perlu diubah. Persoalannya disini ialah adakah mentaliti yang lebih 20 tahun dahulu boleh diubah dalam sekelip mata?

Ada lagi beberapa perkara yang ingin dikongsi bersama pembaca. Namun, mungkin masa tidak mengizinkan. Apa pun, kita perlu berfikir lebih luas seperti kata orang (open-minded), apakah keterbukaan itu membiarkan yang merangkak itu terus terkubur semata-mata mengejar keuntungan atau keterbukaan itu membawa sesiapa sahaja seiring dan sejalan dengan kita maju dari segi mental dan fizikal. fikir-fikirkan........

Isnin, 2 Jun 2008

Lawatan MB Perak ke Kuala Kangsar

Pada tanggal 29 Mei 2008, Dato' Seri Ir Nizar Jamaludin mengadakan lawatan ke seluruh kawasan di Kuala Kangsar termasuk ke Jabatan-Jabatan Kerajaan. Taklimat perjumpaan dibuat di Arena Square berhampiran Sungai Perak. Pelbagai jabatan menghantar wakil masing-masing.

Pada sebelah malam pula, Dato' Seri menyampaikan ceramah beliau sempena lawatan tersebut di Masjid Ridzwaniah, Kuala Kangsar. Ada beberapa perkara yang disentuh oleh beliau yang perlu diambil perhatian oleh pelbagai lapisan masyarakat terutama Melayu. Perkara yang dihighlight ialah masalah dadah yang menghantui masyarakat Malaysia masa kini. Masalah ini sudah berlarutan sekian lama, namun dengan pelbagai cara yang kerajaan ambil tidak dapat menunjukkan kesan positif yang ketara.

Beliau menyeru kepada umat Islam kihususnya supaya menggunakan kuasa yang dipinjamkan oleh Allah S.W.T. untuk memperbetulkan kesalahan serta memperbaiki mutu hidup tidak kira apa peringkat sekalipun, jika sekalipun kuasa itu hanya sebagai seorang ayah, maka kuasanya tertakluk didalam menguruskan institusi keluarga. adapun kuasa itu sebagai ketua sesebuah jabatan, maka kuasanya adalah terhadap anak-anak buahnya. Khusus juga terhadap orang Islam, beliau menyeru supaya setiap individu sentiasa mengajak kepada solat berjemaah, mengeluarkan zakat, mengajak kepada ma'aruf dan mencegah kemungkaran. Keempat-empat perkara ini merupakan tunjang kekuatan kepada kebangkitan Islam.

Menyentuh kepada bab mengeluarkan zakat, zakat ini bukan sekadar zakar fitrah yang dibayar pada setiap bulan Ramadhan tetapi merupakan zakat terhadap harta yang Allah kurniakan kepada hambanya. Pada masa kini, perkara zakat dipandang remeh oleh sesetengah pihak yang tidak sedar bahawa sebahagian harta yang dimilikinya sepanjang hidupnya adalah bukan hak milik mutlak baginya, ia adalah hak milik orang lain iaitu 8 asnaf yang disenaraikan layak untuk menerima zakat. Walaupun hasil kutipan zakat di Perak memuaskan, beliau berharap ia dapat ditingkatkan supaya fakir miskin seluruh negeri Perak akan terbela nasib mereka.

Setelah menyampaikan ceramah di masjid tersebut, beliau meneruskan lawatan sehari ke Sungai Siput untuk menyampaikan ceramah serta bantuan mangsa banjir. YB Ngar Kor Ming yang turut hadir bersama beliau di Sungai Siput menyatakan hasrat kerajaan untuk membantu sedaya upaya dengan kerjasama rakyat seluruhnya di dalam apa jua bentuk pembangunan yang dirancang oleh pihak kerajaan negeri yang diterajui oleh Pakatan Rakyat yang boleh membawa kebaikan bersama.


Seluruh rakyat negeri Perak diseru untuk menyokong sebarang projek pembangunan untuk rakyat dan menegur sebarang salahlaku jika ada tidak kira fahaman politik dan bangsa apa sekalipun. Kerajaan yang baru dilantik atau diberi mandat oleh rakyat untuk mentadbir seharusnya diberi peluang untuk menunjukkan kebolehan mereka dan rakyat boleh menilai hasil titik peluh mereka pada pilihanraya umum yang akan datang.