Carian

Rabu, 4 Jun 2008

Harga Petrol Melonjak. Mampukah Pengguna Bertahan

Bermula dari tarikh 5 Jun 2008 Jam 0000 (12 malam), bermulalah kadar baru bagi harga petrol di Malaysia dari RM 1.92 seliter kepada RM 2.70 seliter. Perbezaan ketara ini merupakan catatan sejarah yang terbaru dimana kenaikan adalah sebanyak 41 peratus (RM 0.78). Harga diesel juga melonjak dari RM 1.58 kepada RM 2.58.

Adakah ini satu fenomena yang pelik? Pada tahun 2006, harga petrol dinaikkan dari RM 1.62 kepada RM 1.92 (30 sen). Perubahan demi perubahan yang dilakukan oleh para pemerintah di Malaysia nampaknya bukan ke arah lebih menolong tetapi kepada suasana yang lebih tertekan dan membebankan.

Krisis bekalan makanan yang berkurangan menyebabkan kekurangan bekalan beras di seluruh Malaysia. Malaysia khususnya di negeri Kedah yang terkenal sebagai negeri Jelapang Padi serta negeri-negeri pengeluar padi yang lain tidak dapat menampung keperluan semasa negara. Bahkan kita juga mengakui, Malaysia juga mengimport beras dari luar negara. Adakah ini satu gimik untuk menghalalkan cara supaya harga beras dinaikkan?

Dengan keadaan yang semakin meruncing, kerajaan telah mengambil inisiatif memberi (injection) ke dalam BERNAS untuk menambah bekalan beras ke seluruh negara. Ini bermakna tidaklah perlu dinaikkan harga beras seperti yang berlaku sekarang.

Belum pun habis dengan krisis yang melanda, ada beberapa barang yang sudah dimansuhkan harga silingnya (ceiling price). Pemansuhan harga siling membawa makna, barang-barang tersebut boleh dijual pada harga pasaran.

Itu mengenai beras dan penghapusan harga siling. Kini rakyat dikejutkan dengan kenaikan mendadak harga petrol yang sememangnya boleh diistilahkan sebagai mengcekik bagi golongan yang berpendapatan rendah terutama yang bekerja sendiri.

Dari perspektif sebagai seorang pelajar yang menggunakan kenderaan persendirian untuk pergi ke kampus, ia tetap membebankan. segala jenis perbelanjaan termasuk kos bahan api juga akan meningkat. Ya, memang benar yang naik harga itu adalah petrol. Namun begitu, segala produk yang menggunakan petrol juga akan meningkat. Ini tidak mustahil bagi harga makanan di warung-warung juga akan naik secara mendadak.

Kenaikan harga petrol yang menyumbang kepada kenaikan harga barang-barang keperluan juga dan INFLASI akan berlaku. Inflasi yang ada di dalam ekonomi sesebuah negara mencerminkan ketidakstabilan ekonomi negara tersebut

Kerajaan boleh memberi apa-apa jaminan, tetapi hakikatnya perkara seperti ini boleh mengundang kepada masalah yang lebih besar, iaitu soal keselamatan negara. Adakah ia akan kekal seperti yang sedia ada sekarang?

Negara memerlukan sumber untuk menjamin kestabilan ekonomi negara, tetapi apa yang lebih atau perlu diutamakan adalah suasana aman hidup tenteram rakyat merupakan yang paling penting. Adakalanya kita perlu membandingkan harga sesuatu barangan yang berada dipasaran semasa dan adakalanya tidak. Sebagai pengeluar atau pengeksport petroleum, perkara ini sepatutnya jarang sekali berlaku. Contoh yang boleh diambil ialah Thailand yang merupakan negara yang mengimport petroleum. Tidak hairanlah mengapa harga petrol mereka meningkat. Disebalik harga petrol yang tinggi tetapi kos sara hidup mereka adalah jauh lebih rendah.

Pengstrukturan semula subsidi diharapkan akan lebih memberi manfaat kepada penduduk Malaysia daripada membebankan. Ada juga sebahagian pihak menyarankan supaya gaya hidup perlu diubah. Persoalannya disini ialah adakah mentaliti yang lebih 20 tahun dahulu boleh diubah dalam sekelip mata?

Ada lagi beberapa perkara yang ingin dikongsi bersama pembaca. Namun, mungkin masa tidak mengizinkan. Apa pun, kita perlu berfikir lebih luas seperti kata orang (open-minded), apakah keterbukaan itu membiarkan yang merangkak itu terus terkubur semata-mata mengejar keuntungan atau keterbukaan itu membawa sesiapa sahaja seiring dan sejalan dengan kita maju dari segi mental dan fizikal. fikir-fikirkan........

Tiada ulasan:

Catat Ulasan