Carian

Rabu, 16 Disember 2009

Serap SIS dan SERATA menjadi SABK?

Balas dendam ataupun sebaliknya...

SIS atau Sekolah Izzuddin Shah dan SERATA atau Sekolah Raja Perempuan Ta'ayah memang dikenali ramai sebagai tempat melahirkan pelajar-pelajar yang mempunyai ilmu agama yang baik kerana mereka ini mempunyai kelebihan di dalam ilmu i'dadi ataupun thanawi dan tak kurang juga melahirkan pemimpin-pemimpin kerajaan antaranya Dato Zahid Hamidi.

Khamis, 3 September 2009

Bersidang Demi Kepentingan Rakyat

2 September 2009 mencatat satu lagi sejarah sidang gagal diadakan atas peruntukan sedia ada kerajaan negeri perak dan terpaksa di adakan di sebuah hotel di Ipoh semalam. Malangnya, ada beberapa orang telah ditangkap dan dikasari oleh pihak polis demi melindungi kepentingan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab dan membelakangi rakyat jelata.

Tindakan tersebut terpaksa diambil oleh YB-YB dari Pakatan Rakyat demi membersihkan DUN Perak dari belenggu kerajaan rampasan yang didalangi BN. Biarlah Ahli-Ahli Yang Berhormat ini dipandang hina, namun ia tetap pilihan rakyat. Mengapa mesti ditidakkan kuasa yang telah diberi kepada mereka. Apakah kerajaan BN sekarang takut menghadapi pilihanraya lagi?

Jumaat, 3 Julai 2009

Agama dan Bangsa: Yang Manakah Satukah yang Lebih Relevan

Salam pembuka bicara untuk bulan Julai tahun 2009 ini.

Satu fenomena kekecewaan timbul dikalangan 'pejuang-pejuang' bangsa mutakhir ini dek kerana kegagalan untuk membentuk satu gagasan yang disifatkan sebagai kerajaan perpaduan 'memperjuangkan' masalah bangsa dan berusaha di dalam survival sebuah bangsa yang semakin lama semakin dimamah usia (pupus).

Maka timbullah nada kekecewaan dari 'pejuang-pejuang' bangsa ini mengatakan bahawa bangsanya sendiri memecah-belah antara mereka. Apakah yang menyatukan mereka selama ini? Pemimpin-pemimpin perdana mutakhir ini tidak pernah berbuat demikian demi bangsa mereka melainkan demi kepentingan pangkat, status dan kekayaan masing-masing. Itu adalah realiti dan tidak boleh dinafikan. Kalau ditanya, pasti tiada sesiapa yang mengaku.

Jumaat, 19 Jun 2009

DS Nizar: Laungan hidup rakyat bergema di Parlimen

Reaksi spontan. Itulah yang diungkapkan oleh YB Dato Seri Hj Ir Nizar Jamaludin ketika beliau baru selesai mengangkat sumpah sebagai ahli parlimen Bukit Gantang yang baru. Sebagai seorang wakil rakyat disebuah kawasan parlimen di negeri yang beliau pernah perintah suatu masa dahulu dicabuli kesucian demokrasinya. Beliau menyifatkan, adalah satu kelainan tatkala beliau mengangkat sumpah taat setia untuk menjaga keluhuran perlembagaan tetapi di dalam masa yang sama, ia dicabuli oleh orang lain yang juga pernah mengangkat sumpah yang sama. Dimanakah sumpah mereka selama ini?

Mungkin ada diantara mereka ini sudah lupa sumpah itu dan lupa daratan dan menganggap kerajaan yang mereka tadbir itu adalah hak milik mutlak mereka.

Dunia sudah berubah...

Ahad, 14 Jun 2009

The Last Voice of Pudu Jail


Semalam saya berkesempatan melangkahkan kaki ke Muzium Dunia Melayu Dunia Islam di Banda Hilir, Melaka untuk melihat pameran yang dianjurkan bersama PERZIM iaitu Suara Akhir Penjara Pudu. Pameran tersebut membawakan kepada pengunjung mengenai suasana penjara Pudu dan kesan-kesan peninggaln banduan semasa menjalani hukuman di penjara tersebut.

Berbagai-bagai jenis karya grafiti telah dibuat oleh banduan semasa mereka berada di penjara dan perkara tersebut dikongsi bersama oleh pegawai yang bertugas mengawasi pameran yang berada disitu. Kami meluangkan masa hampir 2 jam mendengar kisah yang menggambarkan kedegilan, keinsafan dan ketabahan banduan-banduan ini.

Apa yang menarik perhatian kami ialah kesedaran rakyat mengenai jenayah-jenayah yang boleh membawa sesiapa ke penjara masih kurang terutama yang beragama Islam. Apa yang dikongsikan bersama kami ialah ada lagi segelintir dari umat Islam kini masih buta dengan ajaran agama sendiri dan tidak tahu menahu mengenai Al-Quran, malah membacanya pun menjadi masalah. Apakah sebuah asas agama itu merupakan satu tonggak utama di dalam pembangunan seseorang insan? Pembangunan moden tidak boleh ditinggalkan, namun mesti diingatkan, pembangunan duniawi mesti dimulakan dengan pembangunan diri (agama) terlebih dahulu. Kalau diletakkan dalam kedudukan keutamaan, hukum-hakam Islam adalah yang pertama, pembangunan material adalah yang kedua. Hakikat ini sebenarnya disedari oleh pemimpin sekarang, tetapi disebabkan habuan dunia itu menampakkan kemewahan hidup, maka ditinggalkan akhirat yang menjanjikan kesenangan di padang Masyar. Keseimbangan perlu ada di antara keduanya dan ia bukan bererti mengikut teori 50-50.

Penjara-penjara yang pernah dilawati

Penjara Pudu

Penjara Johor Bahru

Sabtu, 9 Mei 2009

Cabaran Sebagai Seorang Pemimpin


Banyak perkara telah timbul sejak akhir-akhir ini dan banyak kenyataan dikeluarkan dari pelbagai pihak dihamburkan menurut kepentingan masing-masing. ADUN Tronoh, V. Sivakumar telah membuat laporan polis terhadap kekasaran yang telah dilakukan terhadap beliau tempoh hari sebagai speaker DUN perak yang telah diputuskan oleh DUN hampir setahun yang lalu.

Namun pasti diingat bahawa kerajaan negeri Perak pimpinan Pakatan Rakyat tidak diturunkan secara adil dan saksama, tetapi dipaksa dan dicampuri dengan urusan pihak istana yang membuat ia menjadi lebih keruh dan bermasalah. Ada sesetengah pihak berpendapat bahawa dengan hilang bilangan majoriti sebagai pemegang tampuk pemerintahan, maka ia akan boleh memerintah. Undang-undang tubuh negeri Perak menyatakan bahawa, Menteri Besar akan hilang kuasanya apabila ada usul undi tidak percaya yang dibawa didalam sidang dewan (tak kira dimana sekalipun) dengan kehadiran speaker dan cukup syarat didalam peraturan persidangan atau beliau sendiri akan meletak jawatan setelah difikirkan bahawa tidak mampu lagi untuk memerintah negeri.

Banyak pembaharuan telah dibuat oleh kerajaan PR di Perak termasuk pemberian hak-hak yang sepatut diberi lebih 50 tahun dahulu kepada rakyat tetapi dinafikan, pemberian kuasa mutlak untuk memilih ketua kampung sendiri melalui proses pengundian tanpa campurtangan kerajaan negeri dan berbagai-bagai lagi.

Namun ada pihak tidak tahan dengan perilaku tersebut dan merasakan ia akan tergugat jika sesuatu tidak dilakukan. Maka terjadilah insiden lompat parti dan bilangan wakil PR berkurangan dan muncul 3 wakil bebas (3 kerusi telah dikosongkan berdasarkan surat perletakan jawatan, tetapi dianggap masih ADUN) dan BN mengambil peluang ini menyatakan bahawa Perak sudah hilang majoriti. Dan orang luar dibawa masuk untuk mengepalai kumpulan ini memaklumkan kepada Tuanku Sultan bahawa kerajaan PR sudah jatuh. Cuba renungkan, masa bila kerajaan tersebut jatuh, padahal tiada perletakan jawatan dibuat atau undi tidak percaya dilakukan.

Masalah ini berlarutan meskipun Menteri Besar PR belum meletakkan jawatan, maka istana memasyhurkan perlantikan MB yang baru, dan wujudlah 2 MB dalam satu negeri. Bagaimana hendak dijalankan jentera kerajaan kalau ketua sudah ada 2 orang. Ada desas-desus angin berbisik, biarkan je la, nak buat macammana, letaklah jawatan. Jawatan merupakan satu tanggungjawab dan ia mesti dipikul sebaik-baiknya dan pengkhianatan pemberian mandat itu tidak boleh berlaku melainkan melalui prosedur-prosedur tertentu dan garis panduan mesti dipatuhi untuk mengelakkan sebarang pertelingkahan.

Tidak lama selepas perlantikan MB baru, maka timbul pula isu perlantikan penasihat yang diberikan ruang yang sama seperti seorang exco kerajaan negeri dan dibayar dengan nilai tertentu. Ini menampakkan kepimpinan baru terlampau lemah dan perlu dibantu. Seorang exco sudah ada portfolio masing-masing dan tidak perlu sebarang pertambahan lagi dan ia akan membazirkan duit rakyat.

Dengan kelantangan ketegasan dan ketelusan Speaker DUN mematuhi peraturan dewan, episod cerita ala-ala merebut kerusi CEO syarikat yang ada kat kaca TV semata-mata inginkan pangkat dan harta, maka pelbagai tingkahlaku dibuat demi memastikan Kerajaan pimpinan PR tumbang sepenuhnya dengan membawa kes ke mahkamah (melangkaui perintah speaker), menakut-nakutkan ADUN-ADUN PR dengan kehadiran pihak keselamatan tanpa diundang, serangan terhadap ADUN Kuala Kurau (Pembantu peribadi cedera) dan rayuan di mahkamah dengan perkara-perkara yang kurang relevan. Namun rayuan itu banyak ditolak dan perintah injunksi dibuat terhadap MB yang baru di dalam menjalankan sebarang tugas kerajaan negeri.

Semua dinampakkan seperti satu pelan yang terperinci demi mengambil-alih pemerintahan negeri dalam bentuk yang tidak diharapkan oleh rakyat. Ada pihak berpendapat, bahawa perintah Sultan tidak boleh dibangkang, maka akan timbul persoalan, apakah sekarang baru mahu menunjukkan yang kita taat pada sultan. Institusi Di Raja sudah dicabuli beberapa kali dan demi kepentingan sesetengah pihak, maka barulah titah itu dipatuhi dan sesiapa melanggarnya akan dianggap derhaka. Ada satu kisah dongeng dahulu kala Abu Nawas dan Pak-Pak Menteri didalam sebuah kerajaan, maka diuji menteri-menteri ini dengan menunjukkan penutup kepala Abu Nawas kepada mereka di depan Raja. Dengan keangkuhan dan kesombongan mereka, mereka mengaku ada melihat taman yang cantik seperti yang diprovokasi oleh Abu Nawas atas sebab takut dimarahi Raja. Raja tertanya-tanya, apakah benar, maka baginda pun berbuat demikian dan terbatuk-batuk dek kerana penutup kepala itu berbau dan baginda menyatakan, tiada apa-apa kelihatan. Maka Abu Nawas menerangkan bahawa Menteri-Menteri ini pengampu semuanya kerana yang busuk dan kotor itupun dikatakan wangi dan cantik dihadapan Raja kerana kepentingan mereka inginkan kuasa dan harta. Maka akhirnya mereka dibuang dari kerajaan.

Pelbagai modal digunakan oleh pihak-pihak ini dengan menyatakan kepada rakyat bahawa Sultan tidak boleh diderhakai dengan apa cara pun, tetapi mengapa speaker yang diiktiraf oleh sebuah dewan yang mulia dan kebal dari sebarang tindakan mahkamah diingkari arahannya meskipun arahan itu datang dan termaktub di dalam buku yang dibuat dan di tetapkan oleh kerajaan sebelum ini. Belum ada arahan speaker ini melangkaui apa telah digariskan. Apakah mereka melanggar undang-undang ciptaan mereka sendiri. Sungguh memalukan. Mungkin mereka memakai sebahagian peraturan dan mengingkari sebahagian yang lain.

Didalam sidang media yang disiarkan melalui TVantara.com, YB ADUN Tronoh menyatakan setiap tingkah laku beliau berlandaskan peraturan dewan dan sebagai speaker yang sah beliau memberikan arahan sepanjang persidangan DUN sebagai seorang speaker. Tidak dinafikan bahawa sidang tersebut disiarkan melalui media arus perdana dan ia mungkin ada perbezaan yang boleh dinilai sendiri oleh penontonnya. Maka persoalannya, mengapa arahan beliau tidak dipatuhi sedangkan tidak ada permasalahan disitu didalam pemberian arahan.

Ketegasan beliau menjadikan ada pihak yang kurang senang dan mula dibangkitkan soal bangsanya, dikatakan biadab. Apakah erti biadab sebenarnya? Siapakah yang sebenarnya yang biadab? Tetapi itu tidak boleh dijadikan soalan pokok kerana yang dikatakan pengganti itu pun dari bangsa yang sama dan orang ini belum kelihatan perangai sebenarnya dan tidak perlu dibanggakan.

YB V. Sivakumar hanya mendokong segala yang telah diamanahkan oleh Dewan dan beliau cuba-cuba sedaya upaya mempertahankan dari diperkotak-katikkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Kestabilan sesebuah kerajaan bukan hanya terletak pada majoriti pegangan kerusi didominasi oleh satu kaum sahaja, namun pasti diingat, kaum yang lain juga mewakili suara rakyat juga. Bila ideologi ini timbul, maka akan ada yang berkata, nak buat macam mana, tak boleh tukar, dah terbiasa begitu. Perubahan mesti dilakukan oleh sesiapa sahaja demi kepentingan bersama. Selagi perubahan itu bukan berbentuk kezaliman dan pembaziran, maka ia mesti disokong sepenuhnya. Kelahiran manusia ini dijadikan oleh Tuhan dengan berbagai-bagai puak, bangsa serta kaum dan mereka duduk bersepah di muka bumi supaya mereka boleh berkenal-kenalan dan berbaik-baik. Dan masalah benci-membenci tidak perlu timbul sepatutnya, tetapi adanya sikap bongkak dan sombong serta tamak, maka manusia akan hilang kawalan dan pertimbangan dan merasakan hanya diri sendiri yang betul dan benar.

Samseng.
Ada yang mendakwa YB ADUN Tronoh ini ada lagaknya seperti seorang samseng disebabkan ketinggian suara dan kekasaran tutur kata yang diungkapkan sepanjang memberikan arahan untuk memastikan 7 orang yang sepatutnya tidak boleh hadir ke persidangan dewan keluar dari dewan tersebut. Dek kerana kedegilan mereka, maka suara memainkan peranan didalam menyampai arahan. Namun ia dikaitkan dengan budaya rakyat Malaysia yang lemah lembut dan bersopan santun. Pada hemat saya, sesetangah daripada kita, bersopan-santun tidak kena pada tempatnya. Bayangkan, jika seorang anak itu degil menuruti arahan bapanya, maka diherdik oleh bapanya (anak-anak sekarang kalau diherdik, silap-silap bermasam muka dengan bapanya). Apakah herdikan itu satu kelembutan, ia adalah ketegasan yang ditunjukkan oleh si bapa supaya diharapkan anak itu menurutinya. Si bapa bukan samseng dan bukan macam samseng sekalipun dan si bapa tidak dianggap melakukan jenayah atau kesalahan terhadap anaknya.

Saya akan sambung lagi renungan ini dan fikir-fikirkan, adakah selama ini kita mendokong sepenuhnya Sultan atau Institusi Di Raja? adakah sebab Tuanku Sultan bekas Ketua Hakim Negara dan berpengetahuan luas dalam ilmu perundangan, maka baginda kebal? Janganlah kerana kita terkejut, terkedu, dan tidak boleh menerima hakikat apa yang telah berlaku, segala tindakan menjadi sumbang dan memalukan. Fikirlah, sebagai seorang orang bawahan, jangan kita menjadi seperti seekor anak burung yang tahu menelan sahaja sekalipun yang ditelan itu racun yang memakan diri sendiri.

Khamis, 7 Mei 2009

Speaker Diheret, Dewan Dicemari oleh Tangan-tangan Kotor yang Pengecut


Difahamkan bahawa sidang DUN Perak telah berjalan dengan suasana yang sangat huru-hara dan dicemari dengan adegan-adegan yang melanggari batas undang-undang dan perlembagaan negeri Perak sendiri.

YB Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin yang masih dikerusi beliau sebagai Menteri Besar Perak yang sah masih tetap dengan pendirian beliau dan ADUN-ADUN PR masih
mengikuti susunan seperti sidang yang sebelum ini.

Kawalan ketat polis yang bukan sahaja merimaskan tetapi seolah-olah yang hadir ke Dewan Negeri ini semacam pengganas. Memang tugasan mereka adalah untuk menjaga keselamatan, namun ada pihak-pihak yang sepatutnya dibenarkan masuk ke Dewan dinafikan hak mereka dan tak kurang pula ada penangkapan dibuat ke atas ahli-ahli parlimen termasuk MP Parit Buntar, MP Kubang Kerian dan ramai lagi. Beginikah amalan demokrasi di Malaysia? Apakah erti demokrasi yang sebenarnya bagi BN?

Mungkin jawapannya ini, rampas segala yang telah diambil dengan apa cara sekalipun, hak rakyat jangan ambil peduli, yang penting kita berkuasa. Kalau itu jawapannya, memang kerajaan Barisan Nasional akan lumpuh seluruhnya menjelang Pilihanraya Umum ke-13 nanti. Ini bukan soal merebut jawatan atau kuasa, tetapi lebih kepada kredibiliti dan integriti sesebuah kerajaan itu untuk memerintah. Apa yang boleh dilihat dari sini, BN merasakan mereka tidak mampu lagi untuk bertanding secara depan-depan seperti yang
dibuat sebelum ini seperti di Bukit Selambau, Bukit Gantang, Kuala Terengganu yang menyaksikan kekalahan yang berterusan walaupun di Batang Ai, BN menang.

Sidang DUN Perak 7 Mei 2009 telah dicemari dengan kehadiran lebih kurang 300 anggota polis yang berpakaian seragam serta tidak dan mereka tidak diketahui dari mana datangnya dan mereka digunakan untuk membolehkan speaker lantikan BN Datuk R Ganesan menduduki kerusi speaker itu setelah Speaker DUN yang sah, YB V. Sivakumar diheret keluar. Suasana menjadi tegang dengan ADUN-ADUN PR mempertahankan hak masing-masing dan mempertahankan YB V Sivakumar. Inilah demokrasi pemerintah BN dan ia menyaksikan undang-undang dirosakkan oleh tangan-tangan mereka sendiri tanpa mereka sedari.

Apa yang lebih memalukan, setiap gerak geri ADUN-ADUN BN dan 3 bekas ADUN menampakkan masing-masing tamakkan kuasa dan sanggup membelakangkan peraturan Dewan yang termaktub dan dibaca oleh YB V. Sivakumar. Perlantikan Datuk R Ganesan adalah satu tindakan terburu-buru dan gopoh yang dibuat oleh BN dan patung boneka BN ini berlagak seperti seorang speaker yang professional. Apakah rakyat buta?

Sudah termaktub di dalam perlembagaan negeri bahawa seorang Menteri Besar itu akan lucut jawatannya sama ada dengan kehendak diri sendiri ataupun ada usul undi tidak percaya terhadapnya dibuat di dalam Dewan. Maka tidak timbullah perlantikan MB yang baru melainkan istana sudah dipengaruhi dengan tindakan sesetengah pihak. Barisan Nasional didalam sejarahnya belum pernah menjadi pembangkang di negeri Perak tidak dapat menerima hakikat bahawa mereka terpaksa menghadapi dengan penuh kepahitan. Realitinya rakyat sudah nampak, bahawa politik berlandaskan bangsa sudah tidak relevan lagi dan rakyat hanya mahu mereka hidup dengan tenang dan saksama.

Rakyat Perak hari ini hanya mampu melihat wakil-wakil mereka diperkotak-katikkan dan ditindas oleh pihak-pihak yang bertindak luar batasan kemanusiaan dan mereka hanya mampu berdoa dan memohon supaya petunjuk diberi dari Tuhan Yang Esa.

Ahad, 26 April 2009

Bila Sekular Pandai-Pandai Pasal Agama

Agama anak: Kabinet mesti rujuk mufti

Apr 24, 09 4:35pm

sumber: http://www.malaysiakini.com/news/103044


Keputusan kabinet semalam - anak kekal agama asal ibu bapanya walaupun salah seorang menganut Islam - sewajarnya dirujuk kepada mufti, kata Datuk Seri Harussani Zakaria.

Mufti Perak menyarankan kerajaan mendapatkan pandangan Majlis Mufti-mufti Malaysia sebelum membuat sebarang keputusan berhubung Islam bagi mengelak timbulnya kekeliruan, lapor Bernama.

"Dalam agama Islam, mana-mana bapa atau ibu yang menganuti Islam, anak mereka dengan sendirinya menganut Islam kecuali jika anak tersebut sudah berumur lebih 15 tahun dan boleh memilih agamanya sendiri," Harussani dipetik berkata hari ini.

Ketika mengumumkan keputusan kabinet, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata keputusan itu sebagai langkah penyelesaian berhubung pertikaian status agama kanak-kanak apabila ibu atau bapa menukar agama.

Menurut agensi berita itu lagi, beberapa NGO Islam turut menggesa kerajaan mengkaji semula keputusan itu kerana mendakwa ia dibuat tanpa mengambil kira undang-undang sedia ada dan pandangan pihak-pihak yang berkenaan.

Keputusan itu menafikan hak pihak yang memeluk Islam, kata Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Mohamad Isa Abdul Latif pada sidang akhbar yang turut dihadiri wakil-wakil badan lain termasuk Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Persatuan Dakwah dan Kebajikan Saudara Baru Islam SeMalaysia.

Selain keputusan membesarkan anak di bawah umur mengikut agama asal ibu bapanya, kabinet juga memutuskan pasangan yang memeluk Islam harus menyelesaikan segala isu berkaitan perceraian dan penjagaan anak-anak di mahkamah sivil.

Nazri dilaporkan berkata, langkah itu selaras dengan pendirian jemaah menteri bahawa enakmen syariah hanya boleh digunakan terhadap perjanjian berkaitan perkahwinan yang dibuat bermula dari tarikh individu itu memeluk Islam dan bukannya sebelum itu.

Tambahnya, keputusan itu berdasarkan pandangan jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi menyelesaikan kes K Pathmanaban atau nama Islamnya Mohd Ridzuan Abdullah.

Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Menteri di JPM Tan Sri Dr Koh Tsu Koon turut disertai Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam; Menteri di JPM Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom, dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.


Kabinet sepatutnya rujuk semula kes seperti ini pada Mufti-Mufti, bukan pandai-pandai sendiri, perkara yang melibatkan agama lebih serius berbanding pasal kaum. Habis semua perundangan negara kita menjadi tunggang-langgang.

Selasa, 3 Mac 2009

Kekalutan dan Kepincangan 1

Suasana di negeri kelahiranku bertambah tegang dengan kekalutan sesetengah pihak yang menganggap kedudukan mereka sudah sah disisi undang-undang dan berpura-pura pandai segala benda. Dengan lantikan yang penuh kontroversi dan sibuk menggaji penasihat yang diragui kredibilitinya memungkinkan Perak akan hancur dari perspektif demokrasi (suara rakyat) dan keharmonian sejagat. Banyak desas-desus mengatakan bahawa Melayu sekarang sudah lupa, biarkan mereka lupa perkara buruk yang telah berlaku selama ini. Bukakan lembaran baru yang lebih terbuka untuk seluruh rakyat jelata.

Kuasa yang dipinjamkan oleh Allah S.W.T kepada hambanya banyak menguji kesabaran dan ketabahan seseorang dengan dirampas dan dirompak (istilah yang digunakan oleh PR) oleh orang lain dengan cara yang kotor, namun disisi Allah kuasa itu terletak di tangan setiap hambanya yang menghirup udara segar yang dikurniakan tanpa mengira waktu dan ketika. Dek kerana bangsa, kita seringkali lupa dengan orang lain disekeliling kita.

Di dalam Al-Quran Allah berfirman "Sesugguhnya kami menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan kami jadikan kamu berpuak puak dan suku kaum, supaya kamu dapat saling kenal mengenali. Sesungguhnya semulia mulia kamu disisi tuhanmu adalah mereka yang paling bertaqwa kepada ku." - surah Al Hujurat -

Memang tidak dipertikaikan, masing-masing sayang akan bangsa masing-masing. Tetapi di mana kita sesuaikan kepentingan bangsa itu akan menjadi persoalan. Islam tidak akan boleh ditegakkan sama sekali di atas dasar bangsa. Namun di Malaysia, bila menyentuh mengenai Islam, maka merujuklah ia kepada satu bangsa, iaitu Melayu. Adakah Islam itu untuk Melayu? Adakah yang Melayu itu semuanya Islam? Apakah mereka yang telah diisytiharkan keluar Islam sebagai bukan Melayu, habis? Mereka ini siapa?

Di zaman Rasulullah, umat Islam boleh duduk semeja dengan orang kafir di dalam menyusun perjalanan kerajaan Islam pada masa itu. Mereka saling bekerjasama di dalam memberikan khidmat yang terbaik untuk umat manusia pada masa tersebut. Apakah kesepakatan ini tidak dapat diterima oleh sesetengah pihak?

Menyentuh situasi di Perak, apabila seorang speaker dinafikan kuasanya sedangkan yang mencipta bidang kuasa itu adalah mereka sendiri. Tidak kira siapa speaker itu, Cina ke, India ke, Melayu ke, dia tetap speaker yang sah disisi undang-undang. Apa pun keputusan yang diambil yang berlandaskan undang-undang adalah dikira sah tanpa perlu pertikaian. Apakah ada pihak yang panas punggung apabila kerusi yang diduduki sekarang ini diperoleh melalui cara yang salah cuba diheret ke muka pengadilan. Sudahlah diperoleh dengan cara yang paling dramatik, maka dia pun memandai dengan sendirinya melantik sesuka hati penasihatnya. Apakah orang itu sudah cukup lemah (tak mampu berdiri) sehingga memerlukan penasihat yang empat itu memapahnya untuk mengemudikan kapal yang dirampas (belajar dulu bawa kapal sebelum nak rampas kapal orang lain).

Abdullah Antong digantung tugas
Memang melucukan apabila seorang Setiausaha Dewan membuat kenyataan bahawa Sidang Tergempar memerlukan perkenan Tuanku Sultan. Dah pun ia dinamakan Sidang Tergempar, maka perkenan Tuanku Sultan tidak diperlukan. Ia terkandung di dalam Perintah Tetap Dewan. Dan lebih melucukan, beliau (SU Dewan) ini menyatakan sendiri kebenaran bahawa sidang itu sah dari segi undang-undang seperti yang telah ditetapkan.

Nantikan sambungannya...

Sabtu, 7 Februari 2009

Setelah Lama Menghilang

Salam buat pengunjung sekalian, sudah lama saya menghilang dengan tiada sebarang kupasan isu-isu yang berlaku di Malaysia. Namun hati saya terpanggil untuk terus menglibatkan diri dalam penghasilan nukilan-nukilan hati yang semestinya menjadi wadah pembaca sekarang ini. Ikuti catatan seterusnya selepas ini.