Carian

Sabtu, 9 Mei 2009

Cabaran Sebagai Seorang Pemimpin


Banyak perkara telah timbul sejak akhir-akhir ini dan banyak kenyataan dikeluarkan dari pelbagai pihak dihamburkan menurut kepentingan masing-masing. ADUN Tronoh, V. Sivakumar telah membuat laporan polis terhadap kekasaran yang telah dilakukan terhadap beliau tempoh hari sebagai speaker DUN perak yang telah diputuskan oleh DUN hampir setahun yang lalu.

Namun pasti diingat bahawa kerajaan negeri Perak pimpinan Pakatan Rakyat tidak diturunkan secara adil dan saksama, tetapi dipaksa dan dicampuri dengan urusan pihak istana yang membuat ia menjadi lebih keruh dan bermasalah. Ada sesetengah pihak berpendapat bahawa dengan hilang bilangan majoriti sebagai pemegang tampuk pemerintahan, maka ia akan boleh memerintah. Undang-undang tubuh negeri Perak menyatakan bahawa, Menteri Besar akan hilang kuasanya apabila ada usul undi tidak percaya yang dibawa didalam sidang dewan (tak kira dimana sekalipun) dengan kehadiran speaker dan cukup syarat didalam peraturan persidangan atau beliau sendiri akan meletak jawatan setelah difikirkan bahawa tidak mampu lagi untuk memerintah negeri.

Banyak pembaharuan telah dibuat oleh kerajaan PR di Perak termasuk pemberian hak-hak yang sepatut diberi lebih 50 tahun dahulu kepada rakyat tetapi dinafikan, pemberian kuasa mutlak untuk memilih ketua kampung sendiri melalui proses pengundian tanpa campurtangan kerajaan negeri dan berbagai-bagai lagi.

Namun ada pihak tidak tahan dengan perilaku tersebut dan merasakan ia akan tergugat jika sesuatu tidak dilakukan. Maka terjadilah insiden lompat parti dan bilangan wakil PR berkurangan dan muncul 3 wakil bebas (3 kerusi telah dikosongkan berdasarkan surat perletakan jawatan, tetapi dianggap masih ADUN) dan BN mengambil peluang ini menyatakan bahawa Perak sudah hilang majoriti. Dan orang luar dibawa masuk untuk mengepalai kumpulan ini memaklumkan kepada Tuanku Sultan bahawa kerajaan PR sudah jatuh. Cuba renungkan, masa bila kerajaan tersebut jatuh, padahal tiada perletakan jawatan dibuat atau undi tidak percaya dilakukan.

Masalah ini berlarutan meskipun Menteri Besar PR belum meletakkan jawatan, maka istana memasyhurkan perlantikan MB yang baru, dan wujudlah 2 MB dalam satu negeri. Bagaimana hendak dijalankan jentera kerajaan kalau ketua sudah ada 2 orang. Ada desas-desus angin berbisik, biarkan je la, nak buat macammana, letaklah jawatan. Jawatan merupakan satu tanggungjawab dan ia mesti dipikul sebaik-baiknya dan pengkhianatan pemberian mandat itu tidak boleh berlaku melainkan melalui prosedur-prosedur tertentu dan garis panduan mesti dipatuhi untuk mengelakkan sebarang pertelingkahan.

Tidak lama selepas perlantikan MB baru, maka timbul pula isu perlantikan penasihat yang diberikan ruang yang sama seperti seorang exco kerajaan negeri dan dibayar dengan nilai tertentu. Ini menampakkan kepimpinan baru terlampau lemah dan perlu dibantu. Seorang exco sudah ada portfolio masing-masing dan tidak perlu sebarang pertambahan lagi dan ia akan membazirkan duit rakyat.

Dengan kelantangan ketegasan dan ketelusan Speaker DUN mematuhi peraturan dewan, episod cerita ala-ala merebut kerusi CEO syarikat yang ada kat kaca TV semata-mata inginkan pangkat dan harta, maka pelbagai tingkahlaku dibuat demi memastikan Kerajaan pimpinan PR tumbang sepenuhnya dengan membawa kes ke mahkamah (melangkaui perintah speaker), menakut-nakutkan ADUN-ADUN PR dengan kehadiran pihak keselamatan tanpa diundang, serangan terhadap ADUN Kuala Kurau (Pembantu peribadi cedera) dan rayuan di mahkamah dengan perkara-perkara yang kurang relevan. Namun rayuan itu banyak ditolak dan perintah injunksi dibuat terhadap MB yang baru di dalam menjalankan sebarang tugas kerajaan negeri.

Semua dinampakkan seperti satu pelan yang terperinci demi mengambil-alih pemerintahan negeri dalam bentuk yang tidak diharapkan oleh rakyat. Ada pihak berpendapat, bahawa perintah Sultan tidak boleh dibangkang, maka akan timbul persoalan, apakah sekarang baru mahu menunjukkan yang kita taat pada sultan. Institusi Di Raja sudah dicabuli beberapa kali dan demi kepentingan sesetengah pihak, maka barulah titah itu dipatuhi dan sesiapa melanggarnya akan dianggap derhaka. Ada satu kisah dongeng dahulu kala Abu Nawas dan Pak-Pak Menteri didalam sebuah kerajaan, maka diuji menteri-menteri ini dengan menunjukkan penutup kepala Abu Nawas kepada mereka di depan Raja. Dengan keangkuhan dan kesombongan mereka, mereka mengaku ada melihat taman yang cantik seperti yang diprovokasi oleh Abu Nawas atas sebab takut dimarahi Raja. Raja tertanya-tanya, apakah benar, maka baginda pun berbuat demikian dan terbatuk-batuk dek kerana penutup kepala itu berbau dan baginda menyatakan, tiada apa-apa kelihatan. Maka Abu Nawas menerangkan bahawa Menteri-Menteri ini pengampu semuanya kerana yang busuk dan kotor itupun dikatakan wangi dan cantik dihadapan Raja kerana kepentingan mereka inginkan kuasa dan harta. Maka akhirnya mereka dibuang dari kerajaan.

Pelbagai modal digunakan oleh pihak-pihak ini dengan menyatakan kepada rakyat bahawa Sultan tidak boleh diderhakai dengan apa cara pun, tetapi mengapa speaker yang diiktiraf oleh sebuah dewan yang mulia dan kebal dari sebarang tindakan mahkamah diingkari arahannya meskipun arahan itu datang dan termaktub di dalam buku yang dibuat dan di tetapkan oleh kerajaan sebelum ini. Belum ada arahan speaker ini melangkaui apa telah digariskan. Apakah mereka melanggar undang-undang ciptaan mereka sendiri. Sungguh memalukan. Mungkin mereka memakai sebahagian peraturan dan mengingkari sebahagian yang lain.

Didalam sidang media yang disiarkan melalui TVantara.com, YB ADUN Tronoh menyatakan setiap tingkah laku beliau berlandaskan peraturan dewan dan sebagai speaker yang sah beliau memberikan arahan sepanjang persidangan DUN sebagai seorang speaker. Tidak dinafikan bahawa sidang tersebut disiarkan melalui media arus perdana dan ia mungkin ada perbezaan yang boleh dinilai sendiri oleh penontonnya. Maka persoalannya, mengapa arahan beliau tidak dipatuhi sedangkan tidak ada permasalahan disitu didalam pemberian arahan.

Ketegasan beliau menjadikan ada pihak yang kurang senang dan mula dibangkitkan soal bangsanya, dikatakan biadab. Apakah erti biadab sebenarnya? Siapakah yang sebenarnya yang biadab? Tetapi itu tidak boleh dijadikan soalan pokok kerana yang dikatakan pengganti itu pun dari bangsa yang sama dan orang ini belum kelihatan perangai sebenarnya dan tidak perlu dibanggakan.

YB V. Sivakumar hanya mendokong segala yang telah diamanahkan oleh Dewan dan beliau cuba-cuba sedaya upaya mempertahankan dari diperkotak-katikkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Kestabilan sesebuah kerajaan bukan hanya terletak pada majoriti pegangan kerusi didominasi oleh satu kaum sahaja, namun pasti diingat, kaum yang lain juga mewakili suara rakyat juga. Bila ideologi ini timbul, maka akan ada yang berkata, nak buat macam mana, tak boleh tukar, dah terbiasa begitu. Perubahan mesti dilakukan oleh sesiapa sahaja demi kepentingan bersama. Selagi perubahan itu bukan berbentuk kezaliman dan pembaziran, maka ia mesti disokong sepenuhnya. Kelahiran manusia ini dijadikan oleh Tuhan dengan berbagai-bagai puak, bangsa serta kaum dan mereka duduk bersepah di muka bumi supaya mereka boleh berkenal-kenalan dan berbaik-baik. Dan masalah benci-membenci tidak perlu timbul sepatutnya, tetapi adanya sikap bongkak dan sombong serta tamak, maka manusia akan hilang kawalan dan pertimbangan dan merasakan hanya diri sendiri yang betul dan benar.

Samseng.
Ada yang mendakwa YB ADUN Tronoh ini ada lagaknya seperti seorang samseng disebabkan ketinggian suara dan kekasaran tutur kata yang diungkapkan sepanjang memberikan arahan untuk memastikan 7 orang yang sepatutnya tidak boleh hadir ke persidangan dewan keluar dari dewan tersebut. Dek kerana kedegilan mereka, maka suara memainkan peranan didalam menyampai arahan. Namun ia dikaitkan dengan budaya rakyat Malaysia yang lemah lembut dan bersopan santun. Pada hemat saya, sesetangah daripada kita, bersopan-santun tidak kena pada tempatnya. Bayangkan, jika seorang anak itu degil menuruti arahan bapanya, maka diherdik oleh bapanya (anak-anak sekarang kalau diherdik, silap-silap bermasam muka dengan bapanya). Apakah herdikan itu satu kelembutan, ia adalah ketegasan yang ditunjukkan oleh si bapa supaya diharapkan anak itu menurutinya. Si bapa bukan samseng dan bukan macam samseng sekalipun dan si bapa tidak dianggap melakukan jenayah atau kesalahan terhadap anaknya.

Saya akan sambung lagi renungan ini dan fikir-fikirkan, adakah selama ini kita mendokong sepenuhnya Sultan atau Institusi Di Raja? adakah sebab Tuanku Sultan bekas Ketua Hakim Negara dan berpengetahuan luas dalam ilmu perundangan, maka baginda kebal? Janganlah kerana kita terkejut, terkedu, dan tidak boleh menerima hakikat apa yang telah berlaku, segala tindakan menjadi sumbang dan memalukan. Fikirlah, sebagai seorang orang bawahan, jangan kita menjadi seperti seekor anak burung yang tahu menelan sahaja sekalipun yang ditelan itu racun yang memakan diri sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan