Carian

Khamis, 7 Mei 2009

Speaker Diheret, Dewan Dicemari oleh Tangan-tangan Kotor yang Pengecut


Difahamkan bahawa sidang DUN Perak telah berjalan dengan suasana yang sangat huru-hara dan dicemari dengan adegan-adegan yang melanggari batas undang-undang dan perlembagaan negeri Perak sendiri.

YB Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin yang masih dikerusi beliau sebagai Menteri Besar Perak yang sah masih tetap dengan pendirian beliau dan ADUN-ADUN PR masih
mengikuti susunan seperti sidang yang sebelum ini.

Kawalan ketat polis yang bukan sahaja merimaskan tetapi seolah-olah yang hadir ke Dewan Negeri ini semacam pengganas. Memang tugasan mereka adalah untuk menjaga keselamatan, namun ada pihak-pihak yang sepatutnya dibenarkan masuk ke Dewan dinafikan hak mereka dan tak kurang pula ada penangkapan dibuat ke atas ahli-ahli parlimen termasuk MP Parit Buntar, MP Kubang Kerian dan ramai lagi. Beginikah amalan demokrasi di Malaysia? Apakah erti demokrasi yang sebenarnya bagi BN?

Mungkin jawapannya ini, rampas segala yang telah diambil dengan apa cara sekalipun, hak rakyat jangan ambil peduli, yang penting kita berkuasa. Kalau itu jawapannya, memang kerajaan Barisan Nasional akan lumpuh seluruhnya menjelang Pilihanraya Umum ke-13 nanti. Ini bukan soal merebut jawatan atau kuasa, tetapi lebih kepada kredibiliti dan integriti sesebuah kerajaan itu untuk memerintah. Apa yang boleh dilihat dari sini, BN merasakan mereka tidak mampu lagi untuk bertanding secara depan-depan seperti yang
dibuat sebelum ini seperti di Bukit Selambau, Bukit Gantang, Kuala Terengganu yang menyaksikan kekalahan yang berterusan walaupun di Batang Ai, BN menang.

Sidang DUN Perak 7 Mei 2009 telah dicemari dengan kehadiran lebih kurang 300 anggota polis yang berpakaian seragam serta tidak dan mereka tidak diketahui dari mana datangnya dan mereka digunakan untuk membolehkan speaker lantikan BN Datuk R Ganesan menduduki kerusi speaker itu setelah Speaker DUN yang sah, YB V. Sivakumar diheret keluar. Suasana menjadi tegang dengan ADUN-ADUN PR mempertahankan hak masing-masing dan mempertahankan YB V Sivakumar. Inilah demokrasi pemerintah BN dan ia menyaksikan undang-undang dirosakkan oleh tangan-tangan mereka sendiri tanpa mereka sedari.

Apa yang lebih memalukan, setiap gerak geri ADUN-ADUN BN dan 3 bekas ADUN menampakkan masing-masing tamakkan kuasa dan sanggup membelakangkan peraturan Dewan yang termaktub dan dibaca oleh YB V. Sivakumar. Perlantikan Datuk R Ganesan adalah satu tindakan terburu-buru dan gopoh yang dibuat oleh BN dan patung boneka BN ini berlagak seperti seorang speaker yang professional. Apakah rakyat buta?

Sudah termaktub di dalam perlembagaan negeri bahawa seorang Menteri Besar itu akan lucut jawatannya sama ada dengan kehendak diri sendiri ataupun ada usul undi tidak percaya terhadapnya dibuat di dalam Dewan. Maka tidak timbullah perlantikan MB yang baru melainkan istana sudah dipengaruhi dengan tindakan sesetengah pihak. Barisan Nasional didalam sejarahnya belum pernah menjadi pembangkang di negeri Perak tidak dapat menerima hakikat bahawa mereka terpaksa menghadapi dengan penuh kepahitan. Realitinya rakyat sudah nampak, bahawa politik berlandaskan bangsa sudah tidak relevan lagi dan rakyat hanya mahu mereka hidup dengan tenang dan saksama.

Rakyat Perak hari ini hanya mampu melihat wakil-wakil mereka diperkotak-katikkan dan ditindas oleh pihak-pihak yang bertindak luar batasan kemanusiaan dan mereka hanya mampu berdoa dan memohon supaya petunjuk diberi dari Tuhan Yang Esa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan