Carian

Jumaat, 3 Julai 2009

Agama dan Bangsa: Yang Manakah Satukah yang Lebih Relevan

Salam pembuka bicara untuk bulan Julai tahun 2009 ini.

Satu fenomena kekecewaan timbul dikalangan 'pejuang-pejuang' bangsa mutakhir ini dek kerana kegagalan untuk membentuk satu gagasan yang disifatkan sebagai kerajaan perpaduan 'memperjuangkan' masalah bangsa dan berusaha di dalam survival sebuah bangsa yang semakin lama semakin dimamah usia (pupus).

Maka timbullah nada kekecewaan dari 'pejuang-pejuang' bangsa ini mengatakan bahawa bangsanya sendiri memecah-belah antara mereka. Apakah yang menyatukan mereka selama ini? Pemimpin-pemimpin perdana mutakhir ini tidak pernah berbuat demikian demi bangsa mereka melainkan demi kepentingan pangkat, status dan kekayaan masing-masing. Itu adalah realiti dan tidak boleh dinafikan. Kalau ditanya, pasti tiada sesiapa yang mengaku.



Bila peristiwa ini berlaku, maka akan terungkaplah kisah-kisah nabi junjungan yang mampu memerintah dan tidak berpecah-belah. Atas dasar apakah masalah seumpama ini tidak timbul di zaman pemerintahan baginda? Jangan diambil separuh cerita sahaja, kemudian menolak sebahagian yang lain. Masyarakat melayu di zaman sudah lama terdedah dengan ideologi British sekian lama meskipun di'anggap' merdeka hampir 52 tahun. Kita belum merdeka sebenarnya. Parasit-parasit bangsa masih lagi bertaburan menjalankan agenda masing-masing demi memastikan Melayu kekal ditakuk lama dan tidak pandai melawan. Siapakah yang memerintah kerajaan selama ini dan ia dianggap 'immortal' untuk memerintah dengan ideologinya sendiri yang berlandaskan NASIONALISM dan RACISM.

PAS perlu kekal memperjuangkan Islam dan bukan memperjuangkan Melayu
Atas perihal apa saya perlu mengatakan begitu adalah berpandukan kepada ayat-ayat yang dipetik dari Al-Quran

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). Surah Al-Hujurat: 13

Ayat di atas menyangkal sebarang sikap yang berbentuk ke'bangsa'an. Yang mulia di sisi Allah hanyalah orang yang bertaqwa sahaja. Maka taqwa itu dijadikan batu sempadan untuk mengukur kehebatan manusia dan kekuatannya disisi Allah.

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.
Surah An-Nisaa: 58-59

Dua ayat di atas menerangkan ketaatan terhadap pemimpin, apa kaitan dengan isu ini? Sekian lama orang Melayu disuruh dan ditekan untuk tunduk kepada kerajaan dan pemerintahannya. Yang sebenarnya, selagi kerajaan itu serta pemimpin-pemimpin tidak bertaqwa kepada Allah, selagi itulah ia boleh disanggah.

Melayu sekarang semakin terhimpit dek perilaku pemimpinnya sendiri yang memegang tampuk kuasa dengan diomok-omok peristiwa-peristiwa hitam yang kelahiran mutakhir ini tidak pernah melaluinya dan hanya membaca coretan-coretan dan bualan yang belum tentu kesahihannya dan dengan itulah Melayu kian menjadi dungu dan lemah. Janganlah diikutkan darah yang panas, segelintir dari kita yang berbangsa Melayu menanam satu sifat yang membenci bangsa-bangsa lain. Penyatuan bangsa-bangsa ini perlu dilakukan dengan meletakkan Islam sebagai wadah dan Al-Quran serta As-Sunnah sebagai rujukannya. Islam adalah untuk semua makhluk, bukan hanya untuk Melayu sahaja dan Melayu tiada hak untuk menyatakan bahawa masuk Islam itu disifatkan masuk Melayu. Setiap perilaku manusia perlu mengikut Islam dan bukan Islam mengikut budaya sesuatu bangsa. Kalau itu terjadi, maka Islam itu telah dicemari dan bangsa itupun sekaligus secara perlahan-lahan akan musnah.

Dan dari situlah boleh dilihat, yang mana satukah yang lebih relevan untuk diperjuangkan, Islam atau bangsa. Kerajaan Perpaduan mesti mengikut corak pemerintahan Islam yang sebenar-benarnya dan bukan sekadar nama, corak bangunan dan material sahaja. Hukum-hakam Islam perlu dilaksanakan seluruhnya dari aspek embangunan diri sehingga memerintah sesebuah kerajaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan