Carian

Jumaat, 31 Disember 2010

Warna-warni 2010

Sepanjang tahun 2010, macam-macam keadaan saya lalui terutamanya kebosanan pabila bercuti panjang dari sesi mengadap buku selama 6 bulan bermula Januari 2010. Namun, adakalanya masa terluang diisi dengan aktiviti sukarela bersama pertubuhan masyarakat disini demi kepentingan adik-adik yang masih bersekolah. Kem Cinta Islam (KCI) merupakan kem pengisian ilmiah Islam yang banyak kali saya terlibat, iaitu 3 siri berturut-turut. Sekarang KCI sudah selesai dengan siri kelima. Selain KCI, sesi motivasi pelajar seperti bengkel teknik belajar bersama dengan guru-guru terkenal juga memberikan pengalaman yang berbeza semasa mengendalikan program tersebut. 

Tahun 2010 adalah tahun yang bermakna bagi saya kerana pada tahun ini dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pemasaran) setelah berhempas-pulas selama 3 tahun menuntut di Universiti Teknologi MARA Kampus Bandaraya Melaka. Terima kasih buat semua tenaga pengajar yang berada disana dan sahabat handai yang dikenali sepanjang tempoh belajar yang lalu.
Pada bulan Julai 2010, saya diterima masuk untuk melanjutkan pelajaran diperingkat sarjana pentadbiran perniagaan di Universiti Teknologi MARA dan satu semester sudah berlalu dengan pahit maung mengembeling tenaga mengembalikan momentum didalam mengaut segala ilmu yang ada. Diperingkat ini, aku seolah-olah tiada corak sebagai seorang pelajar malah seperti orang bekerja, pergi pukul 6.30 pagi dan pulang 6.00 petang. Adakalanya lebih awal. Meskipun begitu, pasrah dan tawakkal kepada Allah Rabbul Jalil adalah keutamaan selain daripada daya usaha untuk menggapai kejayaan. Alhamdulillah, meskipun kabur diperjalanan dek kerana kabus, perjuangan seterusnya mesti diteruskan satu persatu.

Ramai sahabat yang telah mendirikan rumah tangga masing-masing sepanjang tahun ini dan mungkin akan ramai lagi yang mengikuti jejak langkah yang sama pada tahun hadapan. Tahniah buat semua dan semoga persahabatan kita akan dirahmati oleh Allah dan berkekalan.

4 jenis manusia yang duduk di atas muka bumi

حَدِيثُ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا حَسَدَ إِلَّا فِي اثْنَتَيْنِ رَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ مَالًا فَسَلَّطَهُ عَلَى هَلَكَتِهِ فِي الْحَقِّ وَرَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ حِكْمَةً فَهُوَ يَقْضِي بِهَا وَيُعَلِّمُهَ 

رواه البخارى

Maksud Hadith:
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a katanya: “Nabi Muhammad SAW pernah bersabda :” Janganlah ingin menjadi seperti orang lain kecuali seperti dua orang ini. Pertama, orang yang diberi Allah kekayaan berlimpah ruah dan ia membelanjakannya secara benar (di jalan yang adil dan sesuai dengan perintah Allah). Kedua, orang yang diberi Allah al-hikmah dan ia berperangai sesuai dengannya dan mengajarkannya kepada orang lain.”

 
(al-Bukhari)



Rasul-Rasul Allah

  1. Nabi Adam a.s.
  2. Nabi Idris a.s.
  3. Nabi Nuh a.s.
  4. Nabi Hud a.s.
  5. Nabi Salih a.s.
  6. Nabi Ibrahim a.s.
  7. Nabi Luth a.s. (anak saudara Nabi Ibrahim a.s)
  8. Nabi Ismail a.s. (anak Nabi Ibrahim a.s.)
  9. Nabi Ishaq a.s. (anak Nabi Ibrahim a.s.)
  10. Nabi Ya'akub a.s.
  11. Nabi Yusuf a.s. (anak Nabi Ya'akub a.s.)
  12. Nabi Ayub a.s.
  13. Nabi Syu'aib a.s.
  14. Nabi Musa a.s.
  15. Nabi Harun a.s. (saudara Nabi Musa a.s.)
  16. Nabi Zulkifli a.s.
  17. Nabi Daud a.s.
  18. Nabi Sulaiman a.s. (anak Nabi Daud a.s.)
  19. Nabi Ilyas a.s.
  20. Nabi Ilyasa’ a.s.
  21. Nabi Yunus a.s.
  22. Nabi Zakaria a.s.
  23. Nabi Yahya a.s. (anak Nabi Zakaria a.s. & duapupu kepada Nabi Isa a.s)
  24. Nabi Isa a.s.
  25. Nabi Muhammad s.a.w.

Khamis, 30 Disember 2010

Tahniah pasukan bola negara dan cuti Jumaat ini

Tahniah kepada seluruh jentera pasukan Harimau Malaya yang berjaya menewaskan Garuda dengan agregat 4-2 pada perlawanan akhir Piala Suzuki malam tadi. Dengan kritikan yang bertalu-talu mengenai mutu persembahan pasukan negara yang merosot, mereka berjaya membuktikan bahawa semangat baru akan muncul demi mengharumkan nama negara. Kejayaan demi kejayaan perlu dilakar demi mengembalikan kepercayaan rakyat Malaysia terhadap pasukan negara beraksi di pentas dunia.

Cuti umum pada Jumaat ini diberikan sempena kemenangan pasukan negara diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Datk Seri Najib. Tahniah sekali lagi buat penyokong yang memberikan sokongan padu buat pasukan negara.

Tahun Baru Hijriah dan Masehi

Tahun Baru Hijriah 1432 telah berada melebihi setengah bulan dari bulan Muharram, maka episod-episod baru akan berkumandang dengan suasana masyarakat yang kucar-kacir, kelam-kabut, mundar-mandir mengejar harta dunia tatkala akhirat sudah tentu tidak ketahuan hadirnya. Azam baru ditanam demi mengimpikan sebuah kehidupan yang lebih harmoni berteraskan keadilan yang dianjurkan oleh Islam. Alhamdulillah, keputusan peperiksaan sarjana semester 1 sudah pun dikeluarkan. Maka, cabaran semester kedua sudah terasa bahangnya meskipun beberapa hari lagi baru kuliah akan dimulakan. Buat pembaca sekalian, tahun 2011 akan memberikan satu nafas baru buat blog saya untuk berkongsi maklumat dan pandangan didalam apa jua bidang, politik, pendidikan termasuk bahan2 untuk pembelajaran sarjana yang sealiran dengan saya.

Semoga segalanya akan dilindungi dan dirahmati oleh Allah disepanjang hari-hari yang mendatang.

Ahad, 2 Mei 2010

Majlis Perkahwinan Saiful Hizami

Salam sejahtera.

Hari ini aku memenuhi jemputan seorang sahabat lamaku yang sudah lama tak berjumpa sejak kami bertembung di dalam bas pulang ke Kuala Kangsar. Nama beliau Saiful Hizami, budak rumah biru batch Izzuddin 1998. Hanya setahun tak silap aku dia belajar di SIS dan pastu dia sekolah kat tempat lain. Pada satu hari, nak jadi cerita, kami berjumpa semula di dalam bas sekitar tahun 2005. Dan sekarang dah naik jinjang pelamin dah, hehe. Tahniah2... buat kawan-kawan yang tak sempat menghadiri kenduri beliau, boleh la contact kat facebook. Sama-samalah kita berkumpul untuk berkongsi sebarang maklumat yang terkini, maklum la, ramai yang dah naik pelamin, ada yang dah timang anak pon, huhu.

Sabtu, 17 April 2010

Manusia Diciptakan Untuk Mengabdikan Diri Kepada Allah. Jika Tidak, Dimanakah Kedudukan Mereka?

Suka aku petik kata-kata seorang ustaz yang mengajar mengenai kategori nafsu yang ada pada setiap manusia, daripada yang buas sehinggalah yang menurut tuntutan agama.

Apa yang ustaz tersebut nyatakan ialah, manusia adalah ciptaan Allah, manual operasinya Allah yang tentukan, segala isi perut, akal, dan sebagainya, Allah juga yang cipta. Kenapa? bila manusia ini lahir, membesar dengan nikmat Allah, makan makanan pemberian Yang Esa, sedut udara ciptaan-Nya, tiba-tiba dia ingkar arahan pencipta-Nya, dia sombong dengan makhluk-makhluk ciptaan-Nya, dia cipta undang-undang sendiri.

Ish.... ish.... ish..... Ya Allah pimpinlah hamba-Mu yang lemah ini...

Manusia ini cukup hina kalau tak mengabdikan diri pada Allah, hina yang macammana? yang ni yang best.... manusia ni cukup hina sebab tinggi mana pangkat serta darjat, ianya ibarat sebuah lori tangki yang mengusung tahi dan najis ke hulu, ke hilir.... Kenapa plak camtu? mana boleh samakan dengan lori tangki, analoginya dan logiknya ialah dalam badan kita ni ade tahi dan air kencing, jangan la sombong sangat dengan sesiapa pun, taraf nye sama jer.... cukup masa, kenalah pegi buang. jangan ada yang simpan, nnt berpenyakit plak. huhu... terkedu gak aku dengar kata2 tu... betul jugak, hurmmm.... maka taqwa kepada Allah lagi penting.... bersama-sama lah kita ke arah taqwa kepada Allah.... insyaAllah

Jumaat, 12 Mac 2010

Ya Allah, Besarnya Kekuasaan-Mu

sumber: harakahdaily.net
M Faqih   
KOTA BHARU, 12 Mac: Hujan yang turun di sekitar bandar raya ini membasahkan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, anggota-anggota Exco dan pegawai kanan kerajaan serta ribuan rakyat yang menyertai solat sunat istisqa.

Hujan agak lebat tiba-tiba turun pada rakaat pertama solat sunat Istisqa yang diadakan di Padang Perdana pagi tadi.

Solat tersebut diimamkan Menteri Besar bermula kira-kira jam 8.30 pagi.
Ketika Tuan Guru Nik Abdul Aziz sedang membawa surah pada rakaat pertama tiba-tiba hujan turun agak lebat sehingga membasahkan ribuan yang menunaikan solat.

Hujan hanya berhenti selepas selesai solat sunat tersebut.

Semua yang hadir termasuk pembesar negeri dan pegawai kanan kerajaan kelihatan basah kuyup.

Program tadi dihadiri hampir kesemua pegawai kanan kerajaan negeri termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias, Pegawai Kewangan Negeri, Mohd Faudzi Che Mamat, Pengelola Istana, Datuk Abdul Halim Hamat dan Ketua Hakim Syarie, Datuk Daud Muhammad.

Solat Istisqa tersebut merupakan kali kedua diadakan di Kelantan selepas pertama kali diadakan beberapa tahun lalu akibat kemarau panjang.

Cuaca kering dan panas kini melanda seluruh negara sehingga ada tempat paras sungai dan empangan semakin surut dan tanah-tanah menjadi merekah.

Ketika membaca khutbah Menteri Besar memalingkan badan ke arah kiblat seketika sebagai mengikut amalan sunnah Rasulullah s.a.w. ketika baginda mengerjakan solat Istisqa.

Jumaat, 5 Mac 2010

Ahli Parlimen Bagan Serai: Ada Udang Disebalik Mee

 
YB Mohsin. Adakah kenyataan itu dari isi hatinya atau penyelesaian untuk mengelak dari memikul tanggungjawab?  Ada yang tidak kena dengan pengapitnya itu.

Pasti ada agenda lain yang dibawa oleh Ahli Parlimen Bagan Serai yang telah mengisytiharkan bahawa beliau meletakkan jawatan-jawatan di dalam PKR tetapi mengekalkan sebagai seorang ahli parlimen Malaysia. Berdasarkan pemerhatian sidang media yang diiring oleh bekas setiausaha agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim, teks kenyataan tersebut agak meragukan. Aduan banyak diterima dan disuarakan mengenai ahli parlimen yang mengambil sikap acuh tak acuh di dalam menjalankan kewajipannya dan masalah peribadi memungkinkan tindakan sebegini rupa timbul. Beliau mengambil jalan mempertahankan diri dengan tidak mahu menjawab persoalan dan urusan tersebut diambil alih oleh bekas setiausaha agung PKR berdasarkan teks yang dibacakan.

Selasa, 2 Mac 2010

Kehidupan Seorang Pemimpin Bernama Mahmoud Ahmadinejad

Ini merupakan antara contoh terbaik yang wajar diikuti oleh ahli-ahli politik kita. Kehidupan yang sederhana dan ringkas membuatkan pemimpin ini digeruni dan disegani dimata dunia. Beliau ialah Presiden Republik Islam Iran, Mahmoud Ahmadinejad

Dipetik dari temubual di antara Fox News TV dan Presiden Mahmoud, beliau ditanya; "Apabila anda melihat cermin diwaktu pagi, apa yang akan anda katakan pada diri anda?". Beliau menjawab "Saya nampak orang di dalam cermin dan berkata padanya, Ingat! awak tidak lebih dari seorang hamba, di depan kamu menanti tanggungjawab yang berat, iaitu memberi khidmat kepada seluruh rakyat Iran"

Jumaat, 26 Februari 2010

Junjungan Besar Rasulullah SAW: Pemimpin Agung

ALLAH TUHAN SEMESTA ALAM, TUHAN YANG MENJADIKAN SEGALA ISI LANGIT DAN BUMI DAN YANG MENURUNKAN PESURUH-NYA RASULULLAH SEBAGAI PEMBIMBING UMAT AKHIR ZAMAN DAN MEMBAWA RAHMAT

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Seorang yang telah diturunkan oleh Allah ke dunia yang fana ini untuk membawa risalah Islam dan menyeru kepada penyembahan hanya kepada Allah dan meninggalkan segala yang ditegah dan dilarang oleh-Nya.

Rasulullah. Ikon terhebat di dalam sejarah tamadun manusia ini dilahirkan pada 12 Rabiul Awwal sekitar April tahun 570/571 Masehi dan wafat pada 12 Rabiul Awwal tahun 11 Hijriah atau sekitar Jun tahun 632 Masehi. Baginda diturunkan dikalangan bangsa paling mulia iaitu Bani Hasyim, kabilah yang paling berpengaruh di Mekah pada zaman kegelapan Jahiliah. Baginda dipelihara oleh Allah sejak baginda dilahirkan sehingga baginda wafat kembali menemui pencipta-Nya.

Ketokohan Rasulullah SAW telah dinampakkan dengan kebijaksanaan baginda menyelesaikan masalah untuk meletakkan batu hajarul aswad di kaabah yang telah mengalami kerosakan. Dan baginda mendapat gelaran Al-Amin oleh masyarakat pada masa tersebut.

Khamis, 25 Februari 2010

Demokrasi di Malaysia dah jadi macam cerita Tiga Abdul

Semakin hari, Malaysia semakin sarat dengan pelbagai isu-isu yang tidak masuk akal dan penuh dengan fitnah.

Mengulas kepada ulasan peguam yang mewakili DS Nizar untuk mendengar keputusan siapakah Menteri Besar Perak yang sah, Malaysia semakin berkecamuk dengan hadirnya pemimpin-pemimpin yang tiada integriti, pengamal rasuah dan menindas hak rakyat. Menurut beliau, hakim-hakim memberikan alasan bahawa tiada dinyatakakan di dalam Artikel 16 (6) bahawa Menteri Besar hanya akan hilang jawatan mereka melalui undi tidak percaya ke atasnya dan alasan yang sama juga boleh digunakan bahawa tiada dinyatakan juga bahawa seseorang Menteri Besar boleh dilucutkan jawatannya melalui Istana dengan hanya kehadiran seseorang atau tidak. Apapun keputusan yang perlu dibuat mesti berlandaskan nasihat dari Menteri Besar kepada Istana. Hari ini, krisis perlembagaan tidak akan berkesudahan dan ia tidak boleh diadili langsung oleh sistem kehakiman Malaysia yang menunjukkan sikap boleh dijual-beli dan kejam.


Biarpun saya bukan yang mahir dalam undang-undang, tetapi secara kebiasaannya 'common sense' bahawa sebuah kerajaan yang hendak diturunkan mesti diturunkan dengan cara terhormat dan demokrasi. Ia bukan demokrasi ala filem Tiga Abdul yang mengikut sesuka hati dan sesedap perut. Kalau begitu, di dalam perlembagaan Malaysia, tidak dinyatakan mengenai kabinet, jawatankuasa di dalam kerajaan dan pelbagai lagi. Mengikut amalan jatuh-menjatuhkan yang diamalkan sekarang, maka tidak hairanlah mungkin ada suatu masa kerajaan Malaysia ditumbangkan tanpa undi tidak percaya di Dewan Rakyat dan boleh melalui Yang Di-Pertuan Agong sahaja. Apakah kerajaan yang diterajui oleh Barisan Nasional sudah lupa dengan semua itu?

Mungkin ada yang tidak faham kenapa PAS sering bertelagah dengan UMNO dan ia berterusan sehingga sekarang. Sudah 50 tahun lebih Barisan Nasional memerintah, adakah UMNO dapat memberikan keselesaan kepada rakyat Malaysia. Dengan wakil rakyatnya yang kebanyakan tamak haloba, gilakan jawatan serta pangkat dan semakin dibiarkan mereka menjadi semakin sombong dan memperbodohkan pengundi-pengundi mereka sendiri. Malang sungguh pengundi-pengundi ini yang kebanyakan kaumku, Melayu.

DS Zambry yang telah diisytiharkan oleh mahkamah sebagai Menteri Besar Perak yang sah dan beliau akan kekal dengan status MB mahkamah. Adakah rakyat akan menerimanya? Bolehkah DS Zambry mengekalkan prestasi seperti PR sebelum ini dengan prestasi positif yang dilaporkan oleh ketua audit negara untuk tahun 2008? Dan jika kerajaan mahkamah DS Zambry ingin mengembalikan kepercayaan rakyat, maka DS Zambry perlu membubarkan DUN dan melihat bagaimanakah keputusan rakyat sendiri.


Sabtu, 20 Februari 2010

Maulidur Rasul: Apa Sudah Jadi... ?

Beberapa hari yang lalu, negara digemparkan dengan isu tidak akan diadakan perarakan Maulidur Rasul di Pulau Pinang. Apa kelebihan berarak ni? Haaa... mungkin dapat makan nasi bungkus kot... hehe. 

Bila sudah tersepit, apa-apa pun boleh terjadi. Dalam isu ini, ada pihak sudah kehabisan modal untuk bertarung, maka dimainkan dengan isu-isu yang remeh-temeh ni yang bertujuan untuk menfitnah seseorang dan meraih populariti murahan... Apa guna berarak... lebih baik masa itu diisikan dengan majlis ilmu ke, berzikir ke dan banyak lagi perkara lain yang dituntut...

Mengagungkan Rasulullah adalah dengan mengamalkan ajarannya, mengamalkan sunnahnya dan melakukan perkara-perkara yang baik yang pernah dilakukan oleh baginda. Kebanyakan umat Islam mengetahui hakikat ini, tetapi mereka mungkin tidak faham atau buat-buat pekak

Tup Tup... ada tiga negeri yang lain pun mengikut jejak langkah yang sama... maka senyap sunyilah mereka-mereka ini dari bercerita ke sana ke mari... hurm... fikir-fikirkan... Maka kita tunggu reaksi terhadap tindakan tiga buah negeri ini (Johor, Pahang, Perlis) yang tidak mengadakan perarakan Maulidur Rasul.... Rasa-rasanya duduk balik pokok pisang kot... takut dikatakan 'Mengata Orang tapi Dia Yang Lebih'...

Ahad, 14 Februari 2010

Selamat Tahun Baru Cina

Kepada saudara pengunjung yang berbangsa Tionghua. Saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina.

Semoga kesepakatan di dalam menuju ke arah sebuah negara yang aman, makmur dan harmoni dapat dikekalkan.  Ke arah sebuah negara yang demokrasi tulen, bebas dari rasuah, memiliki pemerintah-pemerintah yang adil, yang lebih islamik, sentiasa mengutamakan rakyat jelata dan tidak mementingkan diri sendiri.

Khamis, 11 Februari 2010

Pembangkang Yang Kuat Untuk Kesejahteraan Rakyat

Begitulah hasrat seorang pemimpin yang berjiwa rakyat yang telah disingkirkan oleh mahkamah.

Rakyat Perak memerlukan layanan tanpa ada sentimen perkauman, hak sama rata oleh sesebuah kerajaan. Meskipun keputusan mahkamah baru-baru ini menimbulkan banyak keraguan dan dipertikaikan oleh banyak pihak, DS Nizar dan rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat bertekad untuk tidak putus asa memberikan khidmat terbaik bagi rakyat-rakyat negeri Perak. Justeru itu, apa yang dinyatakan oleh DS Zambry di dalam wawancara selepas diisytiharkan menang, iaitu mengenepikan sebarang ideologi politik di dalam membangunkan negeri Perak mesti dikotakan dan peruntukan yang sepatutnya diberikan kepada rakyat mestilah disalurkan kepada semua ADUN. Jangan dibiar menjadi janji kosong semata-mata

Selasa, 9 Februari 2010

Setiap Yang Terjadi Pasti Ada Hikmahnya

Salam perjuangan

Meskipun rakyat Perak menanti sesuatu yang diharapkan dapat mengubah kehidupan mereka, tetapi keinginan itu tidak tercapai kerana ada yang masih tamakkan kuasa ingin kekal sebagai pemerintah yang dinobatkan melalui beberapa siri rampasan yang terancang. Dan ia menampakkan masalah akan makin meruncing tatkala hak rakyat tidak dapat dipulangkan untuk memilih ketuanya sendiri. Kasihan kepada rakyat Perak yang ditindas dan dianggap bodoh kerana menjatuhkan mereka yang telah berkuasa selama 50 tahun dahulu. 'Tak kenang budi'. pasti itu akan muncul dari mulut-mulut mereka yang mengunyah dan menelan harta milik rakyat untuk sekian lamanya

Isnin, 8 Februari 2010

Celupar Mulut Badan Binasa

Semalam saya membaca artikel di Harakahdaily.net mengenai laporan polis yang dibuat terhadap blogger yang menfitnah dan membuat posting yang kotor terhadap Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Apa yang terkandung dalam posting-posting blogger ini tidaklah perlu saya panjangkan sebab saya cukup benci dengan adanya orang-orang seperti dia. Kalau hendak dapatkan berita, pergilah baca di Harakahdaily.net.

Jumaat, 29 Januari 2010

Brothers - Untukmu Teman



Di sini kita pernah bertemu
Mencari warna seindah pelangi
Ketika kau menghulurkan tanganmu
Membawaku ke daerah yang baru
Dan hidupku kini ceria

Kini dengarkanlah
Dendangan lagu tanda ikatanku
Kepadamu teman
Agar ikatan ukhuwah kan
Bersimpul padu

Kenangan bersamamu
Takkan ku lupa
Walau badai datang melanda
Walau bercerai jasad dan nyawa

Mengapa kita ditemukan
Dan akhirnya kita dipisahkan
Munkinkah menguji kesetiaan
Kejujuran dan kemanisan iman
Tuhan berikan daku kekuatan

Mungkinkah kita terlupa
Tuhan ada janjinya
Bertemu berpisah kita
Ada rahmat dan kasihnya
Andai ini ujian
Terangilah kamar kesabaran
Pergilah derita hadirlah cahaya

Sabtu, 9 Januari 2010

Allah: Tuhan semesta alam

Berfikir dahulu terhadap setiap tindakan yang kita fikirkan boleh diambil... mungkin ada tindakan yang kurang praktikal dimasa kini lebih menguntungkan dimasa akan datang [inspirasi Perjanjian Hudaibiyah]... Isu kalimah Allah perlu diperjelaskan kepada semua pihak, kita jangan cepat membuat rumusan yang melulu, namun di sana Allah tetap satu, tuhan sekalian alam buana yang luas terbentang, yang mencipta isi langit dan bumi, yang mempunyai kuasa ke atas semua ciptaan-Nya. Jangankan nama Allah saja yang hendak dibela, undang-undang Allah juga mesti dibela, disebabkan mungkin kita cuai dan mengenepikan undang-undang-Nya, maka diperlihatkan segala kejelikan di depan mata manusia sendiri.