Carian

Khamis, 25 Februari 2010

Demokrasi di Malaysia dah jadi macam cerita Tiga Abdul

Semakin hari, Malaysia semakin sarat dengan pelbagai isu-isu yang tidak masuk akal dan penuh dengan fitnah.

Mengulas kepada ulasan peguam yang mewakili DS Nizar untuk mendengar keputusan siapakah Menteri Besar Perak yang sah, Malaysia semakin berkecamuk dengan hadirnya pemimpin-pemimpin yang tiada integriti, pengamal rasuah dan menindas hak rakyat. Menurut beliau, hakim-hakim memberikan alasan bahawa tiada dinyatakakan di dalam Artikel 16 (6) bahawa Menteri Besar hanya akan hilang jawatan mereka melalui undi tidak percaya ke atasnya dan alasan yang sama juga boleh digunakan bahawa tiada dinyatakan juga bahawa seseorang Menteri Besar boleh dilucutkan jawatannya melalui Istana dengan hanya kehadiran seseorang atau tidak. Apapun keputusan yang perlu dibuat mesti berlandaskan nasihat dari Menteri Besar kepada Istana. Hari ini, krisis perlembagaan tidak akan berkesudahan dan ia tidak boleh diadili langsung oleh sistem kehakiman Malaysia yang menunjukkan sikap boleh dijual-beli dan kejam.


Biarpun saya bukan yang mahir dalam undang-undang, tetapi secara kebiasaannya 'common sense' bahawa sebuah kerajaan yang hendak diturunkan mesti diturunkan dengan cara terhormat dan demokrasi. Ia bukan demokrasi ala filem Tiga Abdul yang mengikut sesuka hati dan sesedap perut. Kalau begitu, di dalam perlembagaan Malaysia, tidak dinyatakan mengenai kabinet, jawatankuasa di dalam kerajaan dan pelbagai lagi. Mengikut amalan jatuh-menjatuhkan yang diamalkan sekarang, maka tidak hairanlah mungkin ada suatu masa kerajaan Malaysia ditumbangkan tanpa undi tidak percaya di Dewan Rakyat dan boleh melalui Yang Di-Pertuan Agong sahaja. Apakah kerajaan yang diterajui oleh Barisan Nasional sudah lupa dengan semua itu?

Mungkin ada yang tidak faham kenapa PAS sering bertelagah dengan UMNO dan ia berterusan sehingga sekarang. Sudah 50 tahun lebih Barisan Nasional memerintah, adakah UMNO dapat memberikan keselesaan kepada rakyat Malaysia. Dengan wakil rakyatnya yang kebanyakan tamak haloba, gilakan jawatan serta pangkat dan semakin dibiarkan mereka menjadi semakin sombong dan memperbodohkan pengundi-pengundi mereka sendiri. Malang sungguh pengundi-pengundi ini yang kebanyakan kaumku, Melayu.

DS Zambry yang telah diisytiharkan oleh mahkamah sebagai Menteri Besar Perak yang sah dan beliau akan kekal dengan status MB mahkamah. Adakah rakyat akan menerimanya? Bolehkah DS Zambry mengekalkan prestasi seperti PR sebelum ini dengan prestasi positif yang dilaporkan oleh ketua audit negara untuk tahun 2008? Dan jika kerajaan mahkamah DS Zambry ingin mengembalikan kepercayaan rakyat, maka DS Zambry perlu membubarkan DUN dan melihat bagaimanakah keputusan rakyat sendiri.


3 ulasan:

  1. Salam sheikh, Sebelum berkata-kata dan mengeluarkan kenyataan, cermin dulu diri sendiri tuan... Adakah selama tuan hidup selama 25 tahun ini dirundung kesengsaraan? Adakah selama tuan hidup selama 25 tahun ini kebuluran? Adakah tuan hidup selama ini dengan penuh ketakutan dan ancaman? Saya berpendapat begini sheikh, kita kira dari perspektif mudah, jika benar-benar UMNO ni Zalim, kejam dan sebagainya seperti yang tuan tuduh, adakah kita dapat hidup seperti sekarang? Saya tahu saya ahli UMNO dan saya ni bukanlah alim dan arif dalam hal-hal ugama, tapi kita sentiasa memperbaiki diri kita dari masa ke semasa. Kita kalau nak menentang tu janganlah 100% menentang. Begini tuan, saya nk berpesan kepada tuan sebagai seorang sahabat yang saya kira karib dengan saya. Begini tuan, kita perlu lihat sekeliling, bandingkan jika kita di negara lain, adakah kita dapat hidup selesa seperti sekarang? Tepuk dada tanya selera. Ya, saya tidak nafikan bahawa ADA pemimpin umno yang rasuah, tamak haloba dan sebagainya, namun percayalah, didalam PAS pun apa kurangnya? Kita ini manusia sheikh, tak terlepas dari salah dan khilaf. Beginilah, kita sebagai generasi muda yang terpelajar haruslah menilai secara rasional. Walaupun saya di dalam UMNO, jika ada kesalahan yang dilakukan oleh parti kita wajib tegur. Ada dasar PAS yang saya setuju dan ada juga yang saya tentang. Kita mesti balance tuan. Jangan sempitkan fikiran kita,. Ok, dalam posting yang lalu tuan meminta saya supaya jgn percayakan media massa, utk pengetahuan tuan saya juga pembaca Harakah, Suara Keadilan. Dan mereka pun sama juga, mereka saja yang betul dan yang menentang mereka itu yang salah. Jadi kita sebagai generasi pewaris perlu ubah itu semua... Kita perlu fikir apa yang terbaik untuk Umat Islam dan Bangsa Melayu... Sekian saja ulasan saya pada kali ini. Harap dapat berbincang lagi di lain masa...

    Salam Perjuangan.

    Che Dayat.

    UiTM Hidup kerana UMNO,
    Malaysia Merdeka Kerana UMNO,
    Kerana Dasar UMNO orang Melayu dapat bersaing dengan bangsa Lain... Yang mana salah kita betulkan jangan dipersalahkan lagi... Wassalam..

    BalasPadam
  2. Ya, memang benar. Tahap kealiman bukan boleh diukur oleh diri sendiri. Ia diukur oleh Allah. Setiap kesilapan dan kesalahan perlu ditegur, ya, memang betul. Apa yang dibuat sekarang adalah proses peneguran dan ia perlu diterima. Saya memang tidak kebuluran dan itulah tanggungjawab kerajaan didalam memastikan rakyatnya hidup sejahtera. Ya, selama 25 tahun merupakan separuh dari tempoh BN diberi mandat untuk mengepalai kerajaan. Bagaimana rakyat yang lain, kenapa masih ada yang miskin dan kebuluran? umurnya lebih jauh lebih tua dari itu. Mungkin tuan merasakan tidak adil saya mengeluarkan kenyataan seperti itu kerana nampak seolah-olah dihentam habis-habisan. Tapi mengapa saya masih nampak sebegitu rupa? Mungkin kerana saya tidak menegakkan atas dasar atau prinsip ke'bangsa'an. Tuan nyatakan bahawa ada pemimpin UMNO yang mengamalkan rasuah, jadi mengapa ia dibiarkan? kasihanlah padanya kerana pemberi dan penerima rasuah amat berat seksaan-Nya. Kita perlu selamatkan mereka. Bagaimana? Turunkan mereka dari menjadi pemegang amanah dan hukumlah mereka dengan undang-undang Allah. Jika dibiarkan kerana kalau dibiarkan, ia seumpama pepatah melayu 'harapkan pagar, pagar makan padi' dan kebanyakan tahu apa maksudnya. Jangan ia tinggal sekadar ungkapan dan rakyat membatu begitu sahaja.

    Biarpun tuan menyatakan bahawa ada dasar PAS yang tidak boleh diterima tetapi perhatikan adakah ia melanggar syariat. Jika ya, tegurlah. Jika tidak, patuhilah.

    Terlalu banyak UMNO perlu betulkan sebab UMNO memegang tampuk kerajaan dan UMNO menjadi perhatian dunia, jangan kita gah sangat kerana dunia sentiasa memerhatikan kita dan Allah lebih-lebih lagi yang paling utama menilai pemimpin-pemimpin UMNO yang diberi amanah oleh Allah kerana kebanyakan dalam UMNO beragama Islam termasuklah sesiapa sahaja tidak kira pembangkangkah ia, penyokongkah ia. Seperti kata Tunku Abdul Rahman pada sekitar 1988, UMNO perlu melihat apa yang disuarakan oleh pembangkang dan cari punca sesuatu masalah. Tanpa kehadiran pembangkang, sebuah kerajaan akan menjadi syok sendiri memerintah sehingga kadang-kadang tersasar dari Al-Quran dan As-Sunnah. Jangan kita berpeluk tubuh dan katakan, "apa boleh buat, terima je la". Kerajaan yang adil sentiasa diagungkan, kerajaan yang tidak adil tetap akan disanggah. Biar siapapun memerintah, Islam mesti didaulatkan. Jikalau kerajaan yang sekarang tidak mampu, tukarkan dengan yang baru. Begitu juga seterusnya.

    Cemerlangnya sebuah kerajaan bukan berdasarkan ketinggian bangunannya, teknologinya, ekonominya dan sebagainya tetapi ia akan cemerlang kerana agama.

    Tuan perlu melihat dari arah pembangkang untuk menilai prestasi Barisan Nasional di dalam memerintah negara dan ia perlu dilihat juga dari tempoh diberi mandat dahulu bukan baru-baru ini. Check track record, dan saya sentiasa mengikuti Malaysia dari arah berlawanan dan bukan seiringan didalam sesetengah perkara terutama di dalam hal-hal rakyat dan agama.

    Sudah menjadi tanggungjawab kerajaan yang dikepalai oleh Barisan Nasional menjaga dan membangunkan negara. Dan begitu juga kepada sesiapa yang diberi mandat untuk memerintah.

    kita akan berjumpa dilain kupasan dan InsyaAllah akan ada kupasan mengenai apa yang berlaku 10 tahun sebelum merdeka, di manakah Malaysia sekarang di mata dunia, mengapa kemerdekaan Malaysia begitu mudah? dan banyak lagi.

    BalasPadam
  3. Salam tuan, terima kasih diatas respons tersebut. Ya, saya juga percaya kerajaan yang baik adalah dengan adanya pembangkang yang kuat. Tetapi begini tuan, tugas pembangkang kini saya nampak lebih banyak menghentam perobadi berbanding isu-isu nasional.. saya kira sudah sampai masa pembangkang berubah dengan membincangkan perkara-perkara nasional. Isu rakyat dan pandang ke depan. saya percaya jika teguran Sihat diberikan, kita sama-sama dapat memajukan negara kita yang tercinta ini.

    Seperti yang selalu saya sebutkan, Biar lain suara, biar lain pendapat tetapi matlamat perjuangan mestilah sama, Lillahitaala dan kerana negara kita....

    BalasPadam