Carian

Jumaat, 26 Februari 2010

Junjungan Besar Rasulullah SAW: Pemimpin Agung

ALLAH TUHAN SEMESTA ALAM, TUHAN YANG MENJADIKAN SEGALA ISI LANGIT DAN BUMI DAN YANG MENURUNKAN PESURUH-NYA RASULULLAH SEBAGAI PEMBIMBING UMAT AKHIR ZAMAN DAN MEMBAWA RAHMAT

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Seorang yang telah diturunkan oleh Allah ke dunia yang fana ini untuk membawa risalah Islam dan menyeru kepada penyembahan hanya kepada Allah dan meninggalkan segala yang ditegah dan dilarang oleh-Nya.

Rasulullah. Ikon terhebat di dalam sejarah tamadun manusia ini dilahirkan pada 12 Rabiul Awwal sekitar April tahun 570/571 Masehi dan wafat pada 12 Rabiul Awwal tahun 11 Hijriah atau sekitar Jun tahun 632 Masehi. Baginda diturunkan dikalangan bangsa paling mulia iaitu Bani Hasyim, kabilah yang paling berpengaruh di Mekah pada zaman kegelapan Jahiliah. Baginda dipelihara oleh Allah sejak baginda dilahirkan sehingga baginda wafat kembali menemui pencipta-Nya.

Ketokohan Rasulullah SAW telah dinampakkan dengan kebijaksanaan baginda menyelesaikan masalah untuk meletakkan batu hajarul aswad di kaabah yang telah mengalami kerosakan. Dan baginda mendapat gelaran Al-Amin oleh masyarakat pada masa tersebut.


Rasulullah SAW pernah bekerja sebagai pengembala kambing dengan upah yang sedikit dan Rasulullah juga pernah bersabda kepada para sahabtnya bahawa tidak ada seorang nabi melainkan ia pernah mengembala kambing termasuklah baginda sendiri.

Keikhlasan dan kejujuran di dalam melakukan sesuatu kerja diterjemahkan bermula dengan pekerjaan baginda sehingga pada satu masa, beliau bekerja dengan Khadijah binti Khuwailid dan akhlak baginda menarik minat Khadijah untuk berkahwin dengan baginda Rasulullah. Meskipun pada masa itu, Rasulullah SAW berusia 25 tahun, iaitu 15 tahun lebih muda daripada Khadijah.

Perjuangan Rasulullah bertambah getir tatkala telah menerima wahyu yang pertama yang menyerunya untuk berdakwah menyeru umat manusia untuk kembali kepada Allah, tidak kira sesiapapun dan jangan menyekutui-Nya.

Tentangan demi tentangan diterima oleh baginda termasuklah Abu Lahab dan ketabahan serta kesabaran baginda menjadi pedoman untuk sesiapa saja yang ingin menjadi seorang pendakwah yang berjaya. Dakwah Islamiah tidak akan menemui kejayaan dengan jalan mudah dan ujian demi ujian akan diberi sehingga mencapai kemenangan atau gugur menegakkan Islam yang suci.

Semasa menjadi ketua menerajui negara Islam Madinah, Rasulullah SAW menjadi seorang ahli politik yang berjaya. Baginda mengatur pelbagai strategi taktikal peperangan dengan kerjasama sahabat-sahabatnya dan juga merangka Sahifah Madinah (Perlembagaan Madinah) yang sangat adil dan diakui merupakan perlembagaan pertama yang ditulis di zaman kegemilangan Islam. Terkandung di dalam penjagaan hak-hak orang Islam serta hak-hak orang yang bukan beragama Islam.

Tidak menjadi satu masalah kepada baginda untuk menerima pendapat orang bawahan dan para sahabat baginda juga merupakan pemimpin tertinggi yang hormat serta berkaliber di dalam menjalankan setiap tugasan serta arahan yang dikeluarkan oleh Rasulullah SAW. Pernah Rasulullah SAW melantik orang yang lebih muda untuk mengetuai pasukan dan ia merupakan penghormatan kepada orang muda yang lebih berkebolehan untuk sesuatu perkara. Tindakan Rasulullah SAW serta orang-orang Islam pada masa itu adalah berlandaskan Al-Quran yang diwahyukan dan kebijaksanaan Rasulullah SAW untuk menyelesaikan serta mentadbir satu-satu organisasi.

Ummati... Ummati... (Ummatku) Itulah yang dikenangkan oleh Rasulullah SAW sebelum kewafatan baginda kerana baginda sangat risau dengan keadaan ummat baginda menempuh kehidupan tanpa kehadiran baginda lagi di akhir zaman.

PENGAJARAN DARI SIRAH BAGINDA
Sirah (Kisah Kehidupan) baginda adalah sangat panjang dan banyak mengutarakan keadilan sejagat di dalam segenap hal kehidupan. Baginda tidak pernah mengira warna kulit dan apa agamanya, baginda akan berlaku adil kepada semua orang Islam dan bukan Islam. Di dalam piagam Madinah itu menyatakan bahawa sesiapa yang terlibat dan menyokong dasar-dasar yang telah termaktub, maka mereka akan dijaga oleh pemerintah Islam meskipun yang menyokong itu bukan beragama Islam. Tetapi jika mereka ingkar serta melakukan pertumpahan darah, maka mereka perlu diberi pengajaran. Perlembagaan Madinah boleh disifatkan yang terbaik di dalam sejarah tamadun manusia.

Di dalam konteks sesiapa sahaja yang berkehendakkan Islam ditegakkan, maka Islam perlu dianuti dengan sepenuhnya, dan apa yang telah terkandung di dalam kitab suci Al-Quran hendaklah diambil sepenuhnya serta digandingkan dengan sunnah Rasulullah SAW dan panduan yang dihuraikan oleh Ulama'-Ulama' yang  mu'tabar. Dan kecantikan Islam perlu diserlahkan melalui cara berpolitik yang bijaksana, memelihara dan menghormati agama lain selagi mana agama-agama lain tidak melakukan sebarang ancaman terhadap Islam itu sendiri. Sesiapa sahaja yang menganuti Islam hendaklah memelihara Islam dari sebarang pencemaran yang berpunca dari diri manusia itu sendiri. Kerana dengan bermuhasabah diri, mendekat diri kepada Allah, memikul amanah dengan yakin bahawa Allah sentiasa memerhatikan gerak-geri serta tindak-tanduknya, barulah seseorang itu dipandang mulia oleh masyarakat sekelilingnya.

Mengiktiraf keupayaan seseorang untuk menjalankan tugas perlu dilihat kepada kelebihannya, ketaqwaannya dan amanahnya seseorang itu terhadap tanggungjawab yang dipikulnya selagi tidak bersalahan dengan syariat. Syariat yang Allah turunkan kepada umat Rasulullah SAW hendaklah dijalankan dengan sepenuhnya termasuk tuntutan rukun Islam, Undang-undang Allah (Hudud). Kerana dengan terlaksana undang-undang itu, barulah manusia boleh hidup dengan aman terutama orang Islam dan juga bukan Islam. Islam tidak mendikriminasi sesiapapun kerana Islam itu hadir untuk seluruh umat manusia. Cara hidup yang lengkap yang diamalkan bagi mereka yang mengtauhidkan (mengesakan) Allah SWT dan meninggalkan tegahan-Nya.

Seorang pemimpin Islam perlu bijak berpolitik di dalam menguruskan sesuatu kerja termasuk membela nasib yang tertindas di bawah naungannya dan menentang sesiapa yang mengingkari perintah Allah dan ia termasuk orang-orang yang munafik. Orang munafik perlu ditentang habis-habisan kerana golongan ini bukan jahil mengenai Islam tetapi sengaja berlakon jahil dan tindak-tanduk mereka boleh merosakkan Islam itu sendiri termasuk bermuka-muka di dalam membela Islam dan dalam masa yang sama menentang tuntutan agama dan menerima Islam hanya sebahagiannya kerana ia memberi keuntungan kepada mereka seperti pengaruh, kekayaan, kuasa dan lain-lain lagi.

Kembalilah kepada ajaran Islam dan tanamkan semangat cintakan Islam, menuruti apa yang terkandung di dalam Al-Quran, mengamalkan sunnah Rasulullah SAW dan berbaik-baik dengan semua makhluk merupakan tuntutan. Dan ingatlah, kita akan dihakimi oleh Allah SWT di mahsyar kelak, kerana pengadilan itu pasti. Tidak ada sesiapapun yang boleh lari. Bersabarlah dengan sebarang dugaan menimpa bertalu-talu  kerana sesiapa yang bekehendakkan Islam bangkit, ia akan diuji oleh Allah. Kemenangan Islam tidak akan datang dengan sekadar berserah. Berusahalah ke arah kebaikan dan serulah kepada mentauhidkan Allah kerana Allah itu tuhan semesta alam dan jangan sesiapapun yang mengakui adanya tuhan selain dari Allah dan Rasulullah SAW adalah pesuruh Allah. Rasulullah SAW adalah contoh sebaik-baik akhlak manusia dan akhlak baginda adalah berpandukan Al-Quran.

Belum lambat lagi untuk kembali kepada-Nya, ia bukan hanya kepada orang Islam malah yang belum Islam juga mempunyai peluang untuk beriman dan kepada Allah. Islam itu indah.

Musuh-musuh Islam yang di dalamnya dari kalangan umat Islam sendiri akan sentiasa mencari jalan untuk merosakkan umat Islam dari segenap arah termasuk menaja aktiviti hiburan, memuja artis-artis yang menyebabkan kelalaian, menyeru umat Islam supaya suka berhibur dan lupa kepada perjuangan Islam, memisahkan Islam hanya hak peribadi dan sesiapapun tidak ada hak menegur antara satu sama lain, semangat assobiyah (berpuak-puak), takabbur (sombong), memisahkan Islam dari urusan pentadbiran sebuah negara, memberikan mandat kepada orang yang tidak bekehendak kepada Islam, mengagung-agungkan pemimpin yang menindas orang-orang di bawah naungannya dan bermacam-macam lagi.

Kepada seluruh umat manusia, tidak kira bangsa apakah kamu, tidak kira warna kulit, kamu dari mana kamu datang, kembalilah kepada menyembah Allah yang satu dan menyaksikan bahawa Rasulullah itu pesuruh-Nya sebelum terlambat, sebelum ajal yang tidak bertarikh menjemput kita. Lakukan segala yang diperintahkan oleh Allah melalui Al-Quran dan Sunnah Rasulullah secara keseluruhannya. Nescaya manusia akan terhindar dari azab Allah yang sangat pedih.

To all mankind, what the race you are, what are the skin color do you have, where are you from, come together with people of Islam, believe in the only god is Allah, and believe Muhammad Rasulullah is His Messenger, have good faith in the laws written on the Quran (The Holy Book in Islam) and practice all orders from Allah through the Quran and Sunnah of His Messenger as a whole before you late or die without faith. And surely you will safe from the torment of Allah in hereafter.

3 ulasan:

  1. salam sheikh, tulisan yang baik..

    BalasPadam
  2. salam..i like it..(^_^)..
    teringat masa kt IIC dlu..
    btw ikhsan..camne nk follow u ni??

    BalasPadam
  3. awak dh leh follow blog, minta maaf sebab lupa nk taruk link kt menu... silakan bersama kami untuk kupasan-kupasan isu-isu semasa Malaysia dan luar negara.

    BalasPadam