Carian

Rabu, 21 Disember 2011

Dakwat kekal: Perkasa bagai budak hingusan

Dakwat kekal: Perkasa bagai budak hingusan

PARIT BUNTAR, 21 Dis: Umno dan NGOnya umpama budak hingusan yang tidak sedar hingusnya meleleh berhubung penggunaan dakwat kekal pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Bagi Adun Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim, isu dakwat kekal itu telah mencetuskan pelbagai kisah yang menarik dan tidak kurang juga yang melucukan, telah membuatkan Umno hilang kewarasannya.

Selain itu, katanya NGO tegar Umno, Perkasa yang mana tindakan mereka telah menjelaskan betapa mereka hilang akal apabila timbul ura-ura Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mahu menggunakan dakwat kekal pada PRU 13 tidak lama lagi.

Perkasa memberi amaran, tindakan SPR mahu menggunakan dakwat kekal dalam pilihan raya umum akan datang akan menyebabkan orang Melayu tidak keluar mengundi dan akan membawa negara ke belakang.

“Sebenarnya langkah itu seiring dengan syor Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berhubung penambahbaikan proses pilihan raya,” kata Khalil dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, pelbagai alasan yang langsung tidak kukuh dikemukakan oleh mereka kononnya bertujuan untuk menimbulkan keraguan di kalangan rakyat.

“Umno BN dalam hal ini seperti budak hingusan yang tidak sedar hingusnya meleleh,” ujarnya sinis.

Rakyat ternanti-nanti, ujarnya bilakah agaknya kerajaan mahu mengorak langkah untuk ke arah perubahan, walaupun cuma satu harapan iaitu pelaksanaan dakwat kekal.

Menurutnya lagi, negara-negara yang lebih ‘hebat’ suasana sosiologinya seperti di beberapa negara di Timur Tengah dan Asia Tenggara telah pun menggunakan dakwat kekal dalam proses pilihan raya mereka.

Namun, ujarnya apabila sampai kepada batang hidung kumpulan pro Umno, penggunaannya terus dikatakan ketinggalan zaman, alasannya pula tidak dihuraikan lanjut secara hujah yang bernas.

Baru-baru ini, katanya blogger tegar Umno yang dikatakan ‘kebal’ perundangan, iaitu papagomo telah menerbitkan satu video mengenai tutorial menghilangkan palitan dakwat kekal di jari sebagai satu lagi usaha Umno menimbulkan keraguan rakyat.

“Saya katakan begitu kerana ia dirakam secara potong-potong dan edit semula sebagaimana yang dikatakan lima minit itu, mungkin juga dakwat itu telah dicampur dengan bahan lain yang boleh menghilangkan keasliannya, jika tulisan dalam blognya boleh dicampur dengan unsur fitnah, inikan pula dakwat miliknya, sudah pasti amat mudah dicampur dengan unsur lain,” katanya lagi.

Baginya, Umno sejak tahun 90-an lagi, sememangnya telah menjadi ejen pembunuh harapan rakyat, justeru ‘pembunuh’ sebegini perlu ditukar segera demi menjaga kestabilan negara yang tercinta ini.

Tegasnya, Pakatan Rakyat telah membuktikan bahawa harapan rakyat tidak mati begitu sahaja, buktinya boleh dilihat di empat buah negeri yang ditadbir Pakatan.

“Ini komitmen yang perlu dinilai seadilnya, saya boleh gambarkan betapa Malaysia boleh cemerlang di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat,” katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan