Carian

Ahad, 16 Disember 2012

[Update] Himpunan Kebangkitan Rakyat Peringkat Negeri Perak

Himpunan kebangkitan rakyat (HKR) merupakan salah satu siri jelajah rakyat dalam mendapat informasi mengenai keadaan politik semasa negara dan juga membuka ruang kepada penyatuan seluruh ahli keluarga besar rakyat Malaysia dalam menyuarakan satu iltizam untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik serta bebas dari perkara yang korup dan menindas rakyat.

Untuk peringkat negeri Perak, Bandar Seri Iskandar menjadi lokasi pilihan untuk penganjuran yang berprestij ini.

Sebelum ini, siri jelajah Lynas, Hijau ke Putrajaya dan bermacam-macam lagi dianjurkan oleh pelbagai pihak termasuk parti-parti dibawah gabungan Pakatan Rakyat (PR) disambut hebat oleh rakyat yang dahagakan maklumat yang telus dan bebas dari fitnah.

7.00 petang: Perjalanan ditangguhkan untuk solat berjemaah terlebih dahulu Masjid Sultan Yusuf Izzuddin Shah sebelum ke tapak program.

7.30 petang: Kuliah maghrib

8.25 malam: Solat Isya berjemaah setelah mendengar kuliah mantap daripada Tok Imam. ALLAHU AKBAR

10.20 malam: Dato Seri Nizar Jamaluddin memulakan sesi ucapan pemimpin, diikuti Tan Sri Kadir Sheikh Fadil. Turut hadir Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang, Haji Mohamad Sabu, Dato Seri Anwar Ibrahim. Dipengerusikan oleh YB Sivakumar dan wakil PAS.

Khamis, 22 November 2012

Malam Penghargaan WCIT2012

Malam meraikan sekretariat-sekretariat yang menjadi tunjang penggerak persidangan antarabangsa yang diberi tajuk World Conference on Islamic Thought and Civilization. Persidangan ini menempatkan platform kepada cendekiawan-cendekiawan untuk mengutarakan idea-idea mereka.

"WCIT2012 merupakan satu projek yang besar, dan tahniah kepada seluruh tenaga kerja yang telah menjadikan projek ini berjaya dan dengan penaiktarafan KISDAR kepada KUISAS, kita akan berjumpa lagi pada WCIT2014" ujar Dr Wan Sabri, Pengarah Projek WCIT2012

"Jadikan projek ini satu benchmarking untuk projek-projek yang akan datang dan teruskan komitmen yang tinggi untuk program yang seumpamanya pada masa akan datang" ujar Prof Dr Jamil Hashim, Rektor KISDAR.

Para hadirin diraikan dengan penyampaian sijil penghargaan dan jamuan besar-besaran.

Khamis, 25 Oktober 2012

Jelajah Perakite: Gambar 2

Eidul Adha: Aktiviti Ziarah Erat Ukhuwah

Malam ini berkesempatan menziarahi rumah arwah hj ahmad rashid dan rumah hj rahman. Amalan ziarah menziarahi masih hidup di Kg. Buaya dan Kg. Menora. Amalan ini dilakukan disebelah malam hari raya kerana sebelah siang biasanya akan diadakan majlis sembelihan korban. Suasana harmoni membentuk satu ukhuwah yang kuat dikalangan penduduk. Jamuan berat dan ringan membuat masing-masing terhibur serta kekenyangan dan mesra bersama. Kerana adakalanya dikalangan penduduk bertugas di luar kawasan dan hanya pulang sekali sekala ke kampung halaman menjenguk sahabat handai.

Ahad, 21 Oktober 2012

Jelajah Perakite: Gambar 1

Konvoi berkereta sekitar lebih 30 buah mengiringi pimpinan.

Jelajah Rakyat: Perakite Membawa Gelombang Perubahan untuk Malaysia

AKTIVITI HARI INI
Jelajah Perakite akan bergerak dari dua arah berbeza, selatan dan utara. Delegasi utara dijangka tiba diperhentian Kuala Kangsar sekitar jam 11.00 pagi dan bergerak mengedar risalah disekitar pasar minggu di lembah dan kedai-kedai sekitarnya. Jelajah ini akan diiringi para kepimpinan negeri dan wakil dari pusat dan akan berkumpul di Tambun untuk program bersama dengan kepimpinan yang lain

Gambar akan dimuat naik dari semasa ke semasa.

Khamis, 18 Oktober 2012

Dakwaan Soi Lek mengenai hudud, mengapa Ulamak Muda UMNO senyap?

Dipetik daripada laman sesawang Malaysiakini memaparkan dakwaan Chua Soi Lek, Presiden MCA (sekutu UMNO didalam Barisan Nasional) mengenai hudud.

"Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mendakwa seramai 1.2 juta rakyat Malaysia akan kehilangan kerja sekiranya PAS melaksanakan hudud di Malaysia.

Chua yang memetik satu SMS oleh individu tidak dikenali, menyenaraikan pelbagai industri yang terjejas denga kehilangan pekerjaan yang didakwa itu, sekiranya hudud dilaksanakan.

Dakwanya, ia termasuk pekerjaan di resort perjudian Genting Highlands, pusat pertaruhan dan juga rumah urut.

Beliau membuat dakwaan itu melalui blog video dan Facebook hari ini, berdasarkan SMS yang didakwanya diterima pagi ini.

Beliau bagaimanapun tidak dapat mengesahkan pengirim tersebut kerana panggilannya tidak disambut, katanya.
"

Ketika UMNO sibuk menghentam PAS yang bekerjasama dengan DAP dengan hasutan bahawa DAP akan membawa dakyah kristianisasi dan akan menghilangkan kekuasaan Melayu, Chua Soi Lek pula bertempik dengan kenyataan mengenai hudud yang dari mana entah kita tidak tahu beliau belajar. Para Ulamak Muda UMNO membisu seribu bahasa. Tatkala filem Innocent of Muslim menghina nabi Muhammad SAW, UMNO bangkit berdemo, Chua Soi Lek menghina hukum Allah, dijahit bibir hilang seribu kata.

Kenyataan beliau lebih awla untuk diambil berat kerana membawa kerosakan dan penghinaan yang terang-terangan terhadap hukum dan ajaran Islam yang suci. Bangkit dan sedarlah wahai ahli-ahli UMNO yang mengaku beriman, sedarlah anda berada dimana sekarang. Bangkit dan perjuangkan Islam yang syumul dan jangan membisu dengan menunding jari mencari salah orang lain, periuk nasi dikepit kesana kemari.

Salam perjuangan untuk semua. Allahu Akbar

Jumaat, 25 Mei 2012

Surat Terbuka Dr Maszlee Malik kepada Dato Dr. Hassan Ali

Assalamualaykom w.b.t.

YB Dato’ Dr Hasan Ali yang saya hormati,

Saya kira tidak perlulah saya perkenalkan diri saya memandangkan Dato merupakan tokoh dan sahabat yang saya kagumi. Saya kira, Dato’ juga tetap menganggap saya sebagai kenalan rapat Dato’ sekeluarga. Secara ikhlas, saya mula mengkagumi Dato’ sebagai motivator semenjak saya di bangku sekolah lagi, sehinggalah Dato’ menceburkan diri ke dalam bidang politik. Walau bagaimanapun kekaguman saya tidaklah menjadi penghalang untuk saya menyatakan sedikit pandangan terhadap pendirian Dato’ mutakhir ini berdasarkan neraca ilmu dan keadilan. Kesedaran bahawa apa yang telah Dato’ lemparkan kepada mantan parti Dato’ sendiri, iaitu PAS, di dalam kenyataan-kenyataan Dato’ di media dan juga lewat ceramah-ceramah Dato’ yang bercanggah dari amanah keilmuan dan kebenaran, maka saya terdorong untuk menulis surat terbuka ini.

Sebagai ahli akademik yang mengkaji bidang gerakan Islam, politik Islam dan juga Usul al-Fiqh, saya berasa terpanggil untuk mengarang surat terbuka ini kepada Dato’ untuk menilai beberapa kenyataan Dato’ dari pertimbangan ilmu dan kacamata ilmiah di dalam bidang pengkajian saya. Saya kira tulisan surat terbuka saya sebagai ahli akademik ini adalah sebagai tanggungjawab saya kepada kejujuran terhadap disiplin ilmu yang saya pikul dan bukannya sebagai ahli politik. Saya bukanlah ahli parti PAS, yang tampil untuk membela PAS dari serangan Dato’. Maka saya bertegas menyatakan apa yang saya tulis ini hanyalah semata-mata pendangan orang luar dan ahli akademik yang neutral dan tidak berpihak, baik kepada Dato’ mahupun kepada parti PAS yang telah memecat Dato’.

Saya kira Dato’ mungkin telah maklum dengan pencapaian gerakan-gerakan Islam moderat di utara Afrika seperti Ikhwan Muslimun di Mesir, parti Ennahda di Tunisia, parti keadilan dan pembangunan (PJD) di Morocco dan juga parti-parti Islam lain selepas kebangkitan rakyat (Arab Spring). Kemenangan kesemua gerakan-gerakan tersebut secara empirikalnya seperti yang telah dianalisis oleh pakar politik di rantau berkenaan merujuk kepada tiga perkara utama: ‘Wacana Islam moderat yang segar’; Kesediaan ‘perkongsian kuasa’ (power sharing); dan juga ‘pengaruh di kalangan rakyat’ melalui jaringan kerja kebajikan dan juga pendidikan yang menyeluruh, berterusan serta meluas.

Apa yang dimaksudkan dengan wacana moderat yang segar ialah kemampuan gerakan-gerakan tersebut untuk menawarkan apa yang diperlukan oleh rakyat dan apa yang diperlukan oleh sesebuah Negara di dalam pendekatan mereka. Wacana moderat juga telah memperlihatkan bagaimana gerakan-gerakan Islam, tidak lagi memaksakan apa yang mereka mahukan atau percaya ke atas rakyat tanpa kerelaan majoriti. Maka, di dalam wacana baru mereka, gerakan-gerakan Islam tidak lagi menawarkan retorik ‘Dawlah Islamiyyah’ (Negara Islam) yang agak bersifat utopia dan tidak tentu apakah modelnya. Mereka juga tidak menawarkan hukuman jenayah Islam ‘secara paksaan’ seperti yang pernah dilakukan oleh Taleban di Afghanistan, sebelum keadaan ekonomi dan kebajikan yang kondusif disediakan di dalam negara mereka. Mereka juga tidak mempamerkan diri sebagai penghukum, tetapi mereka muncul sebagai pembawa harapan, pejuang kebebasan dan pelaksana keadilan setelah rakyat ditindas dan dizalimi selama berdekad-dekad lamanya oleh para diktator. Perkara ini telah membuatkan ramai dari kalangan pengkaji di barat telah mula mengatakan bahawa golongan ini telah merubah sikap dan prinsip mereka, lantas menggelar fenomena ini sebagai post-Islamism (pasca-Islamisme).

Saya konsisten untuk tidak menyokong istilah pasca-Islamisme yang sarat dengan makna neo-kolonialisme. Hakikatnya gerakan-gerakan Islam yang terlibat tidak pernah merubah prinsip. Mereka juga tidak meninggalkan landasan perjuangan, apatah lagi mengubah pendirian. Apa yang berlaku ialah proses kematangan gerakan-gerakan terlibat untuk melihat Islam dalam kerangkanya yang lebih luas dan komprehensif. Kejayaan beberapa individu berlatarbelakangkan Islamis di Turki melalui agenda neutral AKP, telah menjadi sumber inspirasi gerakan-gerakan tersebut. Wacana ini juga bertunjangkan konsep Maqasid al-Shariah dan melihat ajaran Islam dari aspek yang holistik, terutamanya aspek moral dan keadilan. Gelombang perubahan pada pendekatan inilah yang telah melanda kebanyakan gerakan Islam di seluruh dunia mutakhir ini, tidak ketinggalan PAS yang Dato pernah sertai dahulu. Gelombang ini sekaligus melenyapkan pengaruh model Iran yang pernah mendominasi wacana gerakan-gerakan Islam sedunia dengan melaungkan pembinaan sebuah republik Islam dan juga pemerintahan mutlak golongan agama (Wilayatul Faqih).

Realitinya kini, gerakan-gerakan Islam moderat yang wujud lebih memilih ruang demokrasi untuk membawa perubahan. Mereka juga melaungkan pembentukan negara sivil milik semua warga dengan menjamin kebebasan politik, penegakan keadilan, hak upaya masyarakat sivil, hak wanita, tatakelola yang baik, kebajikan rakyat yang terpelihara, ekonomi yang lebih berdaya saing serta bebas dari korupsi, pecah amanah dan rasuah, serta perkongsian kuasa bersama rakyat dari segala lapisan dan kumpulan. Menurut kajian saya ke atas wacana baru PAS, terutamanya melalui konsep ‘Negara Berkebajikan’, PAS juga tidak terlepas dari arus perubahan ini. Jika Dato’ merasakan pendekatan baru PAS ini bermakna PAS telah meninggalkan perjuangan Islamnya, saya kira Dato’ tersilap. Perubahan pada PAS bukanlah kerja parasit sepertimana yang Dato’ dakwa, tetapi ianya merupakan satu dinamisme tabi’i bagi sebuah gerakan Islam yang matang. Jikalaulah parasit yang telah menyebabkan perubahan pada PAS, maka pastinya kesemua gerakan Islam di Utara Afrika dan Asia Barat, termasuk Ikhwan Muslimin di Mesir dan juga parti Ennahda juga telah dilanda parasit. Timbul dilemma di dalam pemikiran saya, apakah pemimpin dan tokoh ideolog gerakan Islam sedunia, Rashid Ghannoushi yang telah mencetuskan wacana gerakan Islam yang baru itu juga telah dijangkiti parasit? Apakah mungkin Dato ingin mengatakan bahawa Rashid Ghannoushi yang merupakan sumber inspirasi perubahan fikrah pada gerakan-gerakan Islam moderat sedunia itu pula merupakan bapa parasit?

Yakinlah Dato’, sepertimana gerakan-gerakan tersebut telah berjaya mendapatkan majoriti undi di dalam pilihanraya di negara-negara mereka kerana pendekatan baru ini, PAS juga sedang meniti langkah tersebut. Inilah yang ditakuti oleh UMNO dan kerajaan BN. Pihak lawan tidak mahukan PAS mendapat sokongan majoriti masyarakat Islam dan bukan Islam di Malaysia. Pihak lawan mahu PAS kekal sebagai parti kampung milik Pak Lebai dan Pak Haji. Pihak lawan juga tidak mahu PAS bangkit sebagai parti milik semua rakyat Malaysia, mereka lebih selesa PAS dikenali sebagai parti ekstrimis dan fundamentalis yang hanya tahu memotong tangan orang sahaja. Hanya dengan wacana Islamis global yang baru ini sahajalah niat buruk mereka akan terhalang. Malang sekali apabila Dato’ pula yang mula bercakap senada dan seirama dengan pihak lawan menentang perubahan pada PAS. Lebih malang lagi kini Dato’ menjadi suara pihak lawan untuk memaksa PAS kembali ke kerangka persepsi lama rakyat terhadap mereka yang telah dilelong oleh pihak UMNO dan BN.

Saya yakin, di dalam PAS masih terdapat segelintir yang termakan umpan Dato’ lantas mempercayai kewujudan parasit. Mereka ini golongan yang ikhlas tetapi hanya kurang mendapat pendedahan terhadap dunia luar sahaja. Ada di antara mereka juga yang berkepentingan, lantas menggunakan hujah Dato’ untuk kekal berpengaruh, tetapi saya yakin mereka ini teramat kecil bilangannya. Melalui pengamatan saya, PAS akan terus menggalas harapan rakyat dan juga kefahaman Islam yang sebenar berteraskan wacana baru gerakan Islam sedunia untuk menempuh hari muka mereka. Seperkara yang perlu Dato’ ketahui, wacana baru gerakan Islam moderat ini juga telah mendapat restu dari para ulama terkemuka seperti Dr Yusuf al-Qaradawi, Dr Tawfiq al-Wa’ie, Dr Rashid al-Ghannoushi. Amat kasihan kerana Dato’ tidak dapat bersama lagi dengan realiti baru ini.

Apabila melihat kepada isu ‘Negara Berkebajikan’ pula, pada hemat saya, setelah meneliti dokumen ‘Negara Berkebajikan’ PAS dan membandingkannya dengan manifesto parti-parti Islam moderat lain di dunia Arab, saya mendapati PAS ternyata senada dengan mereka yang telah Berjaya di negara masing-masing. Saya berkeyakinan gagasan ‘Negara Berkebajikan’ merupakan satu langkah drastik PAS di dalam membawa perubahan dan menyuarakan persiapan mereka untuk muncul sebagai alternatif kepada parti pemerintah yang sedia ada. Prinsip-prinsip konsepsual ‘Negara Berkebajikan’ yang dibentangkan di dalam dokumen tersebut dan juga cadangan mekanisme perlaksanaannya merupakan satu anjakan paradigma bagi sebuah gerakan dakwah dan parti politik yang telah matang seperti PAS. Jelas sekali PAS sudah melayakkan dirinya untuk menyertai gelombang perubahan yang melanda gerakan Islam di seluruh dunia dengan membuktikan bahawa golongan Islamis mampu dan bersedia untuk berkongsi kuasa dan memerintah di dalam kerangka demokrasi dan tatakelola yang baik. Malangnya, hal ini tidak disambut positif oleh Dato’, malah dipandang sinis.

Melihat kepada isu hudud yang Dato’ anggap telah ditinggalkan oleh PAS, saya kira itu juga agak kurang tepat. Sebagai sebuah parti Islam, saya berpendapat PAS dilihat amat konsisten memperjuangkan apa yang mereka yakini, iaitu kewajipan melaksanakan hukum hudud. Apa yang menarik ialah pendekatan PAS yang terbuka untuk membicarakan isu tersebut di ruang umum dan bersedia untuk meyakinkan rakyat melalui proses pendidikan dan dakwah adalah sesuatu yang patut dihargai. Apa yang saya dapati melalui metod obervasi ke atas ruang ‘discursive’ PAS selama ini, PAS tidak memilih untuk memaksakan hudud ke atas orang lain secara kekerasan. Malah di dalam banyak kenyataan PAS, mereka bersedia untuk mendengar suara majoriti di dalam melaksanakan hukum jenayah Syariah itu. Pendekatan diplomasi PAS ini harus dihormati kerana ia mencerminkan sikap professionalisme PAS dan keterbukaan para pimpinannya. Saya kira kerana sikap konsisten PAS inilah yang menyebabkan parti itu telah berjaya meraih sokongan ramai bukan Islam melalui ‘Kelab Penyokong PAS’.

Akhirkata, jika Dato’ benar-benar ingin memperjuangkan aqidah dan memerangi gejala murtad yang dikatakan sebagai mengancam umat Islam di Selangor, saya mempunyai pelan tindakan yang boleh Dato’ lakukan berdasarkan kekuatan yang ada pada diri Dato’. Sebagai seorang motivator yang begitu meyakinkan dan berupaya bermain dengan emosi orang ramai, saya rasa sudah sampai waktunya Dato’ untuk turun padang bertemu dengan mereka yang didakwa murtad berdasarkan senarai yang rakan-rakan Dato’ miliki. Mungkin juga Dato’ boleh menggunakan kemahiran tersebut juga untuk berdakwah kepada mat-mat rempit, tahi dadah, remaja berpeleseran yang terdapat di dalam negeri Selangor secara sukarela tanpa sebarang bayaran. Jika dulu mungkin Dato’ sibuk dengan tugas exco, kini Dato’ lebih mempunyai waktu lapang. Buktikanlah kata-kata Dato’ yang ingin menjaga aqidah itu. Saya kira Dato’ juga boleh berdakwah di Hard Rock Café menyeru umat Islam agar bertaubat dan menghayati agama Islam. Saya pasti pemilik Hard Rock Café tidak akan menghalang kerja murni Dato’ itu. Saya yakin 10,000 atau lebih orang yang turut berHIMPUN bersama Dato’ untuk menyelamatkan aqidah umat Islam boleh Dato’ kerahkan dari seluruh negara untuk sama-sama turun padang demi menyelamatkan aqidah umat Islam secara praktikal. Saya amat meyakini, jika Dato’ berdakwah seperti itu, Dato’ akan tetap dikenang kawan ataupun lawan sebagai ‘pejuang aqidah yang sebenar!’.

Dr Maszlee Malik
Ahli Akademik Politik Warga
UIAM

Rabu, 9 Mei 2012

Fitnah Jahat Kerajaan BN Sedang Menggila

Pasca Bersih 3.0 memperlihatkan jati diri kerajaan BN yang sedang memerintah Malaysia sekarang kehabisan dan ketandusan modal untuk melawan musuh politik mereka. Sejak mula lagi, dari pemerintahan Tunku Abdul Rahman, bibit-bibit fitnah-menfitnah itu tumbuh dan semakin membesar sehingga ke hari ini. Tiada lagi istilah demokrasi yang nampak diraut wajah mereka kerana ingin terus berkuasa, mereka tetap berusaha mengekang apa jua tindakan yang mengganggu gugat tembolok dan takhta kerajaan yang penuh dengan habuan kebendaan dan tong-tong yang penuh dosa-dosa mereka.

Paling dasyat baru-baru ini, Rahim Noor membuat kenyataan fitnah dengan menyatakan bahawa Dato Seri Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai "Bapa Kafir". Ini merupakan kenyataan yang terang-terangan lari daripada Islam. Kebiadapan Rahim Noor tidak berkesudahan setelah kes Anwar suatu ketika dahulu. Nafsu BN meluap-luap diapi-apikan dengan nasihat Israel melalui APCO Worldwide yang sudah dibayar bagi tahun ke-2 perkhidmatan mereka untuk menghancurkan bumi Malaysia ini dari syiar Islam dan membiarkan kejahilan berleluasa dimana-mana dengan kerelaan kaum-kaum Munafik yang mengaku dilidah sebagai Islam tetapi menentangnya dari segii hukum-hakamnya.

PM Najib Tun Razak sudah hilang pedoman dengan menyatakan bahawa Bersih 3.0 ingin menggulingkan kerajaan, merampas kuasa tetapi tidak mahu memahami intipati tuntutan Bersih 3.0. Jika itu yang beliau maksudkan, maka benarlah setiap tuntutan tersebut BN sedang mengamalkannya.

Kerajaan BN sekarang sedang:-
  1. Menambah seramai boleh pengundi tidak kira siapa mereka demi kemenangan berpihak kepada rejim BN
  2. Memastikan undi POS akan dirombak kepada pihak yang lebih senang dimanipulasi untuk kemenangan
  3. Merancang dakwat kekal akan dilakukan dengan dua warna berbeza untuk takhta kesayangan
  4. Memastikan media mestilah berat sebelah untuk rakyat dinafikan maklumat sebenar
  5. Merencanakan kempen pilihanraya perlu pendek, jika tidak, pihak lawan lebih banyak isu yang boleh memporak-porandakan gerak kerja BN
  6. Memastikan institusi awam mestilah dicekik leher mereka untuk hanya berpihak kepada kediktatoran BN
  7. Menggunakan taktik rasuah-merasuah demi kesinambungan kuasa biarpun negara tergadai
  8. Menyebarkan berita palsu keseluruh pelusuk negara untuk meyakinkan rakyat ceritera mereka benar belaka
 Wahai saudara-saudaraku yang cerdik pandai, apakah helah BN untuk tidak menunaikan tuntutan-tuntutan Bersih 3.0? melainkan benarlah 8 perkara diatas memang sedang berlaku di Malaysia ini.

Khamis, 3 Mei 2012

Jadual pengajian Mei 2012 sudah diterbitkan

Jadual pengajian sepanjang bulan Mei 2012 sudah dikeluarkan oleh pihak Masjid Ridzwaniah, Kuala Kangsar, Perak. Sukacita dimaklumkan bahawa pengunjung boleh memuat turun jadual tersebut melaui link dibahagian Muat Turun di bawah.

Jadual adalah tertakluk kepada sebarang pindaan. Bersama kita dapat manfaatkan.

Admin

Jumaat, 27 April 2012

BERSIH 3.0: Bersama Mendokong Cita-Cita Rakyat Malaysia

Para pendokong keadilan seluruh dunia,
bersama kita semarakkan semangat menuntut pemulihan demokrasi di Malaysia

PERHIMPUNAN AMAN BERSIH 3.0
28 April 2012
Dataran Merdeka
2 petang - 4 petang

Himpunan suara dan cita-cita rakyat Malaysia
Jom Ubah! Selamatkanlah Malaysia

Selasa, 3 April 2012

Dr Hasan Ali tersalah zaman

Oleh Syed Abdullah Jamalullail
 
Sebagai umat Islam secara peribadi saya simpati dengan isu murtad yang dibawa olih Datuk Dr. Hasan Ali kerana memanglah perkara akidah perlu diambil perhatian serius apa yang berlaku.
Sekarang ini dimana orang Melayu yang menjadi murtad bertambah disebabkan berkemungkinan kesempitan hidup dan kurangnya didikan agama hingga ada yang umat Islam atas namanya sahaja tetapi tidak pernah berpuasa, berzakat apa tah lagi untuk mengerjakan solat tidak pernah dilakukan seumur hidupnya. Ini adalah realiti apa yang berlaku dan tiada siapa yang peduli permasalahan sebegini.

Yang sebenarnya Datuk Dr. Hasan Ali tersalah zaman untuk mendedahkan apa yang dikatakan murtad itu kerana kalau 30 tahun atau pun setidak-tidaknya 20 tahun dahulu berkemungkinan ianya berita sensasi yang bolih meronton jiwa Melayu mendengarnya.

Ahad, 1 April 2012

Muat Turun: Jadual Pengajian April 2012 Masjid Ridzwaniah, Kuala Kangsar

Jadual pengajian sepanjang buan April 2012 sudah dikeluarkan oleh pihak Masjid Ridzwaniah, Kuala Kangsar, Perak. Sukacita dimaklumkan bahawa pengunjung boleh memuat turun jadual tersebut melaui link dibahagian Muat Turun di bawah.

Jadual adalah tertakluk kepada sebarang pindaan. Bersama kita dapat manfaatkan.

Admin

Jumaat, 30 Mac 2012

Raja Ashman Shah: Hilang Kilauan Sebiji Permata Disebalik Kaca

AL-FATIHAH


Dukacita saya diberitakan bahawa 
Yang Teramat Mulia, Raja Kechil Sulong Perak, 
Raja Dato' Seri Ashman Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah 
telah kembali ke Rahmatullah pada 7 Jamadil Awwal 1433H (Jumaat) bersamaan 30 Mac 2012.

Mengikut sumber yang dipetik dari blogger MBS, baginda mangkat disebabkan asma di rumah baginda di Kuala Lumpur, dan jenazah baginda akan dibawa pulang ke Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak Darul Ridzuan dan akan dimakamkan mengikut adat istiadat pemakaman DiRaja Perak selepas solat Asar nanti

Khamis, 29 Mac 2012

Tazkirah pagi: 10 Hak Yang Perlu Dijaga

Oleh Ainul Husaini dari MyMasjid

PERTAMA: HAK KEPADA DIRI.
Mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

KEDUA: HAK KEPADA MALAIKAT MAUT
Mengqadhakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan dari orang yang kita zalimi, membuat persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah.

KETIGA : HAK KEPADA KUBUR
Membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajjud dan membantu orang yang dizalimi.

KEEMPAT: HAK KEPADA MUNKAR DAN NAKIR
Tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati.

KELIMA : HAK KEPADA MIZAN (NERACA TIMBANGAN AMAL PADA HARI KIAMAT)
Menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesusahan.

KEENAM : HAK KEPADA SIRAT (TITIAN YANG MERENTANGI NERAKA PADA HARI AKHIRAT)
Membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.

KETUJUH : HAK KEPADA MALIK (PENJAGA NERAKA)
Menangis lantaran takutkan Allah SWT, berbuat baik kepada ibubapa,bersedekah secara terang-terangan serta sembunyi dan memperelok akhlak.

KELAPAN : HAK KEPADA RIDHWAN (MALAIKAT PENJAGA SYURGA)
Berasa redha dengan Qadha' Allah, bersabar menerima bala,bersyukur keatas nikmat Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat.

KESEMBILAN : HAK KEPADA NABI SAW
Berselawat ke atas baginda, berpegang dengan syariat, bergantung kepada as-Sunnah (Hadith), menyayangi para sahabat, dan bersaing dalam mencari keredhaan Allah.

KESEPULUH : HAK KEPADA ALLAH SWT
Mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.

-/Ainul Husni di MyMasjid

Rabu, 28 Mac 2012

Riba: Definisi dan Jenis-jenisnya

Isu riba’ merupakan isu yang penting dalam kehidupan seharian bagi seorang Muslim. Ia mungkin sudah difahami oleh sebahagian Muslim, tapi tidak dihayati untuk meninggalkannya. Riba’ merupakan suatu larangan yang bersifat mutlak oleh Allah SWT. 

Apa itu Riba’?

Apa Jenis-jenis Riba’?

Apa hukuman bagi orang yang degil untuk meninggalkan amalan Riba’?

Apa itu Riba’?

Takrifan ringkas riba’ ialah merupakan sebarang tambahan di atas hutang akibat penangguhan tempoh dan tambahan dalam pertukaran barangan tertentu (barang ribawi)(1). 

Ia merangkumi merangkumi riba daripada hutang (riba ad-Duyun)  dan riba melalui pertukaran barangan ribawi (riba al-Buyu’).

Sabtu, 24 Mac 2012

Hassan guna RM 300,000 ubahsuai pejabat - Azmin

YB Azmin Ali
Menurut berita yang dikeluarkan oleh Malaysiakini, berdasarkan kenyataan ADUN Bukit Antarabangsa, Azmin Ali, bekas exco kerajaan negeri iaitu Datuk Hasan Ali didakwa membazirkan ratusan ribu untuk mengubahsuai pejabatnya, kata ADUN PKR itu di dalam sidang dewan undangan negeri Selangor hari ini.
YB Datuk Hasan Ali

Semasa perbahasan titah diraja, Azmin berkata bekas exco yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama Islam, adat Melayu, infrastruktur dan kemudahan awam itu telah membelanjakan RM300,000 untuk pengubahsuaian pejabat beliau.

"Beliau juga membelanjakan RM550,000 untuk menganjurkan persidangan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor. Wang itu lebih baik disalurkan kepada rakyat," ujar Azmin.

Azmin, yang juga timbalan presiden PKR, juga membidas Hasan kerana didakwa membelakangkan dasar tender terbuka negeri ketika menganugerahkan sub-kontrak penyelenggaraan jalan.

-/Malaysiakini

Isnin, 27 Februari 2012

Kenapa akhbar The Star siar gambar ini?


“Dan kenapa penyanyi Erykah Badu boleh buat persembahan di Kuala Lumpur setelah seolah-olah menghina Islam dengan gambar ini?” demikian pertanyaan dilontar seorang pembaca Harakahdaily yang menamakan dirinya Hamba Allah.

Beliau merujuk kepada satu artikel yang disiarkan akhbar tersebut hari ini mengenai Erykah Badu yang akan membuat persembahan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Justeru, penyanyi Neo-Soul kelahiran Texan, Amerika Syarikat, Erykah Badu yang bakal mengadakan persembahan di Malaysia hujung Februari ini disifatkan menghina Islam.

Perkara itu jelas melalui tatu kalimah Allah yang terdapat di dadanya seperti gambar yang disiarkan akhbar The Star.

Kehadiran penyanyi yang berusia 40 tahun itu tidak sepatutnya berlaku kerana pihak berkuasa sepatutnya memantau sebarang artis luar yang ingin membuat persembahan di negara ini.

/harakahdaily

KERAJAAN PERLU BUAT PENJELASAN. MENGAPA MAKIN RAMAI ARTIS-ARTIS YANG ROSAK MORAL DAN AKHLAKNYA DIBAWA MASUK KE MALAYSIA.

Jumaat, 17 Februari 2012

Kelebihan Hari Jumaat


Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sebaik-baik hari yang terbit matahari ialah hari Jumaat. Pada hari itu Adam diciptakan dan pada hari itu juga dia dikeluarkan dari syurga. Pada Jumaat juga kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.” (HR Muslim).

Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya hari Juma‘at adalah penghulu segala hari dan hari yang paling besar di sisi Allah Subhanhu wa Ta ‘ala iaitu hari yang lebih besar daripada hari raya Adha dan hari raya Fitrah, pada hari Jum‘at itu terdapat lima kejadian iaitu hari yang dijadikan Adam ‘alaihissalam dan Baginda di turunkan daripada syurga ke muka bumi, dan pada hari itu juga wafatnya Adam ‘alaihissalam, dan Allah mengurniakan satu saat di mana doa-doa dikabulkan kecuali doa-doa maksiat, dan hari Jum‘at juga akan terjadinya hari Kiamat”. (HR Ibnu Majah)

Khamis, 16 Februari 2012

Air Mata Keinsafan

Pada setiap Jumaat, selepas selesai menunaikan solat Jumaat, seorang Imam dan anaknya yang berumur 7 tahun akan berjalan menyusuri jalan di kota itu dan menyebarkan risalah bertajuk "Jalan-jalan Syurga" dan beberapa karya Islamik yang lain.

Pada satu Jumaat yang indah, pada ketika Imam dan anaknya itu hendak keluar seperti biasa meghulurkan risalah-risalah Islam itu, hari itu menjadi amat dingin dan hujan mulai turun.

Anak kecil itu mula membetulkan jubahnya yang masih kering dan panas dan seraya berkata "Ayah! Saya dah bersedia"

Rabu, 15 Februari 2012

Mengapa BN beli gula lebih tinggi dari harga pasaran?

KUALA LUMPUR, 15 Feb: Harga gula sedunia semakin turun tetapi kerajaan Umno Barisan Nasional telah mengimport gula dengan harga yang lebih tinggi, menambah beban dalam meningkatkan pembaziran wang rakyat.

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berkata, keputusan kerajaan Umno BN untuk mengimport gula pada harga US$26 per 100 paun  sedangkan harga terakhir Disember 2011 adalah US$23.42 per 100 paun, menyebabkan kerugian besar dan menambah beban subsidi.

Katanya, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Pengguna dan Koperasi, Datuk Ismail Sabri telah mengumumkan awal bulan ini bahawa kerajaan telah memeterai kontrak 3 tahun untuk mengimport gula mentah pada harga US$26 untuk setiap 100 paun yang ditandatangani pada bulan lalu.

BN matikan minat rakyat jadi pengundi

KUALA LUMPUR, 14 Feb:Kerajaan BN bertanggungjawab di atas kegagalan 3.7 juta rakyat Malaysia yang tidak mendaftar sebagai pengundi yang mana 2 juta ialah Melayu Bumiputera.

60 peratus daripada jumlah itu adalah mereka berusia bawah 40 tahun.
“Fenomena ini amat merbahaya kepada hala tuju negara pada masa hadapan,” kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) kepada Harakahdaily.

Katanya, pemimpin BN telah mematikan minat politik di kalangan rakyat di negara ini untuk menjadi pengundi.


Isnin, 13 Februari 2012

Rasulullah: Utusan Allah Yang Dikasihi

Rasulullah SAW ialah contoh terbaik dikalangan umat Islam dan seluruh manusia. Baginda Rasulullah diutuskan ke bumi dengan membawa rahmat dan perutusan dari Allah SWT. Ketokohan baginda dinukilakan oleh Allah SWT di dalam Surah Al-Mumtahinah, ayat ke 6 yang berbunyi:-

لَقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِيہِمۡ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٌ۬ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأَخِرَ‌ۚ وَمَن يَتَوَلَّ فَإِنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلۡغَنِىُّ ٱلۡحَمِيدُ

Maksudnya: Demi sesungguhnya! Adalah bagi kamu pada bawaan Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan (balasan baik) hari akhirat. Dan sesiapa yang berpaling daripada mencontohi mereka, (maka padahnya akan menimpa dirinya sendiri), kerana sesungguhnya Allah Dia lah Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.

Sabda Rasulullah SAW
عن أنس – رضي الله عنه – أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : لا يؤمن أحدكم حتى أكون أحب إليه من ولده ووالده والناس أجمعين

Dari Anas RA, Rasulullah SAW bersabda: Tidak beriman seseorang itu sehingga dia mengasihi aku, lebih daripada mengasihi ibu bapanya, anaknya, dan sekalian umat manusia.

Ahad, 12 Februari 2012

Sastera: Macam Pakar Gila

Aqidah
Sangat sangat berfaedah
Aurat jangan terdedah
Di akhirat terima padah
Seksanya tak sudah sudah
Aqidah
Rosak disebabkan penjajah
Bertukar wajah
Bila dipecat oleh jemaah
Ke sana ke mari marah marah
Cari gandingan untuk berceramah
Di desak oleh nafsu amarah
Lupa jasa jemaah
Yang penting pemecat mesti musnah
Gunakan pengamal pengamal rasuah
Gunakan gerombolan pecah amanah
Gunakan isu sensitif kepada Melayu
Yang iman dah layu
Bahasa ibunda dah layu
Mula salahkan seteru
Bersatu diseru
Pertahankan
Islam
Bangsa Melayu dan raja raja Melayu
Lupa ubatnya wahyu
Lupa ubatnya Al-Quran
Lupa ubatnya hadis
Lupa ubatnya Qias
Lupa ubatnya Ijma Ulama
Perlu diingatkan
Penyakit Melayu
Boleh diubatkan Islam sahaja
Bila Islam diamalkan raja raja
Bila Allah saja dipuja
Kerana Allah buat semua kerja
Bersihlah Putrajaya
Biar bersih pilihanraya
Kuburnya
Nanti bercahaya
Ikhlas amaalannya
Dari sejarah ada teladannya
Bila Khalid bin Walid dipecat
Dia tetap ikut syariat
Betul niat
Pakar motivasi lain pula
Bersongkok hitam di kepala
Jauh dari pahala
Silap silap boleh jadi gila

paksalleh.blogspot.com

Rabu, 8 Februari 2012

Hassan Ali dan Saya (Khalid Samad)

Oleh Khalid Samad  
Rabu, 08 Feb 2012 09:39
 
Ada yang berpandangan saya tidak perlu melayan segala dakwaan Hassan Ali terhadap diri saya. Mereka kata biarlah dia meroyan seorang diri, semakin dia meroyan, semakin terserlah keperibadiannya yang sebenar. Saya akui, ada kebenaran nasihat dari kalangan sahabat saya itu. Pada masa yang sama, saya dapati kali ini dakwaan beliau terlalu melampau, jauh melepasi batas ‘adaabul ikhtilaf’ yang perlu dihayati oleh mereka yang takut kepada azab Allah. Walaubagaimanapun, bagi yang mempunyai maklumat, walaupun sedikit, dakwaannya pasti akan ditertawakan sahaja.

Namun, bagi yang tiada maklumat langsung dan mungkin ramai juga yang begini, mereka mungkin termakan dengan tuduhan liar yang dibuat olehnya. Oleh itu, pada pendapat saya, jawapan terhadap tuduhan liar tersebut, khususnya tuduhan beliau terhadap diri saya, perlu dikemukakan. Oleh yang demikian, bagi memahami dengan jelas persoalan ini, maka perlu disingkap sedikit sejarah saya bersama Hassan Ali.

Sebelum itu, ingin saya sebut bahawa saya pernah fikirkan kesesuaian perkataan dalam beberapa istilah bahasa Melayu, termasuk istilah ‘gila talaq’. Saya hairan mengapa nenek moyang kita memilih perkataan ‘gila’ dalam istilah berkenaan sedangkan beberapa perceraian pasangan suami isteri yang saya lihat sebelum ini tiada yang menzahirkan kelakuan yang boleh disifatkan sebagai ‘gila’. Namun dalam kes Hassan Ali ianya menjadi jelas dan adalah terbukti bahawa perkataan gila amat tepat untuk diguna-pakai. Memang ada yang apabila ‘ditalaq’ menjadi gila. Pendekata, Hassan Ali sudah ‘gila talaq’ dan dalam kegilaannya, meroyan dan meracau tidak ketentuan.

Khamis, 2 Februari 2012

Salam Maulidur Rasul SAW 1433H

بسم الله الرحمن الرحيم

Syukur ke Hadrat Allah Subhanahu Wataala, kerana dengan limpah kurnia nikmat-Nya, dapat lagi menukilkan kata-kata untuk tatapan semua.

Junjungan Besar, Manusia Agung,
Diturunkan Pada Umat Akhir Zaman,
Al-Quran dan As-Sunnah Mesti Dijunjung,
Menghindarkan Diri Dari Kezaliman

Nabi Muhammad SAW telah diturunkan oleh Allah SWT untuk membawa rahmat ke seluruh alam. Segala puji-pujian hanya bagi Allah, Tuhan semesta alam. Sebelum kewafatan Rasulullah SAW, baginda berpesan kepada umat Islam amnya melalui ungkapan baginda:-

عَنْ أَبِي هْرَيْرَةَ رضي الله عنه، عن النبي (ص)، قال: تركت فيكم امرين لن تضلوا ما إن تمسكتم بهما: كتاب الله وسنتة نبيه
( رواه مالك )
Dari Abu Hurairah R.A., Rasulullah SAW bersabda: “Ku tinggalkan kepadamu (umat Islam) 2 perkara, yang mana apabila kamu terus berpegang kepada keduanya, nescaya kamu tidak akan sesat, iaitu Al-Quran (Kitab Allah) dan Sunnahku” (Hadith Riwayat Malik)

Namun, tidak semua umat manusia menurut kata-kata Rasulullah SAW kerana mengejar habuan di dunia dan tersesat jauh dengan kebendaan. Masyarakat menjadi semakin rosak dan fitnah menjadi bahan gurau senda demi kepentingan tertentu yang tidak membawa faedah kepada umat malah merosakkan umat. Al-Quran terkandung di dalamnya segala yang diperlukan oleh manusia seperti buku manual penggunaan sesuatu produk barangan pengguna. Manusia diciptakan oleh Allah, dan manual penggunaannya adalah Al-Quran. Firman Allah SWT, didalam Surah Al-Baqarah (Ayat 2) yang berbunyi

ذَٲلِكَ ٱلۡڪِتَـٰبُ لَا رَيۡبَ‌ۛ فِيهِ‌ۛ هُدً۬ى لِّلۡمُتَّقِينَ (٢
Maksudnya: “Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.”

Rasulullah SAW menjadi pedoman untuk seluruh umat manusia di atas dunia yang fana ini dan disanjungi oleh umatnya dan disegani oleh lawannya. Cubalah cari siapakah manusia yang paling agung dan disanjung sama ada umat Islam atau yang belum Islam? Rasulullah SAW tiada tandingan kerana baginda adalah utusan Allah yang terakhir di atas muka bumi. Baginda mempunyai akhlak dan budi pekerti yang tinggi yang mesti dicontohi.

عن أم المؤمنين عائشة لما سئلت رضي الله عنها عن خلق النبي عليه الصلاة والسلام، قالت : كان خلقه القرآن
صحيح مسلم
"Akhlak Rasulullah S.A.W itu adalah Al-Qur'an" (Hadith Riwayat Muslim)

Persoalannya, mengapakah setelah diberikan petunjuk yan terbaik, manusia sebahagaian besarnya masih menolak untuk melaksanakan hukum Allah di atas muka bumi Allah ini. Rasulullah menjadi contoh untuk semua lapisan masyarakat, bermula dari kelahirannya sehingga kewafatan baginda. Dari menjadi kanak-kanak, remaja, dewasa sehinggalah menjadi pemimpin sebuah negara berpelembagaan.

Mengagungkan Rasulullah SAW bukanlah dengan sambutan 1 hari Maulidur Rasul semata-mata. Rasulullah SAW mesti diagungkan setiap masa saat kehidupan manusia. Bagaimanakah yang dikatakan mengagungkan Rasulullah SAW, adakah sekadar berselawat, berarak disepanjang jalan sahaja. Ia lebih daripada itu, menjunjung dan melaksanakan hukum Allah, menolak kebatilan dan menegakkan kebenaran demi Islam, nikmat terbesar kurniaan Allah.

Selawat dan salam keatas junjungan besar Rasulullah SAW, semoga roh perjuangan dan Islam kembali bersinar dan diberikan kekuatan kepada seluruh pejuang-pejuang agama Allah SWT dan keadilan ditegakkan di atas landasan Islam, menolak fitnah jahat musuh, mempertahankan Hukum-Hukum Allah, berazam untuk ia dilaksanakan untuk kesejahteraan umat manusia sejagat.

صَلَّى الله على محمد, صلى الله عليه وسلم
يا نبي سلام عليك, يا رسول سلام عليك
يا حبيب سلام عليك, صلوات الله عليك
اشرق البدر علينا, فاْحتفتْ منه البدور
مثل حسنك ما راينا, ق" يا وجه السرور
انت شمش انت بدر, انت نور فوق نور
انت اكسيروعالى, انت مصباح الصدور
يا حبيب يا محمد, يا عروس الخافقين
يا مؤيد يا ممجد, يا امام القبلتين