Carian

Rabu, 15 Februari 2012

BN matikan minat rakyat jadi pengundi

KUALA LUMPUR, 14 Feb:Kerajaan BN bertanggungjawab di atas kegagalan 3.7 juta rakyat Malaysia yang tidak mendaftar sebagai pengundi yang mana 2 juta ialah Melayu Bumiputera.

60 peratus daripada jumlah itu adalah mereka berusia bawah 40 tahun.
“Fenomena ini amat merbahaya kepada hala tuju negara pada masa hadapan,” kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) kepada Harakahdaily.

Katanya, pemimpin BN telah mematikan minat politik di kalangan rakyat di negara ini untuk menjadi pengundi.



Beliau berkata, budaya takut disuburkan di dalam masyarakat sehingga rakyat lebih suka menjadi pemerhati sahaja daripada menangung risiko.
Tambahnya, ceramah dan pendedahan isu semasa yang membangkitkan kesedaran rakyat untuk berpolitik cuba dihalang.

Katanya, faktor tekanan hidup yang memaksa rakyat hanya bersikap untuk mencari keperluan hidup dahulu sehingga mereka tidak memperdulikan soal daftar pemilih.

Menurutnya lagi, mereka bertungkus lumus bekerja siang malam untuk survival keluarga akibat kenaikan harga barang.

Begitu juga, ujarnya program yang dihidangkan kepada rakyat terutama generasi muda yang tidak membangunkan minda kesedaran berpolitik.

“Ia lebih kepada program khayalan dan tidak membangunkan intelektual, walau pun pada asalnya ia bertujuan supaya remaja khayal dan tidak mempedulikan soal rasuah, ketirisan, pembaziran yang dilakukan oleh pemimpin BN,” ujarnya.

Akibatnya, kata beliau ia telah menjadi senjata makan tuan, sehingga ramai remaja tidak mendaftar.

“Berapa banyak pelajar yang belajar di universiti yang tidak memperdulikan politik kampus dan tidak turun mengundi,” katanya.

Katanya, mereka tidak mempedulikan apa yang berlaku di dalam kampus, malahan terpaksa pihak Hal Ehwal Pelajar mewajibkan pelajar turun mengundi.

“Semua ini gara-gara pemimpin BN hanya menyuruh pelajar menumpukan kepada pelajaran, tanpa mempedulikan apa yang berlaku sekeliling mereka, akhirnya perkara ini terbawa-bawa pula ketika mereka keluar daripada universiti sehingga tidak memperdulikan soal daftar pemilih,” katanya.


Sumber: Harakahdaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan