Carian

Rabu, 3 April 2013

Nik Aziz Jawab Tulisan Pelacuran New Straits Times – Kelantan After Dark


Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Bismillah, saya membaca laporan muka hadapan New Straits Times semalam yang memaparkan di muka hadapan laporan mengenai masalah sosial di Kelantan dengan tajuk Kelantan After Dark. Ia disambung pula dengan paparan Buletin Utama TV3 malam semalam dan juga kenyataan seorang pemimpin utama UMNO Kelantan yang mengatakan bahawa ini adalah bukti Kelantan tidak sempurna.

Respon saya ialah saya tidak pernah menyatakan bahawa Kelantan sempurna. Namun, kerajaan negeri telah melakukan yang terbaik untuk mengekang aktiviti tidak bermoral di negeri ini. Kami mengharamkan premis judi, rumah-rumah urut dan menghalang penjualan minuman keras secara terbuka. Jika ia wujud, ertinya kewujudannya tanpa lesen dan secara haram. Sesuatu yang wujud secara haram bukan bukti ia direstui, adakah apabila meningkatnya gejala penyalahgunaan dadah di seluruh negara contohnya bermakna ia direstui oleh kerajaan pusat?


Sesuatu yang wujud secara haram perlu dibanteras, bukannya diberikan lesen, ini pendirian kami. Kami tidak sama dengan sesetengah pihak yang ingin memberikan lesen kepada kegiatan yang wujud secara haram. Lesen judi untuk pertaruhan bola sepak Piala Dunia 2010 contohnya, ada sesetengah pemimpin UMNO Kelantan berhujah ia wajar diberikan lesen agar tidak beroperasi secara haram.pelacur kelantan

Sewajarnya semua pihak yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan haram ini, perlu membuat aduan. Sayangnya, ada yang saban masa mencabar undang-undang yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri. Jamuan Perdana Perayaan Hari Guru 2012 pada 15 Julai tahun lepas contohnya, diserikan dengan persembahan artis wanita secara terbuka yang jelas melanggar Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998.

Saya perhatikan laporan NST tiada butiran jelas dan tepat. Ia sekadar laporan umum dengan melindungi fakta-fakta dan individu yang terlibat, begitu juga dengan paparan TV3 yang sangat kabur dan diragui. Saya kira, lebih baik untuk disebut dengan jelas fakta-fakta kes agar ia memudahkan pihak penguatkuasa untuk bertindak.

Di Kelantan, kami perkenalkan undang-undang dalam bidang kuasa kami. Namun, bolehkah kami menghalang 100% gejala sosial sedangkan di peringkat pusat sendiri senarionya lebih berat?

Sama-samalah kita berusaha. Hakikatnya, jika hanya petak sawah kita sahaja dijaga daripada ular dan tikus sedangkan petak sawah di sebelah berkubang dengan anasir perosak, lama kelamaan petak sawah kita juga akan mengalamai nasib yang sama!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan