Carian

Isnin, 22 Julai 2013

Ramadhan sebagai Platform Perubahan

Setiap tahun manusia akan berjumpa dengan bulan yang paling mulia iaitu bulan Ramadhan. Pada bulan inilah manusia berlumba-lumba untuk memperbanyakkan tingkat pahala mereka melalui amal ibadat khusus dan sunat. Manusia berlumba-lumba ingin berubah daripada tidak baik kepada baik, daripada baik kepada lebih baik.

Ada sesetengah masyarakat yang diberikan hidayah oleh Allah dibulan Ramadhan dan ada juga yang mencari hidayah Allah dibulan Ramadhan seperti:


  1. Cuba untuk menunaikan solat cukup 5 waktu sehari semalam yang sebelum ini sangat malas solat.
  2. Cuba untuk bersedekah yang sebelum ini sangat kedekut dan berkira.
  3. Cuba untuk memakai tudung yang sebelum ini mendedahkan rambut.
  4. Cuba menjadi isteri yang baik dengan memasak juadah berbuka dan sahur untuk suami yang sebelum ini pergi dapur pun tidak mahu.
  5. Cuba untuk berpakaian longgar yang sebelum ini berpakaian ketat seperti sarung nangka.
  6. Cuba untuk bercakap baik yang sebelum ini selalu maki dan bercakap kasar dengan orang lain.
  7. Cuba senyum yang sebelum ini masam mencuka dan sombong.
  8. Cuba bagi salam yang selama ini pandang orang pun tidak mahu.
  9. Cuba menjaga batasan pergaulan yang sebelum ini suka bertepuk tampar antara lelaki dan perempuan bukan muhrim.
  10. Cuka berbuat baik dengan ibu bapa yang sebelum ini selalu menderhaka.
Sangat hebatnya bulan Ramadhan sehingga mampu menjadikan manusia itu berubah dan berazam menjadi baik. Tapi janganlah amalan ini hanya dilaksanakan di bulan Ramadhan sahaja. Jadikanlah Ramadhan ini sebagai platform untuk diri kita berubah dan kekal amalannya sehingga ke akhir hayat. Takut nanti amalan yang kita lakukan dibulan Ramadhan akan terpadam pahalanya dengan dosa yang kita lakukan pada hari dan bulan berikutnya. Sayang dan penat saja kita lakukan amalan di bulan puasa.

Jadi, untuk kekalkan pahala itu, kekalkanlah amalannya sekali. Lakukan ibadat dan amalan kebajikan di bulan Ramadan ini dengan ikhlas kerana Allah bukan semata-mata kerana ianya bulan Ramadhan. Barulah niat untuk berubah itu sampai dan melekat dalam jiwa dan akhirnya menjadikan kita manusia yang berubah dan bertaubat kepada Allah dengan perubahan dan taubat yang sebenar. Maka, tidak aka nada orang yang mengatakan kita mempermain-mainkan bulan Ramdhan.

Kita marah orang bukan Islam menghina bulan Ramadhan, tetapi sebenarnya secara tersembunyi dan tanpa sedar, kita sendiri memainkan dan menghina bulan Ramadhan apabila kita hanya melaksanakan ajaran Allah di bulan ramadhan dan meninggalkannya di bulan-bulan yang lain.

AIDA HARTINI BINTI NAN

PENSYARAH/PENYELARAS E-USULUDDIN

JABATAN USULUDDIN
FAKULTI PENGAJIAN ISLAM

KOLEJ UNIVERSITI ISLAM SULTAN AZLAN SHAH (KUISAS)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan