Carian

Khamis, 19 Disember 2013

Pengurusan Tertinggi IPT Perlu Bijak Memahami Budaya Ilmu Dan Ilmuwan - Raja Nazrin

KUALA KANGSAR, 19 Dis (Bernama) -- Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah bertitah pengurusan tertinggi di sesebuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) perlu bijak memahami budaya ilmu dan ilmuwan serta menghargainya, bukan sekadar cekap mentadbir organisasi.

Baginda bertitah ini kerana keunggulan sesebuah IPT tidak terletak pada nama, sebaliknya dinilai dari segi kualiti graduan yang amat dipengaruhi oleh kualiti pengajian, manakala kualiti pengajian dipengaruhi kualiti tenaga akademik yang berkhidmat di dalam sesebuah institusi pengajian.

"Kualiti tenaga akademik pula dipengaruhi oleh budaya pengurusan yang diamalkan oleh sesebuah institusi pengajian," titah baginda pada majlis perasmian Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) dan Istiadat Konvokesyen kali ke-6 di sini Khamis.

Sehubungan itu, baginda bertitah para ilmuwan di KUISAS perlu mempamerkan amalan minda yang terbuka dengan mencontohi budaya keterbukaan yang diamalkan di Madrasah Nizamiyah di Baghdad pada era Kerajaan Abassiyah.

"Madrasah itu setaraf dengan apa yang dikenali sebagai universiti pada hari ini, (Madrasah Nizamiyah) merupakan antara institusi pengajian tinggi yang paling berjaya dalam sejarah dunia Islam. Ia berperanan sebagai tapak memunculkan ilmuwan tersohor yang diiktiraf di peringkat antarabangsa antaranya Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali," titah baginda.

Raja Nazrin bertitah pada umumnya institusi pengajian yang berjaya mencapai tahap kecemerlangan dan diiktiraf unggul mengamalkan dua pendekatan utama iaitu menghargai autonomi intelek dan memiliki autonomi kewangan.

"Adalah penting bagi Institusi Pengajian Tinggi mengamalkan budaya autonomi intelek, (kerana autonomi intelek) berada di atas dan berkedudukan bebas daripada sebarang pengaruh politik kepartian, agar dapat memenuhi falsafah pengwujudannya sebagai perkampungan ilmu yang menghayati prinsip kesatuan dalam kepelbagaian.

"Di serata dunia, kebanyakan IPT yang unggul dan berjaya mencapai ranking gemilang, memiliki kekuatan kewangan dan autonomi kewangan. Institusi Pengajian Tinggi memerlukan pembiayaan kewangan yang besar untuk mempunyai barisan tenaga akademik tersohor serta berupaya melaksanakan program keilmuan dan program penyelidikan yang berkualiti tinggi," titah baginda.

Titah baginda, IPT juga mempunyai tanggungjawab sosial, ia bukan entiti perniagaan semata-mata bertujuan mengaut keuntungan secara mengenakan yuran yang terlalu tinggi hingga bercanggah dengan prinsip asal dan tujuan murni pendidikan.

Raja Nazrin bertitah IPT yang memiliki autonomi kewangan tidak hanya bergantung kepada sumber kewangan kerajaan dan sumber pendapatan daripada yuran pengajian, sebaliknya turut menerokai sumber pendapatan lain termasuk melakukan urus niaga, penerbitan berkualiti serta mendapatkan pembiayaan berbentuk kurniaan, tajaan dan derma.

Sehubungan itu, baginda bertitah KUISAS perlu mempunyai perancangan dan pelan kewangan yang mantap untuk menentukan kelangsungannya supaya tidak terkekang disebabkan sumber kewangan yang terbatas.

Para ilmuwan di KUISAS juga hendaklah mempamerkan amalan minda yang terbuka dengan menjadikan budaya keterbukaan yang diamalkan di Madrasah Nizamiyah di Baghdad pada era Kerajaan Abassiyah sebagai contoh, titah baginda.

Mengenai KUISAS, Raja Nazrin bertitah ia merupakan kesinambungan kepada Kolej Islam Darul Ridzuan (KISDAR) yang ditubuhkan pada tahun 2000.

Titah baginda melalui surat bertarikh 13 Dis tahun lepas, Kementerian Pengajian Tinggi memberikan kelulusan untuk KISDAR dinaik taraf kepada Kolej Universiti.

"Konvokesyen kali ini adalah konvokesyen julung kalinya atas nama Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah yang menganugerahkan Diploma kepada 305 graduan dalam sepuluh disiplin pengajian. Pada lima Konvokesyen terdahulu, KISDAR telah menghasilkan 669 graduan," titah baginda.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan