Carian

Ahad, 23 Mac 2014

Penuntut Diploma Separuh Masa Universiti Malaya Maut Kemalangan

Dipetik dari Sinar Harian
 
ROMPIN – Sepasang suami isteri yang juga pimpinan Pemuda dan Dewan Muslimat Pas Kawasan Mersing kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Kembara dengan sebuah treler di Kilometer 154 Jalan Kuantan-Johor Bahru, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 pagi itu, Wan Syazana Wan Mansor, 27, maut manakala suaminya, Ahmad Shanawey Roslan, 29, parah dan dihantar ke Hospital Johor Bahru untuk rawatan lanjut.

Difahamkan ketika kejadian, dua daripada empat anak mangsa berusia 9 bulan dan 3 tahun turut berada dalam kereta manakala dua lagi yang berusia 5 dan 6 tahun tinggal bersama nenek mereka di Endau, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, ketika kejadian, kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang dari Universiti Malaya (UM) berikutan Wan Syazana menyambung pengajian secara separuh masa di sana.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta yang dipandu Ahmad Shanawey terbabas ke bahu jalan sebelah kanan lalu merempuh bahagian belakang sebuah treler yang diparkir di tepi jalan terbabit.

“Akibat kejadian itu, Wan Syazana parah dan meninggal dunia kira-kira jam 3.50 pagi ketika dalam perjalanan ke Hospital Mersing, Johor manakala dua anak mereka terselamat dan hanya mengalami lebam di bahagian badan,” katanya.

Sementara itu, kenalan rapat mangsa yang juga Ketua Penerangan Pas Kawasan Rompin, Mohd Fadzli Mohd Ramly berkata, kali terakhir beliau bertemu mangsa pada minggu lepas di pejabatnya bagi membincangkan peluang perniagaan di Rompin.

“Berita kemalangan ini amat mengejutkan saya, mereka antara orang penting yang menumpukan perjuangan dalam Pas, justeru pemergian Wan Syazana amat kami rasai.

“Pasangan suami isteri ini menjalankan perniagaan air soya di tapak lama Pasar Rompin berdekatan deretan kedai Mara dan mereka ini sangat pemurah. Semoga roh arwah Wan Syazana ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.

Perodua Kembara yang dinaiki mangsa

Allahyarhamah Wan Syazana meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital