Carian

Selasa, 9 Disember 2014

Seminar Wakaf Antarabangsa 2014 (Hari Pertama)

Assalamualaikum WBT,

Alhamdulillah sempat lagi kita bersua di dalam penulisan maya yang lama saya sudah tinggalkan beberapa bulan yang lalu. Dek kerana keterbatasan waktu serta dengan kesibukan tugas yang tidak dapat dielakkan. Tanggungjawab semakin berat, namun amanah terpaksa dipikul sekalipun diheret dengan kaki yang patah.

Hari ini, catatan saya berkisar dengan persidangan yang sedang berlangsung bermula dari 8.30 pagi tadi dan akan berakhir pada 10.30 malam mengikut jadual yang disertakan. Persidangan kali ini adalah persidangan khusus mengenai wakaf yang dinamakan sebagai Seminar Wakaf Antarabangsa 2014 dengan membawa tema Transformasi Pengurusan Waqf: Pemangkin Sosio Ekonomi Ummah. Seminar yang julung-julung kali diadakan ini dengan kerjasama dari Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA), Majlis Agama Islam Johor, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, dan Yayasan Wakaf Malaysia dan dikepalai oleh Jabatan Wakaf, Zakat, dan Haji, Jabatan Perdana Menteri (JAWHAR).

Program selama 3 hari ini telah sempurna dirasmikan oleh YB Mejar Dato' Seri Jamil Khir Hj.
Baharom pada jam 12.30 tengahari tadi dan dalam ucapan perasmian beliau menekankan betapa pentingnya wakaf dan keperluan umat masa kini di dalam memastikan kelestarian harta umat Islam di masa akan datang. Beliau turut merasmikan Wakaf Tunai iaitu produk yang ditawarkan oleh Yayasan Wakaf Malaysia dan Buku JAWHAR: Sedekad Membina Tamadun Ummah.