Carian

Selasa, 9 Disember 2014

Seminar Wakaf Antarabangsa 2014 (Hari Pertama)

Assalamualaikum WBT,

Alhamdulillah sempat lagi kita bersua di dalam penulisan maya yang lama saya sudah tinggalkan beberapa bulan yang lalu. Dek kerana keterbatasan waktu serta dengan kesibukan tugas yang tidak dapat dielakkan. Tanggungjawab semakin berat, namun amanah terpaksa dipikul sekalipun diheret dengan kaki yang patah.

Hari ini, catatan saya berkisar dengan persidangan yang sedang berlangsung bermula dari 8.30 pagi tadi dan akan berakhir pada 10.30 malam mengikut jadual yang disertakan. Persidangan kali ini adalah persidangan khusus mengenai wakaf yang dinamakan sebagai Seminar Wakaf Antarabangsa 2014 dengan membawa tema Transformasi Pengurusan Waqf: Pemangkin Sosio Ekonomi Ummah. Seminar yang julung-julung kali diadakan ini dengan kerjasama dari Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA), Majlis Agama Islam Johor, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, dan Yayasan Wakaf Malaysia dan dikepalai oleh Jabatan Wakaf, Zakat, dan Haji, Jabatan Perdana Menteri (JAWHAR).

Program selama 3 hari ini telah sempurna dirasmikan oleh YB Mejar Dato' Seri Jamil Khir Hj.
Baharom pada jam 12.30 tengahari tadi dan dalam ucapan perasmian beliau menekankan betapa pentingnya wakaf dan keperluan umat masa kini di dalam memastikan kelestarian harta umat Islam di masa akan datang. Beliau turut merasmikan Wakaf Tunai iaitu produk yang ditawarkan oleh Yayasan Wakaf Malaysia dan Buku JAWHAR: Sedekad Membina Tamadun Ummah.


Sebelum majlis perasmian berlangsung 3 kertas kerja telah dibentangkan. Kertas kerja yang pertama dibentang oleh Pengarah JAWHAR, Datuk Anan C. Mohd yang bertajuk Senario Pembangunan Wakaf di Malaysia: Wakaf Melestarikan Kesejahteraan Ummah. Pelbagai ikon dipersembahkan kepada audien menunjukkan beberapa kejayaan pembangunan harta wakaf di Malaysia. Kertas kerja kedua dibentangkan oleh wakil dari Directorate General of Foundation, Turkey, Encik Davut Gazi Benli yang membawakan kepada pendengar tentang Evolusi Pembangunan Wakaf di Turki. Dihidangkan dengan video mengenai kejayaan Turki di dalam membangunkan harta wakaf dan dituruti dengan rumusan beliau terhadap apa yang sudah dicapai oleh Turki masa kini semenjak dimulakan pada zaman Empayar Uthmaniyyah berkuasa di Turki. Kertas kerja ketiga dibentangkan oleh Dr. Md Nurdin Ngadimon. Kertas kerja bertajuk Pendanaan Pembangunan Wakaf di Malaysia Melalui Sukuk: Cabaran dan Prospek ini memberitahu peserta tentang keberadaan pelbagai jenis instrumen yang boleh digunakan di dalam menjana pendapatan umat Islam.

Disebelah petang pula, pembentangan dilakukan oleh Encik Zaini Osman daripada Warees Singapura yang menceritakan tentang langkah-langkah inovasi yang telah dilakukan oleh Singapura di dalam menjana pendapatan melalui dana waqf. Kemudian Prof Mohamad @ Md Som dari Kolej Pengajian Islam Johor mewakil Dato Seri Nooh Gadut membentangkan tentang pencapaian pengurusan waqf di Johor Darul Takzim.

Pada jam 5.00 petang, kami bersama peserta yang lain keseluruhannya 4 buah bas bertolak ke Kompleks Baitul Hilal di Port Dickson untuk melihat lebih dekat balai cerap yang dibuka kepada orang awam dengan penampilan Hotel Kelana Beach yang merupakan binaan yang menggunakan dana wakaf. Hampir 2 jam perjalanan dengan diiringi pihak PDRM ke Tol Sungai Besi. Alhamdulillah, delegasi meluangkan masa hampir 2 jam untuk meninjau sekeliling kompleks dan kami bertolak pulang ke hotel pada jam 10.30 malam.

Untuk melihat gambar, nantikan entri terakhir persidangan ini pada 10 Disember 2014. Terima kasih, jumpa lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan